
KUCHING: Setiap kali musim perayaan terutamanya ketika Aidilfitri, sebuah ruangan khas di rumah Bryan Nyopiem, 28, akan dipenuhi dengan pelbagai jenis balang biskut yang ditempah oleh para pelanggan.
Aroma manis dan mentega yang memenuhi setiap ruangan udara di dalam bakeri kecil Bryan menandakan persiapan sedang giat dijalankan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Di satu sudut dapur bakeri itu, tangan-tangannya dan para pekerja cekap mengadun tepung, mentega dan gula, menghasilkan pelbagai jenis biskut yang menjadi kegemaran ramai ketika musim perayaan.

Foto RYNNA SHA’ERRA
Tidak Menang Tangan Menyiapkan Tempahan
Di dapur seorang usahawan bakeri seperti Bryan, suasana menjadi semakin sibuk dengan mesin pengadun tidak berhenti beroperasi, dulang-dulang biskut keluar masuk dari ketuhar dan setiap pekerjanya tekun memastikan tempahan disiapkan tepat pada masanya.
”Sejak memulakan perniagaan ini pada 2017, tempahan yang saya terima paling banyak ialah pada masa menjelang Aidilfitri berbanding semasa perayaan lain.
”Justeru, kami memang akan menyiapkan tempahan biskut bermula dua minggu sebelum Ramadan manakala kek dua minggu sebelum Aidilfitri bagi memastikan semua dapat disiapkan tepat pada masanya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, jumlah pengeluaran biskut pada musim perayaan juga melonjak lebih berpuluh kali ganda berbanding hari biasa.
Dalam sehari, Bryan dan pasukannya mampu menghasilkan lebih 100 balang biskut.
Tidak lokek untuk berkongsi cerita, graduan bidang konfeksioneri dan bakeri dari GIATMARA itu, berkata jualannya pada Aidilfitri tahun lalu mampu mencecah RM70,000.

Rahsia Keenakan Resipi
Ketika ditanya berkenaan keistimewaan biskut dan kek yang dihasilkannya, Bryan, berkata keunikan itu terletak pada resipi istimewa yang dipelajari daripada seorang chef pastri.
”Resipi ini sangat istimewa kerana saya mempelajarinya daripada chef pastri semasa saya masih bekerja dengannya dan dari situ, saya memberanikan diri untuk menjualnya kepada orang ramai.
”Meskipun menghadapi cabaran dalam memulakan perniagaan ini, saya bersyukur kerana hasil keuntungan yang saya perolehi digunakan untuk menambah baik peralatan yang digunakan sehingga saya semakin mudah untuk bekerja,” katanya.

Foto RYNNA SHA’ERRA
Strategi Pemasaran
Tidak hanya bergantung kepada tempahan pada musim perayaan, anak jati Kuching itu juga aktif melakukan promosi dengan menyediakan ’tester’ biskut dan kek untuk menarik pelanggan baharu.
”Pada masa ini saya mengeluarkan 11 jenis kek lapis dan sembilan jenis biskut yang mana kek lapis keju dan biskut ’Ice Nestum’ sentiasa mendapat tempahan tertinggi daripada pelanggan.
”Selain menyediakan ’tester’ sebagai kaedah menarik pelanggan, saya juga menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform utama untuk mengiklankan produk,” kongsinya ketika mengakhiri perbualan.
Oleh Rynna Sha’erra