
SIBU: Siapa sangka, minat suka menyanyi di pertandingan karaoke kini membawa Amis U ke pentas yang lebih besar iaitu dunia rakaman muzik Iban. Dari sebuah kampung kecil di Julau, langkah kecilnya kini menjadi perjalanan seni yang penuh warna, cabaran dan kenangan manis.
“Semua bermula masa saya sertai pertandingan karaoke di Julau. Dari situ datang semangat dan keyakinan untuk terus menyanyi,” katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan awalnya.
Bagi Amis, nyanyian bukan sekadar hobi. Ia sudah sebati dalam diri seperti nadi yang sentiasa berirama dengan lagu. Sokongan keluarga dan galakan daripada penyanyi senior Iban, Alo Jana, menjadi pendorong kuat buatnya terus melangkah dalam dunia seni suara.

Lagu pertama yang pernah dibawakan di hadapan penonton ialah Lengka Ka Mih. Kini, Amis sudah berjaya merakam 23 lagu pelbagai genre, satu pencapaian yang cukup membanggakan untuk anak seni dari luar bandar.
Namun, perjalanan itu bukan mudah. Antara cabaran terbesar ialah mencari masa untuk berkarya. “Saya sibuk juga dengan kerja dan keluarga, tapi saya guna hujung minggu, terutama waktu malam, untuk menulis dan rakam lagu,” jelasnya.
Pernah juga terdetik untuk berhenti, tapi cintanya terhadap muzik membuatkan dia terus kuat. “Saya pernah rasa nak berhenti, tapi bila fikir balik, minat ini dah terlalu kuat. Walaupun cuma single, saya tetap teruskan sebab inilah dunia saya.”
Amis banyak mendapat inspirasi daripada pemerhatiannya terhadap isu semasa dan kehidupan sekeliling, menjadikan lagu-lagunya lebih dekat dengan jiwa pendengar.
Katanya, walaupun tidak mempunyai idola tertentu, dia tetap berusaha mengikuti trend muzik semasa sambil mengekalkan gaya tersendiri.

Antara momen yang paling manis dalam kerjayanya ialah apabila beliau berjaya menyertai Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) sebanyak tiga kali bukti bahawa bakatnya diiktiraf. “Paling seronok bila lagu-lagu saya diterima dan dimainkan di radio. Itu tanda pendengar faham dan rasa mesej dalam karya saya,” ujarnya dengan senyuman.
Bagi Amis, kejayaan bukan tentang populariti, tetapi tentang kekal relevan dan terus berkarya dengan jujur. “Saya gembira masih ada peminat yang sokong saya walaupun ramai artis muda muncul dengan lagu-lagu yang hebat,” katanya bersahaja.
Melangkah ke depan, Amis berharap agar muzik Iban dapat menembusi pasaran lebih luas, bukan sekadar di Sarawak. “Impian saya, satu hari nanti muzik Iban dikenali sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya penuh semangat.
Bagi bakat muda, Amis berpesan supaya jangan takut mencuba. “Kalau minat, teruskan. Jangan cepat putus asa. Kita sama-sama bantu naikkan industri muzik Iban,” katanya memberi semangat.
Akhir sekali, Amis menzahirkan rasa syukur kepada semua yang menyokongnya. “Terima kasih kepada peminat dan stesen radio tempatan yang selalu mainkan lagu-lagu saya. Sokongan mereka buat saya terus semangat untuk berkarya,” katanya penuh rasa terharu.
Oleh Norman B.