
KUCHING: Belia harus diberi penekanan untuk mengenal potensi diri masing-masing agar tidak terus kekal dalam zon selesa tanpa mengetahui bakat dan kekuatan sebenar yang dimiliki.
Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Shantrol Abdullah, potensi diri merangkumi keupayaan, kemahiran dan kekuatan terpendam yang wujud dalam diri setiap individu, namun perlu digilap supaya mampu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau potensi ini tidak digilap, belia akan terus kekal dalam zon selesa dan tidak sedar kekuatan sebenar yang ada pada diri mereka.
“Hakikatnya, setiap belia mempunyai kelebihan, cuma mereka perlu dibimbing untuk menzahirkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak pada Program Membina Belia Pencetus Perubahan dan Revolusi Minda di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam konteks dunia semasa, golongan belia sebenarnya mempunyai penguasaan yang baik dalam bidang digital, termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI), namun kelebihan itu masih perlu dipandu dengan baik.
Katanya, belia hari ini pada asasnya sudah mempunyai kekuatan, cuma cabarannya ialah bagaimana potensi tersebut dapat ditonjolkan secara berkesan.
Dr. Shantrol menekankan, terdapat beberapa aspek potensi yang wajar diberi perhatian, antaranya potensi intelektual, kemahiran dan sosial.
“Potensi intelek sangat penting, begitu juga dengan potensi kemahiran dan sosial. Melalui jaringan sosial inilah belia boleh memperoleh pembelajaran baharu, kadang-kadang dengan cara yang tidak formal,” jelasnya.
Katanya lagi, pembelajaran tidak formal semakin digemari belia masa kini kerana ia lebih fleksibel dan sesuai dengan persekitaran digital.
“Kalau dulu, nak belajar komputer kena daftar kursus formal seperti Excel atau PowerPoint.
“Sekarang belia boleh belajar sendiri melalui platform digital, dan inilah yang menjadikan mereka lebih cepat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu,” ujarnya.
Walaupun begitu, beliau menegaskan elemen formal tidak boleh diketepikan sepenuhnya kerana ia masih diperlukan bagi memenuhi tuntutan tertentu seperti kelayakan profesional dan keperluan rasmi.
Dr. Shantrol berkata, gabungan antara pendekatan formal dan tidak formal adalah formula terbaik untuk melahirkan belia berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, ramai belia kini sudah membuktikan keupayaan mereka dalam bidang digital dengan hanya berbekalkan minat dan kemahiran yang diasah secara sendiri, sekali gus membolehkan mereka berjaya pada usia muda.
“Banyak yang kita lihat sekarang, belia menggunakan platform digital untuk menonjolkan diri mereka, dan akhirnya berjaya mencipta nama.
“Program-program berbentuk begini sebenarnya sangat baik,” katanya sambil memuji usaha penganjur Program Membina Belia Pencetus Perubahan dan Revolusi Minda, hari ini.
Dr. Shantrol berkata, inisiatif sebegini harus diperbanyakkan kerana mampu membuka ruang kepada belia untuk keluar dari zon selesa serta berani mencuba perkara baharu.
Katanya, program pembangunan belia wajar menumpukan kepada dua kategori utama iaitu belia yang sudah dikenal pasti mempunyai potensi, dan belia yang belum menonjolkan potensi tetapi berhak diberi peluang.
“Kita tidak boleh hanya fokus pada golongan bandar. Belia luar bandar juga mempunyai potensi besar, cuma mereka mungkin berdepan kekangan tertentu untuk menunjukkan kebolehan mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, cabaran belia luar bandar antaranya ialah kurang pendedahan kepada persekitaran berbeza, selain akses terhad kepada peluang tertentu.
Justeru, katanya, program belia di luar bandar perlu diberi perhatian serius supaya mereka dapat merasai keterbukaan dunia luar dan membina keyakinan diri.
“Tidak semua belia luar bandar pernah mendapat peluang untuk benar-benar merasai pengalaman di bandar.
“Jadi, program pembangunan belia harus menjadi jambatan untuk membuka peluang itu kepada mereka,” tegasnya.
Beliau menegaskan, jika potensi diri belia dapat digilap secara menyeluruh, sama ada melalui pendidikan formal, pembelajaran tidak formal atau program komuniti, ia akan melahirkan generasi muda yang lebih yakin dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Dr. Shantrol Abdullah merupakan seorang tokoh akademik dan pakar dalam bidang linguistik, terutamanya bahasa Melayu.
Beliau memulakan perjalanan akademiknya di Universiti Putra Malaysia (UPM), di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa dan Linguistik Melayu pada 2000.
Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sastera dalam bidang Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003.
Kemuncak pencapaian akademiknya adalah Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Etnolinguistik dari UPM pada 2016, yang mengukuhkan kepakaran beliau dalam kajian bahasa-bahasa etnik.
Sebelum menceburi bidang pendidikan tinggi secara sepenuh masa, Dr. Shantrol membina kerjaya yang cemerlang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 22 tahun, dari 2001 hingga 2023.
Sepanjang tempoh ini, beliau telah memegang beberapa jawatan penting, termasuk sebagai Timbalan Pengarah di DBP Cawangan Sarawak dan Ketua Akademi DBP di Kuala Lumpur.
Oleh Shahrul Qaizat