Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Debaran di hujung joran, menanti sentakan si baung
  • TEMPATAN

Eksklusif: Debaran di hujung joran, menanti sentakan si baung

Utusan Sarawak 8 hours ago

SI ‘hantu sungai’ ikan baung yang berjaya dipancing Raymon di sungai Kampung Entingan. 

KOTA SAMARAHAN: Ikan baung, atau nama saintifiknya hemibagrus nemurus, bukan sekadar ikan biasa.

Dalam dunia memancing, ia ibarat ‘hantu sungai’ — licik, kuat dan penuh misteri. Tergolong dalam keluarga bagridae, ikan bermisai ini mendiami sungai tenang dan berarus perlahan.

Di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, namanya menjadi sebutan seolah-olah ia makhluk mitos yang hanya dapat ditewaskan oleh mereka yang benar-benar sabar dan berjiwa kental.

Bagi kaki pancing, memancing baung bukan sekadar hobi tetapi ia seperti satu ritual. Bayangkan seorang lelaki duduk bersila di tebing sungai, joran ditanam dalam tanah, mata tertumpu pada hujung tali yang menari perlahan mengikut aliran air.

Tiada bunyi selain cengkerik dan deru arus. Dalam situasi sunyi itu, satu sentakan mengejut berlaku, joran melentur!  Dari dasar sungai, si baung menyentap cabaran.

LOKASI lubuk baung.

“Bila baung dah makan umpan, tarikannya macam nak patah joran. Memang sangat mencabar,” kata Raymon, seorang pemancing dari Kampung Entingan, di sini.

“Kadang-kadang dia tarik perlahan saja, macam tidak bersalah… lepas tu tiba-tiba meluru ke dasar. Kalau tidak bersedia, boleh habis tali atau patah terus joran.”

Raymon sudah lebih 15 tahun memancing baung di sungai-sungai di sini. Baginya, setiap tangkapan adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan.

“Saya mula ikut ayah ke sungai ketika masih sekolah rendah. Dari situ saya belajar sabar. Baung bukan macam ikan lain — dia tak makan bila-bila masa. Kena faham waktu makan dia, kena tahu lubuk dia. Itu yang buatkan kita tak pernah jemu,” katanya lagi.

Bagi Raymon, pengalaman memancing baung juga menjadi ruang untuk menyambung ikatan keluarga dan merawat jiwa.

“Kadang saya bawa anak-anak ikut. Saya nak mereka rasa sendiri apa yang saya rasa dulu. Duduk tepi sungai, diam, tengok air… itu terapi. Kita lupa sekejap telefon, kerja, masalah dunia,” ujarnya sambil memandang ke arah sungai yang tenang.

Bagi Raymond, keunikan aktiviti ini bukan hanya pada hasil tangkapan. Ia lebih daripada sekadar menangkap ikan sekali gus menyentuh jiwa.

BAGI Raymon, setiap tangkapan adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan.

“Ada yang menggambarkannya sebagai bentuk meditasi. Sambil menunggu, pemancing ditemani angin malam dan nyanyian alam.

“Jauh dari hiruk-pikuk bandar, tekanan kerja dan media sosial, pemancing akan menemui ketenangan yang jarang dijumpai. Dalam sabar itu, ada kedamaian. Damai yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Apabila si baung berjaya dinaikkan, ganjarannya cukup memuaskan. Isinya lembut, manis dan lazat. Ia popular dimasak asam pedas atau masak dalam buluh ataupun pansuh menjadikannya hidangan istimewa di meja makan,” jelas Raymon.

Tambahnya, di sesetengah kampung, baung dianggap sebagai ‘raja sungai’.

Namun lebih penting daripada itu, memancing baung adalah tentang menyambung warisan. Ia mencerminkan hubungan manusia dengan alam — satu hubungan yang semakin terpinggir dalam kehidupan moden.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Saberkas giat anjur ratusan program pembangunan, utamakan belia Sarawak
Next: MPKS tuan rumah Kursus Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan Zon Borneo 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.