Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Ancaman pemburuan haram terus bayangi kelangsungan Tenggiling Sunda di Sarawak
  • TEMPATAN

Eksklusif: Ancaman pemburuan haram terus bayangi kelangsungan Tenggiling Sunda di Sarawak

Utusan Sarawak 13 hours ago
GAMBAR AI Tenggiling Sunda. Foto AI Earl Anek

TENGGILING Sunda (Manis javanica) merupakan antara spesies mamalia paling unik di dunia, namun pada masa yang sama turut berada dalam senarai haiwan yang paling banyak diperdagangkan secara haram di peringkat global. 

Di Sarawak, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang, namun ancaman terhadapnya masih wujud terutamanya disebabkan permintaan tinggi dalam perdagangan hidupan liar haram di peringkat antarabangsa.

Perdagangan haram tenggiling didorong oleh kepercayaan tertentu terhadap sisiknya yang dikatakan mempunyai nilai perubatan tradisional dan juga digunakan dalam produk kecantikan. 

GAMBAR AI Tenggiling Sunda. Foto AI Earl Anek

Kepercayaan tersebut menyebabkan permintaan terhadap sisik tenggiling terus meningkat di pasaran luar negara, sekali gus menjadikan spesies ini sasaran pemburu haram.

Sehubungan dengan itu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus mempergiatkan usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan bagi memastikan spesies ini terus dilindungi di habitat semula jadinya. 

Wartawan Utusan Sarawak telah mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran pada hari ini, mengenai ancaman semasa dan langkah yang diambil untuk melindungi tenggiling di Sarawak.

Soalan (S): Sejauh mana ancaman pemburuan dan perdagangan haram terhadap tenggiling di Sarawak ketika ini dan apakah cabaran terbesar dalam melindungi spesies ini?

Abang Arabi: Ancaman terhadap Tenggiling Sunda di Sarawak masih wujud terutamanya disebabkan permintaan tinggi dalam perdagangan hidupan liar haram di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, bangsa Cina beranggapan bahawa sisik tenggiling ini boleh menyembuh penyakit asma dan juga sebagai bahan campuran untuk kecantikan kulit menyebabkan permintaan yang tinggi daripada negara China.

Walaupun Sarawak mempunyai undang-undang yang ketat bagi melindungi spesies ini, cabaran utama adalah kegiatan pemburuan haram untuk mendapatkan sisik tenggiling yang masih berlaku disamping Sarawak menjadi sebagai hub untuk perpindahan sisik tenggiling sebelum di eksport ke luar negara.

GAMBAR AI Tenggiling Sunda. Foto AI Earl Anek

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 13 kes tangkapan berkaitan tenggiling telah direkodkan, dengan anggaran lebih 150 kilogram sisik tenggiling dirampas oleh pihak berkuasa.

S: Apakah langkah yang sedang diambil oleh SFC bagi memastikan tenggiling terus dipelihara di habitat semula jadinya?

Abang Arabi: SFC melaksanakan pelbagai langkah bagi melindungi spesies ini, termasuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, melakukan pemantauan penjualan dalam talian seperti Facebook dan TikTok, menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain, serta melaksanakan pemantauan habitat secara berterusan di lapangan.

Selain itu, SFC juga giat menjalankan program kesedaran awam mengenai kepentingan melindungi hidupan liar, serta bekerjasama dengan komuniti setempat bagi mengurangkan aktiviti pemburuan haram.

S: Mengapa tenggiling dianggap penting kepada keseimbangan ekosistem hutan?

Abang Arabi: Tenggiling Sunda memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan kerana diet utamanya terdiri daripada semut dan anai-anai.

Dengan memakan ribuan serangga setiap hari, tenggiling membantu mengawal populasi serangga secara semula jadi.

Peranan ini penting dalam mengekalkan keseimbangan ekologi hutan serta mengurangkan kerosakan terhadap tumbuhan dan struktur tanah.

GAMBAR AI Tenggiling Sunda. Foto AI Earl Anek

S: Tenggiling sering disebut sebagai mamalia yang paling banyak diperdagangkan secara haram di dunia. Apakah usaha penguatkuasaan yang dilakukan bagi mengekang kegiatan ini di Sarawak?

Abang Arabi: Tenggiling banyak diperdagangkan melalui sisiknya dan menurut SFC, usaha penguatkuasaan sentiasa diperkukuh melalui rondaan di lapangan, aktiviti risikan serta operasi bersepadu bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Disamping itu hukuman berat yang dikenakan oleh mahkamah kepada pesalah hidupan liar sebagai contoh, pada Januari 2022, seorang lelaki berusia 58 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM28.21 juta oleh Mahkamah Sesyen Sibu selepas didapati memiliki 28,181 sisik tenggiling serta hidupan liar lain.

Dalam satu lagi kes di Miri, Mahkamah Sesyen menjatuhkan denda RM50.85 juta, antara yang tertinggi dalam sejarah kes hidupan liar di Sarawak, terhadap seorang warga asing yang didapati memiliki 5,058 sisik tenggiling (4.95 kg) tanpa permit di kawasan Niah.

S: Apakah peranan masyarakat dalam membantu melindungi tenggiling dan hidupan liar lain?

Abang Arabi:

Masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha konservasi dengan tidak terlibat dalam pemburuan atau pembelian hidupan liar, serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang mencurigakan.

Sokongan masyarakat terhadap usaha pemuliharaan juga amat penting bagi memastikan spesies seperti Tenggiling Sunda terus dilindungi dan khazanah biodiversiti Sarawak dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Kesimpulan

Usaha melindungi tenggiling di Sarawak memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan habitat serta kerjasama antara pelbagai agensi berkaitan. 

Dalam masa yang sama, pendidikan dan kesedaran awam memainkan peranan penting bagi memastikan masyarakat memahami kepentingan memelihara hidupan liar.

Akhirnya, kejayaan usaha pemuliharaan tenggiling bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi juga kepada sokongan masyarakat. 

Dengan kerjasama semua pihak, spesies seperti Tenggiling Sunda dapat terus dilindungi di habitat semula jadinya sekali gus memastikan khazanah biodiversiti Sarawak kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

Oleh Earl Anek

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Eksklusif: SKAS disalur sebelum Raya legakan rakyat buat persiapan Aidilfitri
Next: SDEC, CENTEXS dan DBOS santuni institusi kebajikan sempena Ramadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.