Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Dari perbankan ke kraf tangan burie, Nyawan Jantom hidupkan warisan budaya
  • INSPIRASI

Eksklusif: Dari perbankan ke kraf tangan burie, Nyawan Jantom hidupkan warisan budaya

Utusan Sarawak 6 hours ago
BURIE….Nyawan Jantom mengenakan sendiri rekaannya sambil menunjukkan hasil kraf tangan tradisional burie yang telah siap dihasilkan. Foto: Tarani Lanting

KAPIT: Bersara daripada dunia perbankan bukan titik noktah bagi Nyawan Jantom, sebaliknya menjadi permulaan baharu yang sarat dengan cinta terhadap seni dan warisan budaya menerusi kraf tangan tradisional burie.

Selepas 32 tahun berkhidmat di Maybank, merentasi beberapa cawangan utama termasuk Mukah, Sarikei dan Sibu Central, Nyawan melangkah ke dunia seni jahitan dan ukiran dengan lebih serius selepas bersara pada Jun 2025.

“Suami saya, Nyabong Ganen, dulunya pun seorang pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya. Kini kami sama-sama sudah bersara,” katanya kepada pemberita.

BURIE….Nyawan Jantom mengenakan sendiri rekaannya sambil menunjukkan hasil kraf tangan tradisional burie yang telah siap dihasilkan. Foto: Tarani Lanting

Minat beliau terhadap seni burie mula diteroka secara sambilan sejak 2023, dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada saudara sendiri, Clement Wong Yau Nyau

Kecintaan terhadap warisan budaya dan seni halus etnik menjadikan setiap helaian burie hasil tangan beliau bukan sekadar kain, tetapi satu karya seni yang membawa identiti dan jiwa masyarakat.

Namun, beliau mengakui perjalanan sebagai pengusaha burie tidak mudah. Harga burie asli yang boleh mencecah RM200 sekilogram dan hanya separuh daripadanya boleh digunakan selepas dipilih dengan teliti, menjadi antara cabaran utama.

Proses menjahit burie asli yang lebih rumit dan memakan masa berbanding kain cetakan biasa turut memerlukan ketelitian tinggi.

“Dalam dunia yang semakin ramai pesaing, saya percaya keaslian dan ketelitian adalah nilai yang sukar ditandingi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa permintaan yang bersifat bermusim, khususnya menjelang perayaan Gawai, memberi kesan terhadap aliran pendapatan termasuk situasi tiada jualan langsung di luar musim perayaan.

Bagi menyesuaikan diri dalam era digital, beliau memanfaatkan platform seperti Facebook dan TikTok untuk memperkenalkan produknya kepada khalayak lebih luas.

Nyawan juga menggunakan pendekatan model kendiri, mengenakan sendiri rekaannya ketika menghadiri acara rasmi atau ke tempat kerja bagi menonjolkan keindahan seni burie kepada masyarakat.

Lebih menarik, beliau turut menjalinkan kolaborasi bersama artis tempatan seperti Angela Lata Jua dan Rem Jana bagi memperkukuh jenama dan memperluas pasaran.

Pelanggan beliau terdiri daripada wanita berumur 30 tahun ke atas, termasuk rakan-rakan bekas sekerja, pelanggan dari Semenanjung serta seluruh pelosok Sarawak.

Tanpa bergantung kepada selebriti atau figura terkenal, beliau menerima sokongan moral dan promosi daripada rakan-rakan seperjuangan serta kenalan rapat dari sektor perbankan dan seni.

“Saya tak kejar populariti. Bagi saya, cukup kalau karya saya boleh menghidupkan semula rasa cinta terhadap seni burie dan jadi inspirasi kepada wanita lain untuk berdikari,” katanya.

Dengan prinsip bersaing secara sihat dan tanpa iri hati, Nyawan berhasrat untuk terus berkarya dalam dunia kraf tangan secara profesional tanpa menjejaskan nilai tradisi.

“Saya percaya bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, rezeki itu akan datang dengan sendirinya. Saya mahu kekal berkarya, bukan sekadar untuk menjual, tetapi untuk meninggalkan sesuatu yang bermakna,” ujarnya.

Kisah Nyawan Jantom bukan sekadar tentang kehidupan selepas bersara, tetapi tentang semangat, keazaman dan cinta terhadap budaya yang diwarisi turun-temurun.

Oleh Tarani Lanting

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Dua pelajar Malaysia sertai program Musim Panas CERN di Switzerland

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.