
KUCHING: Enam tahun berkhidmat dalam uniform biru jauh dari keluarga, akhirnya tahun ini Zuriath Suhaili, 31, berpeluang pulang ke kampung halaman Simunjan, Sarawak untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga buat pertama kali sejak menjadi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Zuriath, setiap kali Syawal menjelang, dia hanya mampu melihat dari jauh kegembiraan orang lain pulang ke kampung sedangkan dirinya tetap setia bertugas di barisan hadapan.
“Saya bertugas sebagai anggota polis selama enam tahun, dan kini ditempatkan di Kuala Lumpur.
“Saya mula beraya di perantauan dari kali pertama menjadi anggota polis, dan peluang untuk balik ke kampung tidak dibenarkan untuk anggota yang baharu berkhidmat kurang dari tiga hingga lima tahun.
“Bagi kebanyakan orang, cuti perayaan mungkin satu perkara biasa, tetapi bagi mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan, ia ibarat memenangi tiket loteri.
“Cuti merupakan perkara yang sukar diperoleh, dan hanya segelintir yang bertuah akan mendapat giliran bercuti di hari Raya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, baru baru ini.
Bertugas di ibu kota sejak enam tahun lalu, Zuriath, sudah lali dengan suasana menyambut Aidilfitri di perantauan.
“Balai ibarat rumah kedua manakala rakan setugas merupakan keluarga bagi saya ketika di pagi Syawal.
“Perasaan pada awalnya sedih kerana kebiasaan setiap persiapan Raya dibuat bersama keluarga.
“Tetapi setelah menjadi anggota polis, wajib berpegang teguh pada tujuan pertama iaitu tanggungjawab kepada negara,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun tidak dapat pulang ke kampung, suasana di balai tetap terasa meriah dengan kehadiran pegawai kanan yang turun padang memberi semangat.
“Suasana menjelang Aidilfitri sangat meriah kerana kunjungan dari Ketua Polis Daerah yang memantau anggota bawahan yang bertugas di setiap balai dan memberi sumbangan serta nasihat supaya sentiasa bersemangat menjalankan tugas di pagi Syawal.
“Setiap tahun, balai polis akan dihiasi dengan dekorasi suasana hari raya supaya di pagi Syawal kelihatan meriah walaupun sedang bertugas. Namun, kemeriahan itu tetap tidak sama seperti berada di sisi keluarga sendiri.
“Paling menyentuh hati adalah apabila menerima panggilan video dari keluarga di kampung. Sebak apabila keluarga membuat panggilan video ketika sedang bertugas dan tidak dapat bersalaman memohon maaf seperti tahun-tahun biasa sebelum menjadi anggota polis,” ujarnya.
Zuriath turut mengungkapkan rasa sukar mengawal emosi bertugas di hari raya tetapi beliau sentiasa mencari cara untuk kekal positif.
“Saya sentiasa berasa positif kerana setiap yang sudah tertulis pasti ada hikmahnya. Sampai masa, kita akan merasa balik beraya bersama keluarga lambat atau cepat.
“Tipu jika kata tidak sebak dan menangis, tetapi saya hanya mampu membuat panggilan video untuk menghilangkan rasa sedih dan rindu.
“Namun di balai, kawan seperjuangan sentiasa berusaha menghibur rasa sedih ketika hari raya dengan masing-masing membawa kuih-muih, masakan, lemang, dan ketupat ke tempat kerja untuk dinikmati bersama,” luahnya dengan jujur.

Jelasnya, walaupun keluarga memahami tugasnya, pertanyaan tetap datang setiap tahun, bagaimanapun, Zuriath tidak pernah menyesal kerana menyertai pasukan polis adalah pilihannya sendiri.
“Setelah enam tahun berkhidmat, akhirnya saya berpeluang pulang beraya bersama keluarga tahun ini. Perkara pertama yang ingin saya lakukan adalah merakam kenangan, dan menikmati suasana beraya bersama mereka kerana tidak pasti apakah kesempatan ini akan berulang.
“Saya juga berharap keluarga saya terus bersabar, dan mendoakan kesejahteraan saya sepanjang bertugas jauh daripada mereka.
“Pesanan saya buat rakan setugas yang masih di perantauan ialah semoga tetap kuat dan saling menyokong antara satu sama lain dan diharap mereka berpeluang untuk kembali beraya bersama keluarga di masa hadapan,” katanya menutup bicara bersama Utusan Sarawak.
Oleh Masrin Affirah