
KISAH kejayaan Amira Abdul Hamid, pengasas dan Pengarah Urusan Jom Travel & Tour, bukan sekadar menginspirasikan malah membuktikan bahawa anak jati Sarawak mampu mencipta nama dalam industri pelancongan bertaraf dunia.
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap aktiviti backpacking sejak zaman universiti, Amira mengharungi pelbagai fasa kerjaya termasuk sektor perbankan, pembinaan dan pentadbiran. Namun segalanya berubah apabila beliau nekad memilih bidang pelancongan sebagai laluan hidup.
Tercetusnya hasrat membuka agensi sendiri timbul apabila beliau menyedari betapa kurangnya penyertaan rakyat Sarawak dalam pakej pelancongan gaya roadtrip seperti yang popular di Semenanjung.
“Saya pernah sertai konvoi selama sembilan hari ke Thailand bersama kumpulan dari Semenanjung.
“Saya seorang saja dari Sarawak. Saya tertanya, kenapa kita tiada benda macam ini di Sarawak?” katanya.
Daripada hanya sepuluh peserta ke Hat Yai, kini Jom Travel & Tour telah mengatur lebih 200 pelancongan sepanjang tahun 2024, melibatkan hampir 2,000 pelanggan.
LESEN RASMI
Lebih membanggakan, syarikat ini baharu sahaja memperoleh lesen rasmi pada Februari 2025 dan sudah pun berkembang pesat dalam tempoh kurang setahun.
“Kami tahu ramai anak muda mahu melancong tetapi terhalang kerana kekangan kewangan.
“Jadi kami tawarkan bayaran secara ansuran.
“Bagi saya, perniagaan adalah tentang menyelesaikan masalah,” jelas Amira yang kini mengetuai lebih 50 ejen pelancongan bebas.


PAKEJ yang ditawarkan oleh Jom Travel & Tour.
Jom Travel & Tour kini menawarkan lebih 40 pakej ke destinasi popular seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Eropah dan Timur Tengah.
Semua pengendali pelancongan luar yang dilantik adalah warga tempatan berlesen, menjamin keselamatan serta pengalaman perjalanan yang berkualiti.
Hubungan rapat Amira dengan rakan pengendali pelancongan di luar negara turut membolehkan syarikat mengekalkan kadar harga yang berpatutan walaupun dalam musim puncak.
PAKEJ MAMPU MILIK
“Misi kami mudah, iaitu untuk mengajak lebih ramai orang Sarawak melancong menerusi pakej yang mampu dimiliki.
“Kalau terlalu mahal, bagaimana kita mahu galakkan mereka?” katanya lagi.
Bukan sekadar menjual pakej, Amira juga menjadikan laman media sosial syarikat sebagai sumber maklumat untuk pelancong.
Dari isu semasa hingga pertukaran mata wang dan trend percutian, semuanya dikemas kini demi kemudahan pelanggan. Jom Travel & Tour kini berperanan sebagai pusat komuniti pelancong dari Sarawak.

Menerusi pasukan 11 ketua pelancong terlatih, setiap perjalanan yang diuruskan diberi penekanan terhadap keselesaan dan kepuasan pelanggan.
Perancangan kini giat dilakukan bagi berpindah ke pejabat baharu yang lebih selesa selain merancang majlis pembukaan rasmi tidak lama lagi.
Pada masa yang sama, syarikat ini turut giat menumpukan usaha kepada sektor pelancongan domestik, khususnya Sarawak.
Dengan pembukaan akaun rasmi di platform Klook, pelanggan kini boleh membeli pakej lawatan secara dalam talian, termasuk ke destinasi seperti Serikin dan Bako.
CABARAN
Bagi Amira, perjalanan sebagai usahawan bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila beliau turut memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Saya bekerja sepanjang tahun tanpa henti. Tetapi saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat menyokong dan menjaga anak-anak apabila saya tiada di rumah.
“Dialah tulang belakang saya. Tanpa dia, saya tak mungkin sampai ke tahap ini,” ujarnya dengan penuh syukur.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini agar sentiasa bermula dengan langkah yang betul, iaitu mendapatkan lesen sah.
“Jangan buat secara suka-suka hanya kerana ramai orang kenal. Undang-undang tetap perlu dihormati,” tegasnya.
Namun di sebalik semua pencapaian ini, satu perkara yang menjadi pemangkin utama semangatnya adalah kata-kata ragu daripada seseorang yang pernah rapat dengannya.
“Ada orang cakap saya takkan mampu buka agensi pelancongan. Saya simpan kata-kata itu.
“Saya kata, beri saya dua tahun, saya akan buktikan, dan hari ini, Jom Travel & Tour sudah pun berjaya mengatur lebih 200 trip dan hampir 2,000 pelanggan,” luahnya.
Kejayaan Amira bukan sekadar membina empayar pelancongan, tetapi juga tentang keberanian untuk bermimpi besar, menongkah arus dan mencetus harapan buat anak Sarawak yang mahu menjelajah dunia.
Semoga kisah beliau menjadi inspirasi bahawa anak Bumi Kenyalang juga mampu menakluk dunia; satu destinasi pada satu masa.
Oleh Amanda L.