Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Aiman sepatutnya hadir khatam al-Quran, baju sudah ditempah sebelum jadi korban buaya
  • TEMPATAN

Eksklusif: Aiman sepatutnya hadir khatam al-Quran, baju sudah ditempah sebelum jadi korban buaya

Utusan Sarawak 4 weeks ago
KEHILANGAN INSAN TERSAYANG… Sanit Onet, 52, memegang gambar anaknya, Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal, 12, dengan mata yang sayu penuh pilu.

KOTA SAMARAHAN: Majlis Khatam al-Quran yang sepatutnya menjadi detik terindah buat seorang anak lelaki bertukar menjadi pilu apabila arwah tidak sempat menghadirinya selepas menjadi korban serangan buaya di Kampung Empila, pagi tadi.

Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal, 12, yang lebih mesra disapa Aiman, sebelum ini sudahpun menempah baju dan membayar yuran penyertaan bagi majlis khataman yang dijadualkan berlangsung pada 29 November depan di Dewan Pertubuhan Peladang Samarahan.

Namun, niat yang murni itu tidak kesampaian.

“Baju sudah ditempah, yuran sudah dibayar… niat ingin melihat majlis khatam al-Quran adik tidak kesampaian,” luah ibunya, Sanit Onet, 52, dalam nada sebak ketika ditemui di rumah keluarga mereka.

Lebih memilukan, Aiman juga menyimpan cita-cita untuk kembali beraksi dalam acara Regata Sri Aman hujung bulan depan, selepas sebelum ini dikenali sebagai peserta cilik paling bersemangat, sentiasa berada di barisan hadapan mengayuh perahu.

“Dia ada stamina yang kuat, semua orang kampung tahu. Kalau regata, dia mesti duduk depan sekali. Memang minat sungguh aktiviti sungai,” katanya.

DIJUMPAI… Mayat mangsa dijumpai oleh pihak APM, bomba dan polis.

Bagi Sanit, yang paling sukar untuk dilupakan ialah sifat manja anaknya itu. Walaupun dimarahi, namun Aiman tetap mempunyai cara tersendiri untuk menawan hati ibunya.

“Kalau saya marah, dia akan pujuk. Dia cakap, ‘Mak sayang adik sik? Mak geng adik sik? Nak cium ngan peluk boleh sik?’… Selepas itu, hilanglah marah saya,” ujarnya sambil menyeka air mata.

Aiman merupakan murid SK Empila dan anak kedua daripada tiga beradik, seorang abang berusia 16 tahun serta seorang adik perempuan berumur lapan tahun.

Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang leka dengan gajet, Aiman lebih cenderung memilih aktiviti luar, khususnya sukan dan kegiatan berkaitan sungai.

Sikap peramahnya juga membuatkan dia disenangi bukan hanya rakan-rakan sebaya, malah orang tua kampung serta guru-gurunya.

Guru-guru sekolahnya turut dikatakan terkesan dengan pemergian Aiman yang dianggap murid ceria, peramah dan rajin membantu.

Kes terbaharu ini menambah satu lagi kepada senarai serangan buaya yang semakin membimbangkan di Sarawak, khususnya di kawasan Samarahan yang sememangnya sering menjadi tumpuan reptilia berbahaya itu.

Penduduk kampung berkata, sungai di kawasan berkenaan bukan asing dengan kelibat buaya, malah sebelum ini sudah beberapa kali reptilia itu dilihat menghampiri kawasan penempatan.

Bagi keluarga kecil ini, kehilangan Aiman bukan sahaja meragut nyawa seorang anak, malah turut menguburkan impian dan cita-cita seorang budak lelaki yang penuh semangat, disenangi ramai, dan menjadi penghibur hati ibunya.

Kini, hanya doa serta kenangan yang dapat menguatkan mereka menghadapi takdir penuh duka ini. Dalam kejadian sekitar 8.00 pagi tadi, Aiman yang sedang menebar jala di perairan Kampung Empila tiba-tiba diterkam buaya.

Jeritan mangsa sempat didengari seorang pemancing sebelum tubuh kecilnya ditarik ke dasar sungai. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh pasukan bomba, polis dan APM menemukan mangsa dalam tempoh dua jam.

Kejadian ini menambah kepada siri serangan buaya yang semakin membimbangkan di Sarawak. Bulan ini sahaja sudah tiga kes dicatatkan, termasuk insiden ngeri di Lawas membabitkan seorang lelaki yang ditemui hanya tinggal kepala, serta seorang lagi mangsa di Simunjan yang masih hilang selepas disambar reptilia berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Saya ingin cucuk mata buaya, cuba tarik anak saya tapi ia terlalu besar, ganas – Bapa mangsa
Next: JKR Sarawak utamakan respons aduan rakyat melalui tiga saluran utama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.