


KUCHING: Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 berjumlah RM150 kepada murid sekolah seluruh negara bermula seawal 11 Januari ini, sekali gus membantu ibubapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi akademik baharu.
Pelaksanaan bantuan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada ibubapa yang melihatnya sebagai sokongan awal dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak.
Bagi Nurul Izzati Afiqah Mohamad Zen, 30, seorang Penolong Juruukur, bantuan tersebut membantu dalam memastikan persiapan persekolahan anak dapat dibuat dengan lebih teratur.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan bantuan persekolahan ini yang merupakan satu kelegaan bagi ibubapa walaupun kos pembelajaran dan yuran bagi seorang anak adalah lebih dari rm150.
“Walau bagaimanapun bantuan yang diberikan sangat membantu dan meringankan beban ibubapa dan satu ihsan yang amat berharga buat ibubapa dalam mencukupkan segala keperluan pembelajaran anak.
“Saya berharap agar bantuan ini dapat diteruskan bagi membantu ibubapa lebih-lebih lagi kepada yang kurang pendapatan dan mempunyai tanggungan anak yang ramai supaya sedikit sebanyak dapat membantu membeli dan mencukupkan keperluan asas persekolahan anak-anak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.
Sementara itu, Azrin Marin, 26, yang bekerja sebagai Pembanci, berkata dengan adanya bantuan BAP 2026 secara sekali bayar ini, barang keperluan asas persekolahan seperti baju sekolah, kasut, buku, dan alat tulis anak-anak dapat dilengkapkan.
“Kami sebagai ibubapa ingin memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi dan lebih bersemangat.
“Bantuan ini jelas banyak memberi manfaat serta membantu keluarga berpendapatan rendah dan yang mempunyai ramai anak.
“Saya berharap bantuan ini diteruskan supaya semua ibubapa dapat meringankan beban kewangan untuk keperluan asas pendidikan anak-anak bagi membolehkan anak-anak memulakan sekolah dengan kelengkapan mencukupi dan motivasi tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Constance Vanessa, 39, Pegawai Tadbir, menyatakan bahawa bantuan RM150 itu memang memberi sedikit kelegaan kerana sebahagian daripada kos persediaan sekolah dapat ditampung.
“Namun begitu, masih banyak kos lain yang perlu ditanggung oleh ibubapa seperti yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), buku tambahan, pakaian seragam, peralatan sukan, serta kos pengangkutan harian.
“Jadi, bantuan ini membantu meringankan beban tetapi tidak sepenuhnya menutup keseluruhan perbelanjaan yang semakin meningkat setiap tahun,” luahnya.
Constance juga berharap agar bantuan seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia memberi sokongan besar kepada ibubapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Sekiranya, jumlah bantuan dapat disesuaikan mengikut tahap pendidikan, ia akan lebih membantu kerana kos persekolahan semakin meningkat setiap tahun,” ujarnya.
Inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu melibatkan setiap murid warganegara Malaysia dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6, tanpa mengambil kira had pendapatan ibubapa atau penjaga.
Bantuan berkenaan diagihkan secara tunai sepenuhnya kepada ibubapa atau penjaga melalui pihak sekolah menerusi program pertemuan yang ditetapkan.
BAP RM150 dilihat sebagai antara langkah sokongan awal kerajaan bagi membantu ibubapa membuat persiapan persekolahan anak-anak, khususnya pada peringkat awal sesi akademik 2026.
Oleh Masrin Affirah