Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Eksklusif: Antara harapan nelayan dan ketelitian saintifik: Kisah ‘muntah paus’ Belawai
  • RENCANA

Eksklusif: Antara harapan nelayan dan ketelitian saintifik: Kisah ‘muntah paus’ Belawai

Utusan Sarawak 12 hours ago

SEMAWI MENTALI bergambar bersama objek yang dipercayai "muntah paus" pada November lalu.

PENEMUAN objek terapung yang dipercayai sebagai muntah paus atau ambergris di perairan Kuala Belawai pada November tahun lalu bukan sekadar mencetuskan perhatian awam, malah membuka ruang perbincangan lebih luas tentang sains marin, pemuliharaan hidupan liar dan kefahaman masyarakat terhadap fenomena alam yang jarang berlaku di dunia.

Ia bermula apabila seorang nelayan tempatan yang dikenali sebagai Semawi Mentali,58, menemui objek luar biasa tersebut ketika menjalankan rutin hariannya di laut. 

Namun apabila dakwaan penemuan itu menjadi tular, ia pantas mengundang pelbagai reaksi, termasuk spekulasi mengenai nilai ekonomi, persoalan undang-undang dan kebimbangan terhadap kesahihan bahan tersebut.

Dalam menghadapi situasi sedemikian, peranan pihak berkuasa menjadi amat penting bagi memastikan setiap dakwaan ditangani secara berfakta dan bertanggungjawab. 

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) tampil mengambil pendekatan saintifik dengan menjalankan proses pengesahan makmal, sekali gus meredakan kekeliruan dan mengelakkan kesimpulan terburu-buru.

Sehingga saat ini, objek yang dipercayai “muntah paus” tersebut masih belum dikenal pasti ketulenannya.

Wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek telah menemu bual secara eksklusif Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran hari ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan proses pengesahannya. 

Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran

Soalan (S): Boleh Tuan jelaskan secara umum apakah proses saintifik yang sedang dijalankan oleh SFC bagi mengenal pasti ketulenan bahan yang dipercayai sebagai muntah paus ini?

Abang Arabi: Proses pengesahan dijalankan menggunakan pendekatan saintifik yang menyeluruh, merangkumi pemeriksaan fizikal serta analisis makmal termasuk ujian DNA. 

Proses ini dilaksanakan oleh SFC dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi mengenal pasti komposisi dan asal-usul bahan tersebut bagi memastikan sama ada ia benar- benar ambregis atau bahan marin lain.

(S): Kebiasaannya, berapa lama tempoh yang diperlukan untuk proses analisis makmal sebelum sesuatu bahan dapat disahkan sebagai ambergris atau sebaliknya?

Abang Arabi: Tempoh analisis lazimnya mengambil masa antara beberapa minggu hingga beberapa bulan, bergantung kepada jenis ujian yang dijalankan, ketersediaan kemudahan makmal serta keperluan pengesahan silang (cross-verification) bagi memastikan keputusan yang tepat dan sahih.

(S): Apakah bentuk ujian atau kaedah utama yang digunakan bagi membezakan ambergris tulen dengan bahan marin lain yang kelihatan serupa?

Abang Arabi: Pengenalpastian ambergris melibatkan pelbagai kaedah dan teknik yang dapat membantu menentukan ketulenan dan kualiti bahan tersebut. 

Berikut adalah beberapa pendekatan yang lazim digunakan untuk pengenalpastian ambergris:

Pemeriksaan visual

Pemeriksaan awal dilakukan untuk menilai warna, tekstur dan morfologi sampel. Ambergris tulen biasanya berwarna daripada putih pucat/kekuningan hingga kelabu atau hitam, dengan tekstur berlilin atau separa mengeras serta bentuk tidak teratur.

Penilaian bau (organoleptik)

Profil bau merupakan parameter penting. Ambergris tulen menghasilkan aroma musk yang unik dan kompleks hasil proses pematangan semula jadi, yang membezakannya daripada bahan lain.

Analisis kimia

Kromatografi gas–spektrometri jisim (GC-MS) digunakan untuk mengenal pasti sebatian dan penanda kimia khusus, termasuk komponen berkaitan ambrein, bagi mengesahkan ketulenan.

Pemeriksaan mikroskopik

Analisis struktur mikro dijalankan untuk mengenal pasti sisa biologi seperti paruh sotong, yang menyokong asal biogenik ambergris.

Analisis genetik molekul

Analisis DNA boleh digunakan untuk mengenal pasti spesies paus asal ambergris, seterusnya mengesahkan kesahihannya.

Ujian ini penting kerana terdapat banyak bahan marin lain yang kelihatan serupa tetapi tidak mempunyai nilai atau ciri biologi yang sama. 

Pengenalpastian ambergris boleh menjadi proses yang kompleks, memerlukan kepakaran dan peralatan khusus. 

Perundingan dengan profesional yang berpengalaman dalam pengenalpastian ambergris disyorkan bagi memastikan keputusan yang tepat dan boleh dipercayai.

(S): Dalam rekod SFC setakat ini, adakah Sarawak pernah mempunyai kes penemuan ambergris yang disahkan secara saintifik sebelum ini?

Abang Arabi: Setakat rekod SFC, tiada penemuan ambergris dilaporkan di Sarawak. 

Hanya pada November 2025, seorang nelayan dari Kuala Belawai menemui objek terapung seberat kira-kira 1.2 kg yang dipercayai ambergris. 

