Eksklusif: Dalam sekelip mata atap rumah terbang, empat beranak nyaris terkorban

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Belum pun reda kesedihan susulan ribut kencang yang melanda Sibu Jaya semalam, seorang bapa berkongsi detik mencemaskan apabila rumah didiami mereka empat beranak nyaris mengundang tragedi selepas atap diterbangkan angin dalam kejadian itu.

Mangsa, Muhammad Tajuddin berkata, tragedi yang berlaku sekitar 2.40 petang semalam itu menjadi detik paling hitam dalam hidupnya apabila ribut petir berserta hujan lebat melanda sebaik sahaja mereka sekeluarga melangkah masuk ke dalam rumah.

“Kami baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah apabila ribut petir dan hujan lebat tiba-tiba membadai dengan dahsyat. Dalam sekelip mata kedengaran bunyi deruan angin yang sangat kuat sebelum seluruh atap rumah kami diterbangkan,” katanya ketika berkongsi pengalaman pahit itu.

Menurutnya, suasana bertukar panik apabila anak-anaknya menangis ketakutan sambil memeluknya, manakala hujan lebat mula membasahi ruang bilik selepas bumbung rumah tercabut.

“Lebih menakutkan apabila siling rumah runtuh berkecai menghempap lantai dan tangga. Runtuhan siling yang tajam itu jatuh hanya beberapa kaki dari tempat kami berlindung. Kami benar-benar berada di hujung tanduk,” katanya.

Muhammad Tajuddin berkata, meskipun masih trauma dengan kejadian tersebut, beliau tetap bersyukur kerana dirinya serta ahli keluarga terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga masih diberi kesempatan untuk hidup. Terima kasih juga kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan semua yang menghubungi serta memberi sokongan moral. Kami beranak berada dalam keadaan sihat,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar ada pihak berwajib tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarganya yang kini berdepan kerosakan besar pada kediaman akibat bencana tersebut.

Oleh Tarani Lanting