Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Dentuman muzik aiskrim, detik bahagia kanak-kanak desa
  • INSPIRASI

Eksklusif: Dentuman muzik aiskrim, detik bahagia kanak-kanak desa

Utusan Sarawak 1 day ago

MENGAMIT nostalgia era 90-an, satu kelibat yang cukup ikonik kembali terbayang penjual aiskrim bermotosikal, menjelajah dari kampung ke kampung.

KOTA SAMARAHAN: Menggamit nostalgia era 90-an, kelibat ikonik penjual aiskrim bermotosikal kembali terbayang, menjelajah dari kampung ke kampung, menempuh terik mentari dan hujan demi mencari rezeki.

Dengan kotak logam besar di sisi motosikal, berbumbungkan kain kanvas biru yang sudah pudar, dia bukan sekadar menjual pencuci mulut penyejuk tekak, tetapi turut membawa sebongkah ‘kebahagiaan’ kepada anak-anak desa.

Setiap kali kedengaran dendangan lagu riang seperti Mat Cool daripada pembesar suara kecil di motosikal, atau muzik ceria ala fairground yang mengingatkan kepada trak aiskrim luar negara, ia menjadi isyarat keramat, petanda bahawa ‘abang aiskrim’ sedang menghampiri.

UNCLE Aiskrim menjadi figura tetap dalam rutin mingguan, malah ada yang sanggup menunggu berjam-jam di tepi jalan semata-mata untuk membeli aiskrim kegemaran.

Kanak-kanak yang sedang bermain di laman, memancing di tali air, atau menyorok di sebalik semak, tiba-tiba terhenti dan memasang telinga.

“Aiskrim! Aiskrim datang!” jerit mereka teruja.

Lantas, kaki-kaki kecil berlari pantas, ada yang berselipar jepun, ada juga yang berkaki ayam terus meluru pulang ke rumah sambil berseru, “Mak! Nak duit! Nak beli aiskrim!”

Di rumah, si ibu tersenyum melihat keterujaan anaknya, lalu menyeluk kocek atau menarik keluar dompet lusuh dari celah almari, menghulurkan beberapa keping syiling.

Kadangkala, wang itu hanya cukup untuk sebatang aiskrim. Namun, sebatang itu pun sudah cukup untuk dikongsi bersama adik-beradik — ada yang menghisap dari satu hujung, bergilir dengan tertib dan penuh kasih sayang, meskipun nikmatnya hanya sekejap, cuma untuk seminit dua.

KELIHATAN seorang kanak-kanak membeli aiskrim daripada Uncle Aiskrim.

Bagi anak-anak kampung, pengalaman membeli aiskrim bukanlah sesuatu yang boleh dinikmati setiap hari.

Jarak ke pekan berpuluh kilometer, kedai pula bukan sentiasa dibuka, dan tidak semua keluarga memiliki kenderaan sendiri.

Maka, penjual aiskrim ini ibarat jambatan kecil yang menghubungkan dunia luar dengan kenangan manis zaman kanak-kanak.

Setiap batang aiskrim yang dijual sama ada aiskrim Malaysia berperisa sirap, aiskrim kacang, aiskrim milo, mahupun yang berwarna-warni dan bergaris pelangi.

Lebih menyentuh hati, ada penjual yang sudah dikenali semua digelar dengan nama seperti Uncle Aiskrim.

Mereka menjadi figura tetap dalam rutin mingguan, malah ada yang sanggup menunggu berjam-jam di tepi jalan semata-mata untuk membeli aiskrim kegemaran.

Kini semuanya hanya di hujung jari, klik satu butang, makanan tiba di depan rumah.

Anak-anak hari ini lebih mengenali ikon penghantar makanan di skrin telefon berbanding wajah-wajah penjual kampung yang suatu ketika dahulu menjaja dengan tulus, dari hati.

Namun debaran menanti dentuman muzik aiskrim, desiran motosikal masuk ke simpang rumah, dan rasa dingin pertama yang menyentuh lidah, semua itu tidak dapat dibeli semudah satu klik.

Ia hanya tinggal dalam ingatan, dan bagi yang pernah merasainya, ia akan kekal selamanya di sudut hati.

Di sesetengah kampung, kelibat penjual aiskrim bermotosikal masih wujud walaupun semakin jarang.

Mereka adalah penjaga warisan kenangan terus membawa bahagia, meskipun pulangan tidak seberapa.

Mereka bukan sekadar penjual — mereka pembawa nostalgia, penyambung rasa, dan penyimpan detik bahagia. Terima kasih, Uncle Aiskrim!

Oleh Norman B

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: i-CATS Miri raih Anugerah Perak CIPTA 2025 di Brunei
Next: Bermula sebagai hobi, lensa Tapa Otai rakam ratusan konsert

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.