
PETRA JAYA: Di sebalik bunyi percikan api besi yang ditempa dan bau logam yang dibakar, tersimpan kisah seorang anak jati Kuching yang kental memperjuangkan rezekinya dengan kudrat sendiri.
Mohamad Khalid Jemat, 31, atau mesra digelar Khalid Tukang Besi, bukanlah lahir dari keluarga berada.
Namun, berbekalkan tekad, kemahiran mengimpal dan semangat berniaga, beliau bangkit membina perniagaan kecil yang kini memberi sinar harapan kepada ramai peniaga di Kuching, Kota Samarahan, Bintulu dan Miri.
Khalid mula mengenali dunia besi sejak usianya mencecah 20 tahun di sebuah kilang di Jalan Lumba Kuda.
Dari situ, tangannya yang penuh calar luka besi itu kini berjaya menghasilkan ratusan gerai niaga khas dari gerai minuman,gerai makanan hinggalah kontena mini moden dan kesemuanya direka dengan teliti demi menepati keperluan pelanggan.


HASIL GERAI REKAAN TEMPAHAN…Antara hasil rekaan gerai mudah alih sentuhan Mohamad Khalid Jemat yang kini menjadi pilihan sebagai nadi perjuangan peniaga kecil.
“Saya bermula dari bengkel kecil sendiri. Dulu kerja kimpal biasa, tapi selepas PKP saya nampak peluang. Ramai orang nak berniaga, tapi susah cari stall yang sesuai dengan harga mampu milik,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, di tapak kerja di Petra Jaya, dengan peluh menitik di dahi meskipun senyum tidak pernah lekang di bibir.
Kini, hasil sentuhan tangannya bukan sekadar besi semata-mata, tetapi ibarat nadi perjuangan kepada mereka yang mahu mencari rezeki.
Gerai rekaannya tahan lasak, praktikal dan mesra pengguna, lengkap dengan inovasi moden seperti papan menu LED, sinki, bumbung lipat dan ruang simpan barang tersembunyi.
“Saya selalu tanya pelanggan nak jual apa, di mana, macam mana buka tutup stall. Dari situ saya reka ikut bajet mereka. Janji berfungsi, ringan, dan tahan apabila kena hujan,” katanya lagi.
Bermodalkan pengalaman dan semangat yang tidak pernah luntur, lebih 80 unit gerai telah siap dibina termasuk tempahan dari Bintulu dan Miri.
Sejak awal tahun ini, pemuda ini kini mendapat kepercayaan pelanggan dalam pembuatan dan pemasangan pelbagai jenis.
Malah, Khalid turut mengembangkan khidmatnya kepada pemasangan bumbung anjung, jeriji, pintu pagar serta kerja-kerja ubah suai rumah.
Keutamaannya pada produk besi berkualiti, harga rakyat mampu milik dan servis terbaik untuk semua.
Namun, jauh di sudut hati pemuda ini, matlamatnya tetap sama iaitu membantu golongan kecil membina periuk nasi mereka.
“Saya bukan orang kaya. Tapi saya mahu bantu orang kampung cari rezeki. Dari besi, kita bina peluang,” ujarnya.
Kejayaan Khalid hadir bersama keringat dan kepayahan.
Beliau membuktikan bahawa anak kampung juga mampu berdiri gagah, membina perniagaan sendiri dan memberi impak besar kepada masyarakat sekeliling.


GERAI REKAAN…Rekaan gerai lipat yang ringan dan mudah alih antara produk inovasi Khalid Tukang Besi demi memenuhi keperluan usahawan kecil.
Impian Khalid kini hanya satu, mahu memiliki bengkel tetap dengan pekerja sendiri, agar lebih ramai dapat menumpang rezeki daripada jalan yang pernah beliau susuri dengan penuh keperitan.
Dari tangan penuh luka besi, lahir rezeki untuk si kecil berniaga, untuk kampung terus bernyawa.
Setiap percikan api daripada kimpalan bukan sekadar membakar logam, tetapi menghidupkan harapan baru bagi mereka yang mahu mencipta kehidupan.
Di celah dentuman besi dan bau asap logam, terukir sebuah kisah bahawa kejayaan tidak semestinya datang dari gedung besar, tetapi dari bengkel kecil seorang anak muda yang percaya, selagi ada usaha, besi pun boleh menjadi rezeki.
“Meskipun tidak berasal daripada keluarga berada, namun usahawan daripada Sarawak ini mampu membina perniagaan sendiri dan memberikan impak besar kepada ekonomi”, tambahnya dengan penuh semangat.
Oleh Shikin Mahmud