

SIAP SIAGA… Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan kesiapsiagaan aset marin bagi menghadapi MTL. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November 2025 hingga Mac 2026, dengan tumpuan utama pada aspek logistik, keanggotaan dan keselamatan komuniti.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata semua aset penyelamat termasuk jentera bomba, bot aluminium dan kelengkapan lain telah diperiksa serta berada dalam keadaan baik.
Kesiapsiagaan anggota bomba turut dipertingkat melalui latihan bersama agensi penyelamat lain, selain penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa musim tengkujuh.
Wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek, telah menghubungi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin hari ini bagi mendapatkan maklumat mengenai persediaan BBP Bintangor dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Daerah Bintangor serta kawasan sekitarnya.
Berikut adalah temu ramah eksklusif Earl Anek, bersama Mahmudin Narudin.
Soalan (S): Apakah persiapan semasa BBP Bintangor bagi menghadapi MTL kali ini, khususnya dari segi kekuatan anggota, aset dan kesiapsiagaan logistik?
Mahmudin: Persiapan BBP Bintangor sentiasa memastikan segala kelengkapan menyelamat berada dalam keadaan baik, berfungsi dengan baik dan boleh digerakkan bila-bila masa.
Kekuatan keanggotaan di balai dalam siap siaga dan sentiasa mempertingkatkan kemahiran serta pengetahuan.
S: Boleh Tuan nyatakan kawasan atau penempatan yang dikenal pasti sebagai titik panas banjir atau laluan berisiko tinggi di Daerah Bintangor dan kawasan sekitarnya?
Mahmudin: Kawasan jagaan BBP Bintangor merangkumi tiga daerah iaitu Meradong, Julau dan Pakan.
Lokasi titik panas banjir (hotspot) yang sentiasa dalam pemantauan agensi-agensi penyelamat ialah kawasan kampung di Meradong, Skim B, kawasan Julau di Lemayong/Nanga Stras dan Merurun, manakala di Pakan melibatkan Kampung Rambutan serta kawasan rendah berdekatan. Lokasi ini sering terputus hubungan sekiranya menerima hujan lebat dan berpanjangan.
S: Bagaimana bentuk koordinasi BBP Bintangor dengan agensi-agensi penyelamat lain dalam menghadapi MTL kali ini?
Mahmudin: Agensi-agensi penyelamat sentiasa bekerjasama dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi MTL 2025.
Sebagai contoh, mesyuarat penyelarasan diadakan berkaitan logistik, kekuatan setiap agensi serta penyelarasan pemantauan berterusan di lokasi-lokasi titik panas banjir apabila kawasan tersebut menerima hujan lebat dan berlaku kenaikan paras air.


AKTIVITI MENARIK… Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang pelaksanaan Program Kembara Eksplorasi 2025 di Air Terjun Wong Kuji, Pakan. Foto BBP BintangorĀ
S: Berapa jumlah aset dan jentera bomba yang disediakan untuk operasi musim banjir kali ini? Adakah terdapat aset tambahan seperti bot aluminium, PPE kalis air atau pam berkuasa tinggi disediakan di balai?
Mahmudin: Khusus untuk BBP Bintangor, aset dalam keadaan baik dan boleh digerakkan segera seperti sebuah jentera bomba, sebuah bot aluminium dan kelengkapan lain seperti jaket keselamatan, tali menyelamat serta peralatan bermotor seperti gergaji berantai.
S: Berapa ramai anggota bomba bertugas setiap syif?
Mahmudin: Kekuatan keanggotaan khususnya di BBP Bintangor keseluruhannya seramai 26 anggota bomba termasuk pegawai kanan bomba (PBK).
Dalam satu pasukan, seramai tujuh anggota bomba diketuai penyelia pasukan yang sentiasa dalam kesiapsiagaan sekiranya menerima sebarang jenis insiden kebakaran atau menyelamat.
S: Adakah BBP Bintangor telah melaksanakan latihan atau simulasi banjir bersama komuniti atau agensi lain baru-baru ini dan apakah penambahbaikan yang dibuat hasil daripada latihan tersebut?
Mahmudin: Pada 14 September lalu, BBP Bintangor telah melaksanakan perkongsian asas menyelamat di air yang melibatkan 29 peserta daripada pelbagai agensi.
Selain itu, perkongsian keselamatan di air juga telah diadakan di kawasan tempat riadah yang berisiko lemas atau berlakunya kepala air, seperti di Wong Kuji, Pakan.

S: Apakah nasihat bomba kepada penduduk berkaitan keselamatan elektrik, penggunaan lilin, dapur gas dan barangan elektrik semasa musim hujan berpanjangan?
Mahmudin: Pihak bomba sentiasa berhubung dengan komuniti setempat berkaitan bahaya dan kesedaran di air, risiko lemas serta persiapan di peringkat komuniti dalam menghadapi banjir di lokasi masing-masing.
Penduduk juga digalakkan mempunyai inisiatif persediaan awal sementara menunggu ketibaan agensi penyelamat.
S: Bagaimana prosedur pemindahan mangsa banjir yang dilaksanakan oleh BBP Bintangor khususnya bagi warga emas, kanak-kanak dan OKU agar selamat dan cepat dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)?
Mahmudin: Bagi kerja-kerja menyelamat, pihak kami sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semasa menyelamat atau memindahkan mangsa banjir.
Kelengkapan menyelamat seperti jaket keselamatan sentiasa dititikberatkan dari lokasi berisiko ke lokasi selamat, sebelum mangsa dibawa ke PPS.
S: Apakah pendekatan baharu atau tumpuan utama Tuan dalam memperkukuh kesiapsiagaan pasukan menghadapi musim MTL ini?
Mahmudin: Pendekatan dengan komuniti sentiasa diteruskan melalui ceramah kesedaran kebakaran, keselamatan di air dan teknik asas menyelamat mangsa di peringkat komuniti.
Selain itu, kemahiran memadam dan menyelamat bagi setiap insiden yang diterima sentiasa dipertingkatkan dengan pematuhan ketat terhadap SOP yang ditetapkan.
S: Akhir sekali, apakah pesanan utama Tuan kepada penduduk di kawasan Bintangor untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta benda semasa tempoh MTL ini?
Mahmudin: Pihak kami sentiasa menasihatkan komuniti setempat agar berwaspada, terutama pada musim hujan berterusan dan berpanjangan.
Pastikan peralatan menyelamat serta dokumen penting disimpan dengan baik, pantau aktiviti anak-anak, utamakan keselamatan dan ambil berat keadaan cuaca di kawasan masing-masing. Sekiranya berlaku banjir, segera maklumkan kepada agensi penyelamat dengan kadar segera.
Oleh Earl AnekĀ