Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Dari kamera ke kerjaya – Menyulam cerita, merakam rezeki
  • INSPIRASI

Eksklusif: Dari kamera ke kerjaya – Menyulam cerita, merakam rezeki

Utusan Sarawak 2 weeks ago
KAMERA…Noraini Tajudin, 26, jurufoto muda dari Kuching yang menjadikan kamera sebagai jalan rezeki dan wadah berkarya.

PETRA JAYA: Di tangan yang menggenggam kamera, tersimpan seribu cerita. Setiap klik bukan sekadar cahaya yang jatuh ke sensor, tetapi helaian kisah, doa, dan harapan yang dirakam untuk selama-lamanya.

Bagi seorang jurufoto muda, Noraini Tajudin, 26, kamera bukan hanya alat, tetapi teman perjalanan yang membuka pintu rezeki, menyulam kenangan, dan melakar karya yang dekat di hati.

Segalanya bermula tanpa diduga, ketika beliau menjalani latihan industri di RTM Kuching.

Di situlah benih minat bertunas apabila diberi peluang mengendalikan kamera secara langsung, sehingga jatuh cinta pada dunia yang penuh cahaya, warna dan cerita.

“Di situ saya mula belajar, jatuh cinta pada kamera, dan akhirnya menjadikannya sebahagian daripada hidup saya,” katanya penuh syukur, ketika ditemu bual oleh Utusan Sarawak.

Noraini mengakui dirinya bukan produk kursus formal.

Segala kemahiran diasah melalui pengalaman, pemerhatian, serta dorongan keluarga dan rakan-rakan yang tidak pernah berhenti menyokong.

HASIL KARYA…Setiap hasil karya Noraini membawa jiwa bukan sekadar gambar, tetapi kisah yang diabadikan untuk selamanya.

“Saya tidak menghadiri kursus fotografi secara khusus, tetapi melihat kepada persekitaran tempat latihan industri, diikuti dengan dorongan keluarga dan juga kawan, akhirnya memberi saya ruang untuk berkarya,” ujarnya.

Bagi Noraini, fotografi adalah bahasa hati. Ia bukan sekadar soal teknikal atau peralatan, tetapi tentang menyimpan jiwa dalam setiap bidikan.

Sebab itu, merakam detik bahagia pasangan pengantin menjadi genre paling dekat di hati kerana setiap senyuman dan titisan air mata adalah memori seumur hidup yang tidak berulang.

Namun, dunia lensa tidak selalu indah.

Pernah suatu ketika, ‘flash’ kamera tidak berfungsi pada saat genting, membuatkan suasana tegang.

Tetapi beliau memilih untuk bertenang, menyesuaikan tetapan kamera, sambil mencari jalan memperbaiki alat itu.

“Walaupun dalam tekanan, saya percaya setiap gambar ada jalannya untuk lahir dengan indah,” katanya, yakin bahawa kreativiti lahir daripada cabaran.

Baginya, perbezaan antara gambar biasa dan gambar berjiwa amat ketara.

“Gambar yang biasa apabila kita hanya memotret untuk tatapan, tetapi gambar yang berjiwa adalah untuk kepuasan sanubari kita,” ujarnya, menggambarkan falsafah kerjanya.

Setiap sesi penggambaran pula tidak semestinya dirancang secara terperinci.

Ada kalanya spontan, kerana bagi Noraini, keindahan lahir daripada detik yang tidak disangka.

Inspirasi pula hadir daripada karya jurufoto wanita yang berjaya membangkitkan rasa melalui pencitraan visual.

Beliau turut menyedari perubahan landskap fotografi hari ini dengan kemunculan telefon pintar dan media sosial.

“Dulu orang tidak gemar kepada gambar bokeh atau blur, tetapi sekarang permintaan terhadap gaya itu amat menjadi kegilaan ramai anak muda kerana mereka merasakan ia estetik,” jelasnya.

Antara projek yang paling membekas di hatinya ialah memotret sepasang pengantin yang baru sahaja melangkah ke dalam Islam.

“Ia bukan sekadar gambar, tetapi kisah perjalanan hidup yang suci,” katanya dengan sebak.

Walaupun tidak meletakkan tera air atau gaya tersendiri pada karyanya, Noraini percaya kualiti adalah identiti yang paling tulen.

HASIL KARYA…Setiap hasil karya Noraini membawa jiwa bukan sekadar gambar, tetapi kisah yang diabadikan untuk selamanya.

Dengan hanya berbekalkan lensa 50mm f/1.8 kesayangannya, dia terus melangkah, merakam bukan sahaja wajah, tetapi juga emosi, doa dan harapan.

Noraini juga lebih selesa bekerja secara solo kerana merasa lebih bebas dalam berkarya, namun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dalam pasukan kreatif pada masa depan.

“Saya lebih selesa bekerja secara solo supaya saya tidak terhad kepada karya kreatif yang akan saya laksanakan. Akan tetapi saya tidak menolak di masa akan datang untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi bagi melaksanakan tugasan,” katanya.

Beliau optimis tentang masa depan fotografi di Sarawak dengan semakin ramai anak muda mula menceburi bidang ini.

“Saya melihat ramai anak muda banyak berkecimpung dalam dunia fotografi dan saya melihat ini adalah sebuah persaingan yang sihat supaya banyak lagi bakat yang boleh digilap,” jelasnya.

Nasihatnya kepada bakat muda cukup ringkas tetapi penuh makna: “Teruskan berkarya sehingga ada yang melihat karya anda dan memberi ruang untuk anda menjayakan karya mereka.”
Selain fotografi, Noraini tidak menutup pintu untuk mencuba cabang seni kreatif lain.

“Saya tidak terlibat secara langsung dalam dunia lain, tetapi saya terbuka untuk belajar perkara baharu di masa akan datang,” katanya menutup bicara.

Bagi Noraini Tajudin, setiap bidikan kamera adalah denyut perjalanan hidup.

Daripada lensa yang kecil lahirlah karya yang besar bukan sekadar mengabadikan kenangan, tetapi menyulam cerita, membangkitkan rasa, dan membuka pintu rezeki.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Anak jati Kuching bina rezeki melalui perniagaan gerai tempahan khas
Next: Ali Akbar, penjual surat khabar terakhir di Paris

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.