
KEHADIRAN teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang baharu kepada pengkarya tempatan untuk meneroka kaedah penceritaan yang sebelum ini memerlukan kos produksi yang tinggi dan sumber yang besar.
Antara projek yang menarik perhatian komuniti kreatif tempatan ketika ini ialah S.I.A.G.A 786: Black Ops, sebuah filem AIGC (Artificial Intelligence Generated Content) berdurasi 50 minit yang bakal ditayangkan pada 19 Jun ini menerusi platform Prompters Malaya, Brader Filem dan Unimas TV.
Diterbitkan oleh Nod3 Studio, filem bergenre sci-fi action thriller itu dibangunkan oleh Amrulqays bersama Faridzul dan Gohead Gaucho, dengan menampilkan kisah sebuah unit khas futuristik yang ditugaskan menangani ancaman robotik, siber dan AI dalam latar Malaysia masa hadapan.
Menariknya, projek tersebut disiapkan dalam tempoh hanya 30 hari dengan penggunaan kira-kira 2.7 juta kredit AI, melibatkan lebih 2,000 penjanaan video generatif dan lebih 100 penjanaan kesan bunyi generatif.
Bagi memahami lebih lanjut perjalanan pembikinan filem tersebut, wartawan Utusan Sarawak telah menghubungi Amrulqays bagi mendapatkan penjelasan mengenai idea asal, cabaran, kos pembangunan serta harapan terhadap masa depan industri AIGC di Malaysia.

Soalan (S): Dari mana tercetusnya idea menghasilkan S.I.A.G.A 786: Black Ops?
Amrulqays: Ketika mencari idea untuk menghasilkan sebuah cerita baharu, saya ternampak satu hantaran oleh Riza Abdul dalam komuniti Prompters United yang memaparkan robot polis arnab dengan perkataan ‘SWAT’ pada bahagian dada.
Daripada situ saya mendapat idea untuk membangunkan sebuah cerita bertemakan pasukan polis kerana rakyat Malaysia sememangnya meminati filem aksi polis seperti Sheriff, Polis Evo, J Revolusi dan Gerak Khas.
Saya kemudian meminta kebenaran daripada beliau untuk menggunakan watak robot polis arnab tersebut sebagai asas cerita. Selepas mendapat persetujuan, saya mengolah semula konsep itu menjadi S.I.A.G.A dan menambah empat lagi watak utama iaitu Harimau, Tedung, Rajawali dan Buaya yang diinspirasikan daripada haiwan ikonik tempatan.
Pada peringkat awal saya menghasilkan sebuah video berdurasi sembilan minit 40 saat sebagai plot asas sebelum mengajak Gohead Gaucho dan Faridzul untuk bersama-sama mengembangkan idea tersebut menjadi sebuah filem yang lebih tersusun.

Banyak idea baharu lahir daripada perbincangan kami bertiga sehingga berjaya menghasilkan sebuah pilot film berdurasi 50 minit yang mempunyai identiti tersendiri.
(S): Berapa lama tempoh pembangunan filem AIGC ini?
Amrulqays: Keseluruhan projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu bulan atau 30 hari.
(S): Berapakah anggaran kos keseluruhan projek?
Amrulqays: Sepanjang proses penerbitan, filem pilot AIGC berdurasi 50 minit ini menggunakan kira-kira 2.7 juta kredit AI.
Dalam tempoh 30 hari tersebut, lebih 2,000 penjanaan video generatif dan lebih 100 penjanaan kesan bunyi generatif telah dijalankan.
Berdasarkan penggunaan sumber pengkomputeran AI itu, kos yang terlibat dianggarkan sekitar RM100,000 daripada keseluruhan bajet produksi filem pilot ini.
(S): Mengapa memilih genre sci-fi action thriller?
Amrulqays: Berdasarkan rekod filem tempatan, saya melihat rakyat Malaysia memang meminati filem aksi thriller berasaskan pasukan polis.
Selain itu, tanpa bantuan AI, kos untuk menghasilkan filem sci-fi aksi seperti ini sangat tinggi dan berada di luar kemampuan kewangan kami.
