
NIAH: Bunyi dentuman meriam yang bergema di seluruh kampung bukan sekadar hiburan semasa musim perayaan terutamanya Aidilfitri, ia merupakan satu tradisi telah lama berakar umbi sebagai budaya turun-temurun.
Tinjauan Utusan Sarawak di Kampung Lajong, Kuala Niah mendapati perkampungan itu mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikannya terkenal setiap kali menjelang Aidilfitri, iaitu tradisi permainan meriam tanah dan meriam buluh.

Menurut Muhammad Kasyful Azhim Ketria, 17, setiap tahun aktiviti itu dilakukanbersama rakan-rakan sekampung sebagai budaya warisan menghidupkan suasana menyambut ketibaan malam raya.
“Tradisi permainan meriam di Kampung Lajong ini menggunakan meriam tanah dan meriam buluh yang direka khas untuk menghasilkan bunyi dentuman yang menggamatkan suasana.
“Bahan utama untuk menyalakan meriam ialah karbaid. Apabila gas yang terhasil dinyalakan, ia menghasilkan letupan kuat yang boleh didengar dari jauh,” katanya.

Sementara itu, Apip, 12, yang bertindak sebagai tekong bedil berkata, pada Ramadan ini, terutama pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, bunyi dentuman meriam yang bertalu-talu kedengaran seolah-olah seperti guruh yang kuat.
“Bunyi bedil ini kedengaran seawal waktu Maghrib ketika berbuka puasa. Mereka yang awal bermain meriam buluh biasanya membawa bersama aroma minyak tanah atau karbaid hingga ke surau.
“Untuk ‘menghidupkan’ meriam tanah ini, kami perlu memanaskan karbaid yang telah dimasukkan ke dalam meriam. Ia mengambil masa kira-kira lima hingga lapan minit sebelum dinyalakan bagi menghasilkan bunyi letupan pertama yang kuat,” jelasnya.
Oleh Adum Liu