Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Basri pemancing tegar temui makna hidup di hujung joran
  • INSPIRASI

Eksklusif: Basri pemancing tegar temui makna hidup di hujung joran

Utusan Sarawak 19 hours ago
KENANGAN MANIS… Detik penuh makna buat Basri ketika ekspedisi memancing di perairan Bintulu selama lima hari empat malam di lautan luas yang mengajar erti sabar, usaha dan rezeki, dengan hasil tangkapan mencecah 571kg termasuk seekor ‘giant trevally’ 31kg.

KUCHING: Bagi Basri, 33, lautan bukan sekadar hamparan biru yang luas tapi di situ terletak ketenangan, kesabaran dan makna kehidupan sebenar.

“Memancing bagi saya bukan sekadar hobi. Ia terapi minda, tempat saya lepaskan segala tekanan dan tenangkan fikiran. Bila ‘strike’, hanya Tuhan tahu perasaannya dunia seakan terhenti seketika,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.

HOBI… Basri atau Semerah Angler, anak jati Kuching, menjadikan laut sebagai ruang mencari ketenangan dan rezeki bukan hanya dari hasil tangkapan, tetapi juga dari hikmah kesabaran.

Katanya, segalanya bermula kerana ‘racun’ daripada sahabat.

“Kena racun kawan. Bila dah kena, tiada jalan keluar jadi parah terus,” ujarnya berseloroh, mengenang detik awal dirinya jatuh cinta dengan dunia pancing.

Sebagai seorang yang berdisiplin, Basri sentiasa membuat persediaan rapi setiap kali mahu ke laut.

“Sebelum ekspedisi memancing, saya dah rancang sebulan lebih awal. Semua kena siap, dari mental, umpan, sampai ke joran,” jelasnya.

KENANGAN MANIS… Detik penuh makna buat Basri ketika ekspedisi memancing di perairan Bintulu selama lima hari empat malam di lautan luas yang mengajar erti sabar, usaha dan rezeki, dengan hasil tangkapan mencecah 571kg termasuk seekor giant trevally 31kg.

Namun, di sebalik tawa dan kisah ‘strike’, tersimpan kenangan yang tak mungkin dilupakan.

Di Sematan dan Tanjung Datu, Basri pernah menaikkan ikan bantal emas (jenahak) menggunakan teknik ‘jigging’, manakala di lokasi T.23 bersama tekong Ee, beliau berjaya menewaskan seekor ‘golden trevally’ atau ‘ebek’ dengan menggunakan hasil teknik yang sama.

TEKNIK… Basri menunjukkan hasil tangkapan ikan ebek menggunakan teknik ‘jigging’, antara kaedah kegemarannya ketika turun ke laut.

“Perasaan masa tu, tak boleh digambarkan dengan kata. Hanya pemancing yang tahu nikmat bila hasil naik di hujung tali,” katanya, tersenyum mengenang detik itu.

Baginya, memancing bukan tentang siapa paling hebat atau siapa paling banyak tangkapan, tetapi tentang belajar menunggu dengan sabar.

“Kumpau itu pasti, ‘strike’ itu bonus. Yang penting sabar. Kadang tak dapat ikan, tapi dapat tenang,” katanya.

TEKNIK… Antara detik membanggakan Basri apabila berjaya menaikkan ikan bantal emas menggunakan teknik ‘jigging’ di perairan Tanjung Datu.

Bagi Basri, cuaca dan gelombang laut adalah gurunya.

“Kalau ribut datang, tak dapat mancing, masuk kabin dan tidur. Laut pun ada bahasa sendiri, kita kena hormat,” ujarnya.

Pengalaman demi pengalaman menjadikan Basri seorang yang lebih tenang dan matang.

“Memancing ajar saya erti sabar, erti usaha dan erti reda. Dalam hidup pun sama tak semua umpan disambut, tapi tak bermakna kita berhenti mencuba,” katanya, dengan nada penuh makna.

TEKNIK… Kapal Nemo digunakan bagi teknik ‘bottom drift’ untuk memburu ikan merah bagong, antara spesies sasaran utama Basri ketika ekspedisi laut dalam.

Kini, setelah berkeluarga, Basri tetap menjadikan memancing sebagai hobi sampingan bukan untuk keuntungan, tetapi sebagai warisan jiwa.

“Saya tak jual hasil tangkapan. Saya makan sendiri, bagi keluarga atau sedekah pada jiran. Rezeki laut ini lebih manis bila dikongsi,” katanya lembut.

Antara ikan yang sering menjadi hasil tangkapannya termasuk ikan merah, ibu kerisi dan yang paling istimewa, ikan bantal emas.

TEKNIK… Basri bersama rakan-rakan pemancing menggunakan kapal khas bagi teknik ‘bottom drift’ untuk menaikkan hasil tangkapan ikan ibu kerisi.

Ekspedisi memancing paling bersejarah baginya ialah di Bintulu selama lima hari empat malam bersama 12 pemancing termasuk dari Semenanjung, dengan hasil mencecah 571 kilogram (kg), termasuk seekor ‘giant trevally’ seberat 31 kg.

Di hujung bicara, Basri menitip pesan kepada anak muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia pancing.

“Belajarlah pelbagai teknik ‘jigging’, ‘casting’, ‘popping’. Tapi yang paling penting, belajarlah sabar. Di laut, kita bukan lawan alam. Kita belajar memahami rezeki dan masa,” ujarnya.

Bagi Basri, setiap lontaran umpan adalah doa dan setiap sambaran ikan adalah tanda bahawa kesabaran itu akhirnya berbalas.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Tujuh anggota APM Saratok terima pingat dan reben penghargaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.