
KUCHING: Bantuan Asas Rahmah bernilai RM100 untuk pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas ternyata melegakan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Namun, tinjauan eksklusif Utusan Sarawak di Everwin Centre Sdn Bhd, Batu 11 mendapati sumbangan sekali beri ini juga mampu menampung keperluan asas sekurang-kurangnya dalam tempoh singkat, dengan beras menjadi pilihan utama sebelum barangan lain dipertimbangkan.
Seorang penerima yang ditemui mengakui keutamaan beliau adalah membeli beras kerana ia makanan ruji harian.

“Beras dulu, sebab beras penting. Kalau tak ada, susah keluarga nak makan. Bantuan macam ni memang membantu, tapi kalau dalam bentuk barangan asas terus, lebih senang. Duit pun akhirnya beli barang yang sama juga,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap sistem penyampaian bantuan yang dianggap masih belum lancar.
“Kadang-kadang sistemnya agak menyusahkan. Ramai staf jadi terbeban, orang ramai pula terpaksa tunggu lama. Itu yang buat rasa sesak,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi penerima, RM100 ini memberi sedikit ruang untuk bernafas, terutama bagi membeli barang asas seperti minyak masak, tepung dan beras.
Namun, beliau mengakui nilai itu tidak cukup untuk menampung keseluruhan kos sara hidup.
“Makanan memang jadi keutamaan. Kalau tak ada bantuan ni, saya kena tangguh beli sampai gaji. Jadi, walaupun kecil, ia tetap menyenangkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai yang turut ditemui di pasar raya sama berpendapat bantuan sekali beri ini memberi peluang kepada mereka yang jarang keluar membeli belah kerana tugasan ketat.
“Kalau duduk dalam kem, memang susah nak keluar. Biasanya tunggu gaji baru beli barang.
“Jadi, bila ada seratus ni, bolehlah keluar beli barang penting. Memang cukup-cukup saja, sekadar sipi-sipi tampung keperluan harian,” ujarnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan.
Beliau turut mengakui bantuan sekali beri ini tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kos sara hidup, namun tetap memberi sedikit kelegaan.

“Nak kata menyelesaikan masalah semua, memang tak. Tapi bolehlah meringankan sikit. Yang lebih susah ialah keluarga besar atau yang tiada pendapatan tetap. Merekalah paling perlukan bantuan macam ni,” tambahnya.
Pada masa sama, ada juga penerima yang mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan supaya bantuan ini tidak hanya tertumpu kepada barangan kering, tetapi turut membolehkan barangan basah dibeli.
Secara keseluruhan, tinjauan ini mencerminkan realiti bahawa rakyat masih mengutamakan barang paling asas iaitu beras, diikuti minyak masak dan barangan kering lain.

Walaupun nilai RM100 dilihat ‘cukup-cukup makan’, rata-rata penerima tetap bersyukur kerana bantuan ini sedikit sebanyak membantu mereka bertahan dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.
Namun, mesej jelas daripada rakyat adalah harapan agar bantuan sebegini disasarkan lebih khusus kepada keluarga yang benar-benar memerlukan, dengan sistem penyampaian yang lebih mesra dan lancar.
Oleh Adele Rissa