
Dalam dunia serba pantas dan berteknologi tinggi masa kini, proses perkenalan dan janji temu tidak lagi serumit dahulu. Sebaliknya, ia menjadi semakin mudah dan pantas, khususnya bagi generasi baharu yang celik digital serta terbiasa dengan penggunaan aplikasi dan platform dalam talian.
Kemajuan teknologi bukan sahaja mengubah cara manusia berhubung, malah membuka ruang kepada bentuk perkenalan yang lebih fleksibel, segera dan merentasi batas geografi. Meskipun pertemuan secara tradisional seperti janji temu di kafe masih berlaku, semakin ramai memilih untuk menggunakan aplikasi janji temu bagi mengelakkan kerumitan bersiap dan memandu ke lokasi pertemuan.
Tanpa perlu memilih pakaian, bersolek atau merancang perjalanan, pengguna hanya perlu membuka aplikasi, meleret ke kiri untuk menolak atau ke kanan sebagai tanda minat. Proses ini bukan sahaja lebih pantas, malah lebih mudah diakses berbanding kaedah konvensional.
Pelbagai platform digital seperti Instagram, Facebook, Tinder dan Bumble membuka ruang kepada generasi muda untuk mencari pasangan hidup. Sama ada melalui mesej peribadi atau meninggalkan komen mencuit hati pada swafoto di Instagram, teknologi menjadikan proses perkenalan lebih pantas dan bersifat spontan.
Hal ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membolehkan kita memanfaatkan sepenuhnya kemudahan serta capaian meluas alat digital dalam kehidupan seharian.
Bagi Rynna Sha’erra, 29, kisah cintanya bermula secara tidak dirancang semasa sambutan Hari Gawai di rumah panjang keluarganya di Bintangor. Di situlah dia pertama kali bertemu dengan lelaki yang kini menjadi suaminya, Lukas Beleng, 36, yang juga merupakan rakan baik kepada bapa saudaranya.
“Itulah kali pertama saya nampak dia walaupun mereka iaitu Lukas dan bapa saudara saya sudah saling mengenali sejak bertahun-tahun,” katanya.
Selepas perayaan itu, Lukas menghubunginya melalui Facebook dengan satu soalan ringkas sama ada dia sudah pulang ke Miri bersama ibu bapanya.
Daripada situ, perbualan demi perbualan berlangsung dan persahabatan mereka perlahan-lahan berkembang menjadi sesuatu yang lebih istimewa.
Detik yang mengubah segalanya bagi Rynna ialah apabila Lukas menjadi satu-satunya lelaki yang berani bertemu dengan keluarganya, terutamanya neneknya yang sangat melindunginya.
“Dia tidak pernah berputus asa untuk mengambil hati nenek saya. Akhirnya, dia bukan sahaja berjaya menawan hati saya malah seluruh keluarga,” katanya.
Apabila diperkenalkan kepada keluarga pihak lelaki sebagai wanita yang ingin dijadikan isteri, Rynna sedar bahawa cinta mereka bukan sekadar perasaan tetapi merupakan suatu bentuk komitmen yang mendalam.
Walaupun pertemuan pertama berlaku secara fizikal, hubungan mereka berkembang merentas jarak. Panggilan telefon harian dan kiriman nota suara lewat malam menjadikan hari-hari biasa terasa luar biasa.
“Dia ingat perkara kecil seperti makanan kegemaran saya, tabiat saya, benda yang buat saya senyum dan yang paling penting, dia tidak lari daripada sisi saya yang paling rapuh. Dia menerima segalanya dengan penuh kesabaran,” tambah Rynna.
Lebih menyentuh hati, Lukas turut mengalami perubahan secara rohani dengan meletakkan Tuhan di pusat hubungan mereka.
“Saya nampak dia bertumbuh bukan untuk dirinya sahaja tetapi untuk kami berdua.”
Namun, hubungan jarak jauh bukanlah tanpa cabaran. Isu capaian internet dan pekerjaan yang tidak stabil semasa pandemik hampir menggugat hubungan mereka.
“Kami bermula dari kosong. Sukar juga apabila dia bekerja di kawasan yang sukar mendapat isyarat terutamanya apabila saya benar-benar memerlukan sokongan,” ujarnya.
Namun begitu, mereka belajar untuk saling memahami dan bersabar.
“Cinta itu semakin kuat kerana kami memilih untuk terus kekal walaupun dalam keadaan yang sukar.”
Apabila mereka akhirnya bertemu semula secara fizikal, perasaan itu ibarat pulang ke rumah.
Menurut Rynna, tidak wujud rasa janggal atau kekok kerana hubungan emosi yang telah terbina secara digital sangat kukuh.
“Saya tidak perlu berpura-pura. Kami sudah biasa berkongsi segalanya dan apabila berjumpa depan mata semuanya jadi lebih nyata.”
Bagi beliau, keintiman digital bukan sekadar komunikasi tetapi merupakan ikatan yang membina asas hubungan mereka.
“Kami jatuh cinta bukan kerana rupa tetapi kerana perbualan yang tidak berpenghujung, impian yang dikongsi dalam diam dan sokongan yang berterusan walaupun berjauhan.
