Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Batik bukan sekadar warisan, tetapi jiwa – Muneera buktikan cinta tidak pernah lapuk
  • INSPIRASI

Eksklusif: Batik bukan sekadar warisan, tetapi jiwa – Muneera buktikan cinta tidak pernah lapuk

Utusan Sarawak 16 hours ago
BAGI Siti Adeena Muneera Zakaria, 31, batik bukan sekadar kain bercorak tradisi.

KUCHING: Ada warisan yang disimpan dalam almari.Dan ada warisan yang disimpan dalam jiwa.

Bagi Siti Adeena Muneera Zakaria, 31, batik bukan sekadar kain bercorak tradisi. Ia adalah memori zaman kecil, tentang seorang atuk yang tekun menjahit dan seorang nenek yang melangkah penuh anggun sehingga digelar primadona kampung.

Namun perjalanan hidupnya tidak bermula dengan jarum dan benang.

Beliau merupakan graduan Diploma Perbankan dari UiTM Samarahan — satu bidang yang jauh daripada dunia fesyen dan seni tekstil.

“Sejujurnya saya belajar perbankan sebab itu laluan yang ada masa itu. Tapi minat saya memang bukan di situ,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Katanya, sepanjang pengajian, beliau menyedari jiwanya tidak pernah benar-benar tertarik kepada dunia kewangan.

“Saya cuba minat, tapi rasa kosong. Bila saya mula buat batik, baru saya rasa puas. Baru saya rasa itu diri saya,” ujarnya.

ANTARA busana batik Mantra Collections.

Cinta yang mekar dalam diam

Minat terhadap batik bukan sesuatu yang dipelajari di dewan kuliah. Ia lahir dari rumah.

Atuknya, Mantrang Sindu, sering menjahit kebaya dan busana batik untuk isterinya. Hasil tangan itulah yang menjadikan neneknya sentiasa tampil anggun sehingga digelar primadona oleh penduduk kampung.

“Saya membesar tengok atuk jahit dan nenek pakai dengan penuh yakin. Dari situlah saya mula jatuh cinta dengan batik,” katanya.

Sebagai mengenang jasa dan pengaruh arwah atuknya, beliau menamakan jenamanya Mantra Collections, diambil daripada nama Mantrang Sindu.

“Itu cara saya teruskan legasi atuk,” jelasnya.

ANTARA busana batik Mantra Collections.

Idea lahir ketika dunia berubah

Ketika dunia dilanda wabak dan penjarakan fizikal menjadi kebiasaan, perniagaan pakaian berdepan cabaran besar. Proses mengambil ukuran badan pelanggan tidak lagi mudah.

Dalam keadaan itulah muncul satu ilham yang mengubah perjalanan perniagaannya.

“Saya fikir, kalau susah nak ambil ukuran, kenapa tak buat potongan yang tak perlu ukuran?” katanya.

Lalu terciptalah batik potongan longgar bersaiz bebas , tidak perlu mengukur, tidak perlu sesi mencuba berulang kali.

Rekaannya selesa, lapang dan sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh. Lebih menarik, ia boleh digayakan oleh lelaki mahupun wanita.

“Saya memang nak batik ini boleh dipakai semua orang. Batik itu warisan kita bersama,” katanya lagi.

Tanpa diduga, potongan bersaiz bebas itu menjadi antara yang paling laris.

ANTARA busana batik Mantra Collections.

Mengubah persepsi masyarakat terhadap batik

Bagi Muneera, perjuangannya lebih daripada sekadar menjual pakaian. Beliau mahu mengubah tanggapan bahawa batik hanya sesuai untuk orang lama atau majlis rasmi.

“Batik boleh jadi pakaian harian. Boleh pakai santai, boleh pakai ke pejabat. Ia bergantung pada cara kita gayakan,” ujarnya.

Beliau memilih warna yang lebih segar, potongan lebih moden dan gaya yang lebih santai tanpa menghilangkan nilai tradisi.

Ilmu perbankan yang pernah dipelajarinya pula membantu dalam mengurus perniagaan dengan lebih teratur.

“Walaupun saya tak minat bekerja dalam bidang itu, ilmu yang saya belajar tetap berguna untuk urus kewangan perniagaan,” katanya.

ANTARA busana batik Mantra Collections.

Warisan yang tidak pernah pudar

Daripada seorang pelajar yang tidak pasti dengan haluan hidupnya, Muneera kini berdiri sebagai usahawan yang membawa batik ke ruang lebih luas.

Apa yang bermula sebagai kenangan terhadap atuk yang menjahit dan nenek yang bergaya, kini menjadi jenama yang membawa makna mendalam.

Di setiap helaian batik bersaiz bebas itu, ada cerita tentang keberanian memilih jalan sendiri. Tentang cinta terhadap warisan. Tentang seorang cucu yang tidak mahu seni itu berhenti pada satu generasi.

Kerana bagi Muneera, batik bukan sekadar kain.

Ia adalah jiwa.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Dari kampung ke pasaran global, kisah kejayaan Jamilah bersama Kerepek Pisang Warisan JM Enterprise
Next: Dato Sri Bo’ Tajang Laing raikan ulang tahun ke-100, seabad khidmat dan untuk masyarakat Orang Ulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.