
SARIKEI: Alunan azan bukan sekadar panggilan suci untuk menunaikan solat, malah menjadi suara yang menenangkan jiwa. Ia mengajak umat Islam berhenti seketika daripada kesibukan hidup, lalu kembali mengingati Tuhan dengan penuh rasa tawaduk.
Dalam masyarakat moden masa kini, suara azan sering hadir sebagai pengingat bahawa hidup bukan sekadar mengejar urusan dunia, tetapi juga menuntut keseimbangan rohani.
Alunan azan yang merdu dan penuh penghayatan mampu menenangkan jiwa, menjadi penyebab hati tersentuh dan fikiran kembali damai.
Pada Program Simponi Mahabah yang berlangsung di Dewan Masjid Darul Sa’adah, Taman Susur Jambu hari ini, bakat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mencuri perhatian apabila melaungkan azan dengan suara yang jelas, merdu dan penuh keyakinan.
Persembahan tersebut disaksikan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab bersama orang ramai yang hadir.
Mohamad Ammar Muhaimin Abdullah, murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (MIS) Sarikei, dilihat memiliki bakat semula jadi serta penguasaan bacaan yang mantap pada usia muda.
Keupayaan Ammar melaungkan azan bukan sahaja mencerminkan kecintaan terhadap agama, tetapi menunjukkan kejayaan pembentukan sahsiah dalam kalangan generasi muda.
Keberanian dan keyakinannya berdiri di hadapan orang ramai membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu menyemarakkan syiar Islam di peringkat akar umbi.
Ramai yang hadir memuji alunan azannya yang disifatkan sebagai menenangkan, ikhlas dan mampu menyentuh hati pendengar.
Lebih daripada sekadar kemampuan vokal, penyampaian Ammar dilihat membawa mesej kesederhanaan dan keikhlasan, dua nilai yang menjadi asas kepada ibadah dalam Islam.
Ia turut menampilkan harapan bahawa generasi muda mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi masjid, membina masyarakat berilmu dan melahirkan pemimpin agama pada masa hadapan.
Penerapan nilai murni sejak kecil bukan sahaja membentuk akhlak, tetapi mampu memberi kesan besar terhadap pembangunan sosial dan rohani masyarakat.
Utusan Sarawak menemu bual Ammar bagi mendapatkan penjelasan mengenai bakat semula jadi yang dimilikinya.
“Saya mula melaungkan azan sejak umur saya 10 tahun.
“Semasa melaungkan azan, hati saya sangat gembira,” katanya.
Dalam pada itu, Ammar juga pernah menyertai pertandingan azan peringkat sekolah.
“Saya pernah nenyertai pertandingan azan peringkat sekolah dan penyertaan kali pertama dinobatkan sebagai johan.
“Kali kedua di pertandingan azan, saya mendapat tempat naib johan,” katanya.
Ammar turut menasihatkan kanak-kanak berumur sepertinya akan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya juga berharap agar kanak-kanak berumur seperti saya akan dapat berjaya dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Keindahan alunan azan yang disampaikan Ammar bukan sahaja menjadi hiburan rohani kepada para hadirin, malah turut menjadi simbol harapan bahawa penyuburan ilmu agama dalam kalangan kanak-kanak mampu melahirkan generasi berakhlak mulia serta berperanan memakmurkan institusi Islam pada masa hadapan.
Program seumpama ini dilihat wajar diteruskan dan diperluaskan, khususnya di peringkat sekolah dan komuniti, bagi memberi ruang kepada bakat muda menonjolkan potensi diri dalam suasana yang positif serta membina keyakinan sebagai pelapis masyarakat.
Dengan sokongan berterusan ibu bapa, pendidik dan institusi agama, usaha melatih dan membimbing generasi muda dalam bidang keagamaan diyakini mampu mengukuhkan jati diri Muslim yang seimbang dari segi spiritual, intelektual dan sahsiah.
Oleh Earl Anek