

LATIHAN….Anggota Sukarela Pertahanan Awam (MyAspa) O Sarikei dan Meradong bergabung menjalankan latihan cara pemasangan C-Tent. Foto APM Sarikei
SARIKEI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi musim monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula pada November ini dan berterusan sehingga Mac 2026, dengan tumpuan terhadap kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya telah memperkukuh keanggotaan, aset serta pelan tindak balas bencana sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kejadian banjir, ribut petir dan tanah runtuh yang lazimnya berlaku sepanjang tempoh monsun.
Katanya, APM Sarikei juga terus menjalinkan kerjasama rapat dengan jabatan teknikal dan agensi penyelamat lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi memastikan setiap tindakan pemantauan dan operasi penyelamatan dapat dijalankan dengan pantas, bersepadu dan selamat.
Wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek, telah menghubungi Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi hari ini berhubung persediaan dan kesiapsiagaan APM Sarikei menjelang musim MTL.
Berikut adalah temu ramah eksklusif Earl Anek, bersama Shahrol Azizi Zaidi.
Soalan (S): Apakah tahap kesiapsiagaan APM Sarikei dalam menghadapi MTL tahun ini?
Shahrol Azizi: Setakat Oktober 2025, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menghadapi MTL yang dijangka bermula November ini.
Antara kawasan dikenal pasti berisiko banjir ialah Bayong, Meradong, Julau dan Pakan serta kawasan rendah di sepanjang Sungai Sarikei.
Bagi Bintangor, Pakan dan Julau, risiko turut melibatkan tanah runtuh di kawasan lereng bukit serta ribut petir di kawasan terbuka dan penempatan tepi sungai.
S: Berapa kekuatan anggota dan sukarelawan APM Sarikei yang bersiap sedia untuk digerakkan semasa MTL?
Shahrol Azizi: APM Sarikei mempunyai kekuatan operasi yang bersiap siaga untuk digerakkan secara berperingkat mengikut tahap amaran dan keperluan operasi.

S: Apakah aset kritikal yang disediakan oleh APM Sarikei bagi menghadapi kemungkinan bencana?
Shahrol Azizi: Bagi menghadapi kemungkinan bencana, APM Sarikei telah menempatkan empat bot penyelamat iaitu bot aluminium 60HP, bot dinghy 40HP, bot fiber 15HP dan bot SDMC 15HP.
Turut disediakan adalah sebuah kenderaan pacuan kenderaan empat roda (4WD), sebuah ambulans APM (Ambulans Penyelamat), sebuah lori HICOM tiga tan, jaket keselamatan, Khemah Boleh Lipat (C-Tent) dan kit permulaan makanan.
Aset tambahan akan disokong oleh APM Bahagian berdekatan sekiranya berlaku peningkatan insiden.
S: Berapa jumlah dan kapasiti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti di Bahagian Sarikei?
Shahrol Azizi: Sebanyak 31 PPS telah dikenal pasti di seluruh Bahagian Sarikei merangkumi Sarikei, Bintangor, Pakan dan Julau dengan kapasiti keseluruhan melebihi 4,000 orang.
Setiap PPS dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, tandas, dapur dan zon keselamatan wanita serta kanak-kanak.
S: Apakah kawasan atau lokaliti berisiko tinggi yang menjadi tumpuan pemantauan APM Sarikei?
Shahrol Azizi: Fokus pemantauan utama ialah kawasan tebing Sungai Sarikei, lereng bukit di Pakan dan Nanga Entabai (berisiko tanah runtuh dan banjir), serta jalan penghubung utama Sarikei–Julau–Pakan yang kerap dinaiki air.
S: Bagaimana mekanisme amaran awal disampaikan kepada penduduk di kawasan terlibat?
Shahrol Azizi: APM menggunakan pelbagai saluran amaran termasuk makluman rasmi melalui media sosial APM Sarikei dan rangkaian komunikasi komuniti melalui WhatsApp dan Telegram.
Ambang pengaktifan amaran ditentukan berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan paras air JPS, manakala saluran rasmi rujukan ialah Facebook APM Sarikei, laman web Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta portal MetMalaysia.


PENGUJIAN BOT….APM Sarikei menjalankan pengujian bot Dinghy sebelum musim MTL tiba. Foto APM Sarikei.
S: Bagaimana penyelarasan taktikal antara agensi penyelamat dilaksanakan sepanjang musim MTL ini?
Shahrol Azizi: APM berperanan sebagai Sekretariat JPBD dan menyelaras operasi dengan Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Setiap agensi mempunyai tugasan jelas dalam struktur Sistem Komando Insiden (ICS) bagi memastikan koordinasi pantas semasa operasi menyelamat dan pemindahan.
S: Apakah bentuk latihan atau penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan menjelang MTL 2025/2026?
Shahrol Azizi: Menjelang MTL 2025/2026, APM telah melaksanakan simulasi pemindahan mangsa banjir pada bulan September lalu melibatkan komuniti di Julau.
Baru-baru ini, Program Kampung Siaga turut diadakan di Ulu Sarikei, Bayong.
Penambahbaikan utama meliputi pengurusan logistik menggunakan aplikasi digital, penyelarasan data mangsa secara masa nyata serta prosedur keselamatan petugas semasa operasi malam dan cuaca ekstrem.
S: Bagaimana pengurusan bekalan dan keselamatan di PPS dipantau oleh APM?
Shahrol Azizi: APM bekerjasama rapat dengan JKM bagi memastikan rantaian bekalan makanan dan air bersih mencukupi sekurang-kurangnya tiga hari pertama setiap operasi pemindahan.
Bekalan ubat kritikal diselia oleh Kementerian Kesihatan (KKM), manakala aspek keselamatan elektrik dipantau oleh JKR dengan bantuan Sarawak Energy.
APM turut menggalakkan komuniti bersiap dengan lampu suluh, power bank dan kit kecemasan peribadi.
S: Akhir sekali, apakah nasihat utama APM kepada penduduk Sarikei menjelang MTL?
Shahrol Azizi: Nasihat utama kepada penduduk adalah supaya mereka peka kepada amaran cuaca dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa, menyediakan dokumen penting, ubat-ubatan, pakaian dan peralatan asas dalam beg kecemasan, elakkan menyebar maklumat tidak sahih di media sosial serta rujuk sumber rasmi APM, NADMA dan MetMalaysia.
Oleh Earl Anek