Jadi kami memanfaatkan perkembangan teknologi AI untuk menghasilkan sesuatu yang sebelum ini mungkin mustahil direalisasikan dengan kapasiti kewangan sedia ada.
(S): Apakah cabaran terbesar menggunakan AI dalam projek ini?
Amrulqays: Cabaran terbesar ialah kos penghasilan video generatif yang berkualiti kerana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Tambahan pula, projek ini masih dibiayai sendiri oleh pasukan kami tanpa sokongan dana luar.
(S): Apakah maksud nama S.I.A.G.A?
Amrulqays: S.I.A.G.A ialah singkatan kepada Sistem Integrasi Autonomi Gerakbalas Ancaman.
Dalam dunia filem ini, SIAGA 786 merupakan sebuah skuad tindakan khas yang dikerahkan untuk menangani kes-kes jenayah kecemasan berat yang tidak mampu dibendung menggunakan kapasiti biasa pihak polis.
(S): Apakah harapan terhadap perkembangan industri AIGC di Malaysia?
Amrulqays: Saya berharap industri AIGC di Malaysia dapat terus berkembang sebagai ruang baharu untuk kreator, prompters dan pengkarya tempatan menghasilkan karya yang lebih besar, lebih berkualiti dan lebih bermakna.
Melalui projek seperti S.I.A.G.A, saya berharap lebih ramai berani membina pipeline yang kukuh, memperbaiki proses kerja dan mencari kecekapan dalam penghasilan filem atau kandungan AIGC.
AIGC bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi bagaimana kreativiti, usaha, emosi dan nilai kemanusiaan digunakan untuk menghidupkan sesebuah karya.
(S): Ada pihak mengatakan AI akan menggantikan penggiat kreatif. Apa pandangan anda?
Amrulqays: Pada pandangan saya, AI tidak menggantikan penggiat kreatif tetapi menjadi alat baharu yang membantu mempercepatkan dan memperluaskan kemampuan mereka untuk berkarya.
AI hanyalah alat. Idea, emosi, pengalaman, nilai dan keputusan kreatif tetap datang daripada manusia.
Tanpa sentuhan kreatif manusia, hasil yang dijana AI hanyalah visual atau output kosong tanpa jiwa.
Saya melihat AI sebagai rakan kerja kreatif yang membuka peluang kepada lebih ramai pembikin filem dan pengkarya menghasilkan sesuatu yang sebelum ini terlalu mahal atau sukar untuk direalisasikan.
(S): Jika diberi peluang dan sokongan dana, adakah anda bercadang menghasilkan filem AIGC berdurasi penuh pada masa depan?
Amrulqays: Sudah tentu.
Selain kemahiran prompting dan kemahiran produksi, faktor dana merupakan antara penentu utama tahap kualiti sesebuah karya.
Jika diberikan peluang dan sokongan dana yang mencukupi, kami akan berusaha menghasilkan filem AIGC berdurasi penuh antara 90 hingga 120 minit dengan kualiti yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Pembikinan S.I.A.G.A 786: Black Ops membuktikan bahawa teknologi AI bukan lagi sekadar alat menghasilkan imej atau video pendek, sebaliknya mampu digunakan untuk membangunkan sebuah karya filem yang lengkap dengan jalan cerita, watak dan identiti tersendiri.
Dengan penggunaan jutaan kredit AI, kos pengkomputeran yang besar serta komitmen tinggi daripada pasukan produksi, projek tersebut menjadi antara contoh bagaimana kreativiti tempatan mampu memanfaatkan teknologi generatif untuk menghasilkan karya berskala besar.
Lebih penting, kejayaan menghasilkan filem berdurasi 50 minit dalam tempoh hanya 30 hari memberi gambaran bahawa industri AIGC Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang, sekali gus membuka peluang baharu kepada generasi kreatif tempatan untuk meneroka sempadan baharu dalam dunia perfileman dan kandungan digital.
Nota: Penulis adalah wartawan Utusan Sarawak dan moderator Facebook kumpulan Prompters Malaya, kumpulan AI terbesar di Malaysia yang mempunyai jumlah lebih kurang 724,900 ahli setakat ini.
Oleh Earl Anek