Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Cef tempatan tonjol inovasi sajian Sarawak berinspirasikan tren global
  • TEMPATAN

Eksklusif: Cef tempatan tonjol inovasi sajian Sarawak berinspirasikan tren global

Utusan Sarawak 1 day ago
CEF Eksekutif UFS Malaysia, Cef Nigel Lee, berucap pada Pameran Future Menus Vol. 3 di Restoran Hornbill, Kelab Sarawak hari ini. Foto: Adele Rissa

KUCHING: Program Pameran Future Menus Chef anjuran Unilever Food Solutions (UFS) yang berlangsung di Hornbill Restaurant, Kelab Sarawak hari ini menyerlahkan kreativiti kulinari dengan menampilkan hidangan berasaskan bahan tempatan yang diolah mengikut tren global.

Menurut Cef Eksekutif UFS Malaysia, Cef Nigel Lee, program pameran ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Future Menus Vol. 3 yang berlangsung di lapan wilayah di seluruh Malaysia, dengan Kuching sebagai lokasi ketiga selepas Kota Kinabalu dan sebelum Pulau Pinang.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini bertujuan memperkenalkan operator makanan kepada tren yang dijangka mempengaruhi industri dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, selain memberi inspirasi kepada cef untuk mencipta hidangan berasaskan identiti tempatan.

“Future Menus bukan sekadar laporan tren, tetapi alat rujukan yang memberi idea praktikal bagaimana bahan tempatan boleh digabungkan dengan citarasa global. 

“Kita mahu ia menjadi sumber inspirasi, terutama kepada chef yang mungkin sibuk dan jarang berpeluang meneroka idea baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak sejurus selesai sesi demonstrasi kulinari.

CEF Nigel Lee ketika ditemui Utusan Sarawak sejurus selesai sesi demonstrasi kulinari pada pameran tersebut. Foto: Adele Rissa

Sebagai rujukan, brosur Future Menus Vol. 3 turut menampilkan ciptaan-ciptaan eksklusif seperti pencuci mulut ‘Kopi Misu’, gabungan unik tiramisu dengan elemen nostalgia kopitiam, serta ‘Smoky Chicken Wings’ yang diinspirasikan daripada citarasa pasar malam dengan sentuhan moden.

Hidangan seperti ini menjadi contoh bagaimana tren global seperti Akar Kulinaridan Seni Binaan Makanan Jalanan dapat diolah agar kekal berakar dalam budaya Malaysia dan Sarawak.

Brosur tersebut juga menekankan empat tren utama yang membentuk landskap kulinari dunia iaitu Akar Kulinari, Masakan Tanpa Sempadan, Seni Binaan Makanan Jalanan dan Reka Bentuk Sajian.

Laporan ini dibina daripada analisis data global, input 250 cef profesional dari lebih 70 negara serta maklum balas lebih 1,100 penggiat industri makanan.

TANGKAPAN brosur Future Menus Vol. 3 yang menampilkan ciptaan eksklusif seperti pencuci mulut ‘Kopi Misu’ berinspirasikan tiramisu dengan sentuhan nostalgia kopitiam, serta ‘Smoky Chicken Wings’ yang diinspirasikan daripada citarasa pasar malam. Foto: UFS Brosur Future Menus Vol. 3

“Setiap kali kita bergerak ke negeri berbeza, menu juga berubah mengikut bahan dan budaya tempatan. 

“Dari midin, terung asam hingga gula apong, semuanya boleh diolah semula untuk menjadi sebahagian daripada tren antarabangsa,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, Kuching mempunyai potensi besar sebagai hab gastronomi kerana kekayaan budaya makanannya. 

Program ini, katanya, bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi idea dengan penggiat industri, malah membuka ruang kepada chef tempatan untuk menampilkan identiti Sarawak di pentas global.

Siapa Cef Nigel Lee?

Dilahirkan di Ipoh, Cef Nigel membesar dikelilingi budaya makanan yang kaya sejak kecil. Minatnya terhadap kulinari bermula seawal usia 15 tahun sebelum melanjutkan pengajian hingga memperoleh Baccalauréat Professionnel Restauration daripada Académie de Toulouse di Perancis.

Kerjayanya merentasi pelbagai cabang industri, daripada dapur hotel, bistro, kafe hingga perkhidmatan makanan di lapangan terbang.

Beliau juga pernah memiliki restoran sendiri dan berkhidmat sebagai tenaga pengajar kulinari, pengalaman yang memperkayakan wawasannya sebagai seorang cef.

Selain dunia dapur, Cef Nigel turut membina kepakaran dalam bidang akaun utama serta pembangunan perniagaan berkaitan peralatan dan bekalan dapur. 

Kini sebagai Cef Eksekutif Unilever Food Solutions Malaysia, beliau menggabungkan kreativiti masakan dengan pandangan komersial untuk memacu inovasi dan kerjasama dalam industri makanan.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kuching diangkat sebagai kota gastronomi, warisan tersaji dalam setiap hidangan
Next: Kepala warga emas hilang dijumpai dibaham buaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.