Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Bukan sekadar ratu, Avril Lavigne Siang angkat nadi budaya Iban
  • INSPIRASI

Eksklusif: Bukan sekadar ratu, Avril Lavigne Siang angkat nadi budaya Iban

Utusan Sarawak 13 hours ago
AVRIL Lavigne Siang, 22, telah dinobatkan sebagai Kumang Raban Ngepan Iban (RNI) 2025 peringkat negeri baru-baru ini.

SIBU: Di sebalik senyuman manis dan mahkota yang tersarung kemas di kepala, tersimpan kisah perjuangan seorang gadis dari Sebauh, Bintulu yang kini mengukir nama di pentas budaya negeri.

Avril Lavigne Siang, 22, pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Kumang Raban Ngepan Iban (RNI) 2025 peringkat negeri.

Namun, bagi Avril, gelaran itu bukan sekadar lambang kecantikan. Ia merupakan amanah besar sebagai pewaris budaya Iban yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Saya sangat bersyukur, terharu, dan bangga. Gelaran ini bukan hanya mahkota di kepala, tetapi juga amanah di hati.

Ia simbol bahawa wanita Iban mampu berdiri setara di pentas budaya, sambil membawa suara dan martabat kaum kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita.

DIBENTUK OLEH AKAR TRADISI

Membesar dalam keluarga sederhana yang menekankan pendidikan serta nilai tradisi, Avril didedahkan kepada adat dan budaya Iban sejak kecil.

DEBARAN ketika menunggu keputusan.

Tidak hairanlah, beliau aktif menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional, persembahan Gawai dan pertandingan ratu etnik sejak di bangku sekolah.

“Setiap pengalaman itu menjadi guru yang mengajar saya disiplin, keyakinan dan makna sebenar budaya.

Bagi saya, setiap langkah kecil di pentas adalah persediaan besar untuk RNI 2025,” katanya penuh makna.

ANTARA AKADEMIK DAN AMANAH BUDAYA

Di sebalik kesibukan sebagai pelajar universiti, Avril mengakui kejayaan ini menuntut pengorbanan masa dan tenaga.

Namun, katanya, sokongan keluarga, rakan-rakan serta komuniti menjadi pendorong utamanya.

Baginya, Ngepan Iban bukan sekadar pakaian tradisional, tetapi lambang jati diri dan maruah nenek moyang.

“Setiap aksesori dan hiasan membawa cerita. Apabila saya menyarungnya, saya bukan sekadar berhias, tetapi membawa identiti bangsa di atas tubuh saya,” katanya dengan bangga.

PEWARIS SUARA BUDAYA

Sebagai Kumang RNI 2025, Avril mahu menjadi inspirasi kepada wanita muda Iban agar terus berbangga dan menjaga akar budaya masing-masing.

“Budaya adalah kekuatan, bukan beban. Jika kita menjaga warisan ini, kita sebenarnya menjaga maruah bangsa untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Dengan penuh komitmen, Avril bertekad untuk terus aktif dalam aktiviti komuniti sambil menyeimbangkan tanggungjawab akademik serta peranan baharunya sebagai duta budaya Iban.

Akhir kata, kisah Avril bukan sekadar tentang kemenangan dalam pertandingan ratu. Ia adalah kisah tentang keyakinan, jati diri dan cinta mendalam terhadap warisan bangsa yang kini dibawanya dengan penuh bangga di atas pentas negeri.

Oleh Tarani Lanting

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Dari bilik darjah ke kebun, demi komuniti dan alam – Michael Taha
Next: Exclusive: A growing movement, how Kuching’s Youth Squad is fighting drugs with sports, nutrition and hope

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.