Namun begitu, adalah penting untuk menentukan kesahihan dakwaan tersebut kerana menurut penemuan saintifik, ambergris hanya direkodkan terbentuk dalam sistem pencernaan paus sperma (physeter macrocephalus) sebagai bahan pelindung terhadap sisa tidak hadam seperti paruh sotong. 

Ambergris boleh terapung di lautan bertahun-tahun dan jarang terdampar ke pantai.

Secara fizikal, ambergris berlilin, berwarna putih pucat hingga hitam, dan menghasilkan aroma musk unik selepas matang. 

Komposisi kimianya mengandungi ambrein, yang digunakan sebagai fixative dalam industri minyak wangi walaupun kini sebahagiannya digantikan oleh bahan sintetik bagi tujuan perlindungan mamalia laut.

Sebarang laporan penemuan ambergris masih memerlukan pengesahan saintifik, kerana tidak semua bahan yang dikatakan “muntah paus” memenuhi kriteria ambergris. 

Sekiranya bahan tersebut disahkan sebagai ambergris, SFC akan mengambil tindakan selaras dengan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

(S): Bagaimanakah pendirian SFC terhadap nelayan atau orang awam yang menemui bahan luar biasa seperti ini dan melaporkannya secara bertanggungjawab kepada pihak berkuasa?

Abang Arabi: Pendekatan SFC adalah berasaskan pendidikan, kesedaran dan pematuhan undang-undang.

(S): Pihak SFC yang menemui Encik Semawi pernah menasihatkan supaya bahan tersebut tidak dipegang dengan tangan kosong. Bolehkah Tuan jelaskan kepentingan aspek pengendalian ini dari sudut kualiti dan siasatan saintifik?

Abang Arabi: Pengendalian sampel ambergris secara betul adalah kritikal untuk mengelakkan pencemaran silang, degradasi kualiti dan kehilangan nilai bukti saintifik. Sentuhan dengan minyak, peluh, atau bahan kimia pada kulit manusia boleh mengubah komposisi kimia, menjejaskan aroma dan kandungan ambrein, sekali gus menyebabkan keputusan analisis makmal menjadi tidak tepat. 

Oleh itu, penggunaan sarung tangan steril, bekas kedap udara, dan prosedur standard pengurusan sampel adalah kritikal bagi mengekalkan integriti saintifik.

(S): Untuk kefahaman orang awam, apakah langkah paling wajar yang perlu diambil sekiranya seseorang menemui bahan atau objek laut yang luar biasa sebelum ia dikenal pasti secara rasmi oleh pihak berkuasa?

Abang Arabi: Orang awam dinasihatkan supaya melaporkan penemuan yang berkaitan hidupan liar kepada SFC dengan merekodkan lokasi penemuan (contohnya melalui gambar dan koordinat), untuk tindakan lanjut dan pengesahan rasmi.

(S): Dari sudut pemuliharaan dan ilmu pengetahuan, apakah kepentingan penemuan seperti ini kepada kajian hidupan marin di Sarawak?

Abang Arabi: Penemuan seperti ini amat bernilai dari sudut pemuliharaan dan sains kerana ia boleh memberikan maklumat baharu mengenai kehadiran, pergerakan dan kesihatan hidupan marin seperti paus di perairan Sarawak, sekali gus menyumbang kepada perancangan pengurusan dan perlindungan biodiversiti marin.

(S): Apakah nasihat SFC kepada masyarakat, khususnya nelayan, sekiranya mereka menemui objek atau hidupan laut yang luar biasa pada masa akan datang?

Abang Arabi: SFC menasihatkan masyarakat, khususnya nelayan, agar sentiasa berwaspada dan sentiasa memelihara kelestarian alam, melaporkan kepada SFC sekiranya terdapat kejadian “stranded marine mammals”. 

Kerjasama ini amat penting bagi memastikan sumber semula jadi Sarawak terus dilindungi untuk generasi akan datang.

Berdasarkan jawapan dari temu bual ini, secara keseluruhan, kes penemuan objek yang dipercayai sebagai muntah paus di perairan Kuala Belawai memperlihatkan bagaimana sesuatu fenomena alam yang jarang berlaku boleh mencetuskan pelbagai persepsi awam, khususnya apabila ia tular sebelum disahkan secara saintifik. 

Dalam keadaan sedemikian, ketelitian, kesabaran dan disiplin ilmu menjadi kunci utama bagi membezakan antara andaian dan fakta.

Pendekatan SFC yang menekankan pengesahan makmal, kerjasama akademik dan pematuhan undang-undang mencerminkan usaha memastikan setiap dakwaan ditangani secara berhemah dan bertanggungjawab. 

Proses ini bukan sahaja penting untuk menentukan ketulenan bahan tersebut, malah berperanan mendidik masyarakat agar lebih memahami kaedah saintifik serta kepentingan pemuliharaan hidupan marin.

Hasil temu bual ini mengingatkan bahawa di sebalik harapan dan perhatian awam, alam menuntut kefahaman yang berlandaskan ilmu dan kerjasama. 

Sama ada bahan tersebut disahkan sebagai ambergris atau sebaliknya, kes Belawai tetap membawa nilai penting iaitu memperkukuh hubungan antara komuniti nelayan, pihak berkuasa dan sains demi kelestarian sumber semula jadi Sarawak untuk generasi akan datang.

Oleh Earl Anek

Continue Reading

Previous: Terus melangkah, jangan berlengah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.