“Kalau diberi pilihan untuk bercakap dengannya secara dalam talian seumur hidup atau bersama orang lain secara fizikal, saya tetap pilih dia setiap kali.
“Sebab hubungan kami tidak bergantung pada jarak tetapi pada hati,” katanya mengakhiri perbualan.
Bagi Nur Addilah Abdul Rahman, 24, pengalaman menggunakan aplikasi janji temu bukanlah sesuatu yang pernah dibayangkannya akan berjaya. Namun, apa yang bermula sebagai percubaan spontan akhirnya membawa kepada hubungan yang penuh makna.

“Saya memang dulu sangat skeptikal terhadap aplikasi janji temu dalam talian. Daripada apa yang saya lihat di media sosial, semuanya nampak seperti bencana menanti untuk berlaku,” katanya.
Namun, seiring dengan tamatnya pengajian, Addilah menyedari bahawa tiada sesiapa dalam kalangan rakan lelaki sekelilingnya yang benar-benar membuatkan hatinya tertarik.
“Semua rasa macam kawan semata-mata. Tiada keserasian, tiada percikan.” ujarnya.
Pada 2 Mei 2024, dia memutuskan untuk mencuba fungsi janji temu dalam Facebook.
Tanpa diduga, banyak padanan diperoleh dan sebahagiannya mampu berkomunikasi dengan baik. Tetapi, masih tiada sambungan emosi yang dirasai.
“Semuanya rasa macam Bluetooth tidak bersambung. Tak ada ‘chemistry’ langsung.”
Sehinggalah beliau terlihat profil seorang lelaki bernama Muizzuddin Muzaini, 25. Gayanya yang ringkas, berbaju kurta corak kotak dan berkaca mata menarik perhatiannya.
Tanpa ragu, beliau meleret ke kanan dan memulakan mesej pertama.
Muiz membalas, dan sejak saat itu, perbualan mereka mengalir dengan begitu semula jadi.
“Masa itu saya tahu, ini mungkin sesuatu yang lain. Kami boleh berbual berjam-jam tanpa rasa letih.
“Topik-topik yang kami kongsi begitu banyak dan kami sama benar-benar ingin mengenali satu sama lain. Ia bukan sekadar ‘suka-suka’.”
Lebih menarik, Muiz bukan berasal dari Sarawak. Beliau berasal dari Kota Tinggi, Johor, dan tidak begitu biasa dengan budaya masyarakat Sarawak. Namun, kesungguhan dan kesantunannya membuatkan Addilah rasa selesa sejak awal.
“Bila kami bertunang, pihak keluarga saya ada sediakan watikah pertunangan, sejenis dokumen atau perjanjian bertulis sebagai tanda rasmi ikatan.
“Keluarga pihak lelaki agak terkejut kerana di Johor tidak ada adat seperti ini.
“Mereka teruja dan kagum dengan amalan budaya kami,” kongsinya.
Bagi Addilah, dua perkara yang membina keintiman dan kepercayaan sebelum mereka bertemu ialah komunikasi yang berniat dan konsisten.
“Kami bukan sekadar bercakap, tetapi benar-benar mendengar. Kami berkongsi tentang minat, pengalaman lalu dan juga ketakutan kami.
“Soalan seperti ‘apa yang anda takut untuk kongsi dengan orang lain?’ membuatkan kami jadi rapat secara emosi.”
Kepercayaan terbina apabila mereka saling menunjukkan kehadiran, walaupun secara digital.
Tindakan kecil seperti mengingati perkara penting, menunaikan janji dan menghormati batasan peribadi sangat bermakna buat mereka.
Apabila akhirnya mereka bertemu secara fizikal pada 29 Jun 2024 di Dodo KL Sentral, semuanya terasa semula jadi.
“Saya tidak rasa canggung langsung. Muiz sangat tenang dan tahu bagaimana hendak membawa perbualan. Ia seperti bertemu semula dengan kawan lama.”
Bagi Addilah, keintiman digital adalah benar dan tulen apabila dibina atas kejujuran dan usaha bersama.
“Walaupun kami menghadapi kekangan masa kerana saya sedang menyiapkan projek tahun akhir dan dia bekerja syif 12 jam sebagai penganalisis keselamatan, kami tetap usahakan masa yang bermakna untuk saling mengenali.”
Percintaan mereka berkembang bukan kerana tergesa-gesa, tetapi kerana mereka meluangkan masa mengenali satu sama lain sebagai individu.
“Kami berkongsi tentang minat seperti muzik, filem dan makanan. Kami tidak terus bercakap tentang hubungan, sebaliknya tentang siapa kami sebagai individu.”
Oleh itu, apabila pertemuan fizikal berlaku, ia tidak terasa asing tetapi seperti menyambung semula perhubungan yang sudah lama terjalin.
“Ya, keintiman digital sememangnya boleh setulus dan seindah hubungan bersemuka, asalkan dibina atas usaha dan keikhlasan bersama, maka jadilah ia satu kenyataan yang benar-benar dirasa.”
Oleh Amanda L.