Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Aimi Nazihah buktikan bisnes kek dari rumah mampu berdaya saing
  • INSPIRASI

Eksklusif: Aimi Nazihah buktikan bisnes kek dari rumah mampu berdaya saing

Utusan Sarawak 3 days ago
AIMI Nazihah Zanai, 27, pemilik Ainan Home Bakery.

KOTA SAMARAHAN: Bermula dengan sebiji kek untuk meraikan ulang tahun perkahwinan, siapa sangka percubaan ringkas itu kini membuka jalan kepada sebuah perniagaan kek yang kian mendapat tempat di hati pelanggan.

Perjalanan inilah yang mendorong Aimi Nazihah Zanai, 27, pemilik Ainan Home Bakery, untuk memulakan perniagaan dari rumah pada 2021, berbekalkan minat dan semangat untuk mencuba.

KEK set Ainan Home Bakery hasil buatan tangan Aimi Nazihah Zanai.

“Saya tak rancang pun nak jual kek masa tu, hanya cuba-cuba je untuk suka-suka. Tapi lepas kek tu menjadi, timbul rasa nak teruskan. 

“Kawan sekerja pun galakkan saya jual, dari situ saya ambil langkah pertama,” katanya tersenyum, mengenang permulaan perjalanannya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Minat yang tumbuh perlahan-lahan membawa Aimi menyertai pelbagai kursus bakeri dalam talian sambil melengkapkan diri dengan ilmu dari YouTube dan kini, dia mampu menghasilkan sehingga 25 set kek sebulan untuk pelanggan sekitar.

Beroperasi sepenuhnya dari rumah di Kampung Baru, pelanggan Aimi terdiri daripada penduduk dalam dan luar kampung. 

“Saya buat promosi hanya melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.

“Memang tak sangka. Dulu takut nak ambil banyak order sebab belum mahir. Tapi sekarang alhamdulillah, ramai pelanggan suka sebab kek saya tak terlalu manis dan tak muak,” jelasnya. 

Harga kek yang ditawarkan bermula sekitar RM15 untuk saiz kecil dan boleh mencecah RM100 ke atas bagi kek set, bergantung kepada saiz serta rekaan. 

KEK ulangtahun Ainan Home Bakery hasil buatan tangan Aimi Nazihah Zanai.

“Pendapatan bulanan yang saya dapat boleh dianggarkan RM1,000 dan meningkat terutama pada musim cuti sekolah atau perayaan.

“Terdapat juga cabaran yang saya hadapi dalam bidang bakeri ni seperti nak cari harga barang murah memang kena rajin keluar. 

“Kalau duduk satu tempat je, susah nak jumpa barang mampu milik,” katanya yang selalu berulang-alik dari satu kedai ke satu kedai demi menjimatkan kos.

Walaupun belum mempunyai kedai fizikal, Aimi menyimpan impian untuk memiliki kedai kek kecil suatu hari nanti. 

KUIH muih Ainan Home Bakery hasil buatan tangan Aimi Nazihah Zanai.

“Bagi saya, perniagaan ini bukan sekadar soal pendapatan, tapi bukti bahawa sesuatu yang bermula dari hobi juga boleh membawa rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Saya pun tak sangka boleh jatuh minat dalam dunia baking ni. Tapi bila tengok hasil kerja saya bertambah baik hari ke hari, rasa seronok pula. 

“Pesan saya kepada peniaga baharu yang ingin menceburi bidang bakeri ini, jangan cepat berputus asa. Teruskan usaha, kerana setiap titik peluh pasti akan membuahkan hasil,” katanya menutup temu bual dengan senyuman.

Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Amira buktikan anak Sarawak mampu tembusi pelancongan global
Next: Eksklusif: Menyulam harapan dalam setiap titik madu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.