Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Dari cabaran ke keyakinan, anak muda Sarawak kongsi harapan menjelang 2026
  • INSPIRASI

Eksklusif: Dari cabaran ke keyakinan, anak muda Sarawak kongsi harapan menjelang 2026

Utusan Sarawak 7 hours ago
ANIQ Aqmar Safian, 25, jururawat.

KUCHING: Menjelang kedatangan Tahun Baharu 2026, ramai dalam kalangan generasi muda Sarawak mengambil kesempatan menilai pencapaian, cabaran serta merangka azam dan perancangan bagi melangkah ke tahun baharu dengan penuh semangat dan harapan.

Antara yang ditemui Utusan Sarawak adalah Aniq Aqmar, 25, seorang jururawat, mengakui pencapaian terbesar tahun ini adalah kekuatan untuk terus bertahan walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

“Saya berjaya mengekalkan kerjaya saya demi membantu keluarga membina kestabilan ekonomi.

“Cabaran terbesar tahun ini adalah diri saya sendiri kerana saya hadkan perkembangan kerjaya. Dengan bantuan keluarga dan kawan, saya sedar potensi saya. Kalau nak buat sesuatu, buatlah yang terbaik sebab Allah sentiasa ada,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan azam dan rancangan 2026, Aniq berharap untuk terus maju dalam kerjaya demi membantu membangunkan ekonomi keluarganya.

“Ini kerana keluarga saya sudah banyak menjaga dan menyokongnya sejak kecil. Saya tidak menginginkan apa-apa selain kebahagiaan ibu bapa saya.

“Hidup bukan perlumbaan, yang penting adalah kita terus berusaha berjuang menghadapi liku-liku kehidupan yang penuh cabaran,” tambahnya.

CHRISTINA Olivia Samy, 24, guru.

Bagi Christina Olivia Samy, 24, seorang guru, 2025 merupakan tahun penuh transformasi diri dengan berjaya mengatasi rasa tidak yakin, membina keyakinan dan kematangan yang membolehkannya berdikari dan melangkah ke alam kerjaya.

“Cabaran terbesar yang saya hadapi tahun ini ialah menyesuaikan diri dengan perubahan dan perkara baharu, termasuk menerima situasi yang tidak selari dengan jangkaan serta mengurus kehidupan secara berdikari.

“Tanggungjawab saya termasuk mengurus gaya hidup, kewangan, dan komitmen harian. Untuk mengatasinya, saya fokus pada keseimbangan rohani dan emosi serta sokongan positif dari orang sekeliling.

“Azam 2026 saya adalah mencapai kestabilan kewangan dan memberi tumpuan kepada pembangunan diri sambil meninggalkan pengalaman yang tidak memberi nilai positif,” jelasnya.

 KELVIN Dian, 24, penyampai berita.

Sementara itu, Kelvin Dian, 24, penyampai berita, berkongsi kegembiraannya kembali bekerja di syarikat penyiaran kerajaan di Kuching selepas tamat praktikal dua tahun lalu.

“Mungkin perkara ini biasa bagi mereka yang sudah lama bekerja, tetapi bagi saya yang baru menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, ia satu cabaran besar untuk hidup sendiri berjauhan dengan keluarga.

“Berbeza dengan zaman belajar, semua keperluan disediakan oleh keluarga walaupun saya jauh, tetapi kali ini saya perlu mengharungi semuanya dengan usaha sendiri.

“Pada mulanya memang sukar, terutamanya dari segi kewangan, skop tugasan dan cabaran di tempat kerja, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan bagi saya,” luahnya.

Bercakap mengenai azam 2026, Kelvin berhasrat mencuba perkara baharu di luar bidang dan kemampuan dirinya.

“Saya mahu mencari hobi dan keunikan baru dalam diri, dengan tujuan utama untuk menguatkan diri menghadapi cabaran di luar sana.

“Saya tidak berhasrat untuk mencari perhatian atau populariti, tetapi sekadar ingin mempelajari sesuatu yang baru dan memperluaskan jaringan serta berkenalan dengan orang-orang baru dan pengalaman baru.

Selain itu, saya juga berharap dikurniakan kesihatan yang baik kerana tanpa badan yang sihat, kita tidak akan mampu melakukan apa yang kita impikan. Kesihatan adalah anugerah yang tiada gantinya,” ujarnya.

Harapan dan azam yang dikongsi oleh generasi muda ini mencerminkan semangat dan daya juang yang tinggi dalam menempuh cabaran dan membina masa depan lebih gemilang pada tahun yang bakal tiba.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Kulit telur bukan sekadar sisa, jadi terapi dan ilmu lestari komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.