
KEHADIRAN ular di kawasan penempatan bukan lagi isu terpencil, sebaliknya semakin kerap dilaporkan, khususnya di kawasan berhampiran sungai, longkang besar, kebun, ladang dan kawasan berair.
Fenomena ini berkait rapat dengan perubahan landskap persekitaran, pembangunan fizikal serta faktor cuaca yang mempengaruhi habitat semula jadi reptilia tersebut.
Secara asasnya, ular terbahagi kepada dua kategori utama iaitu ular berbisa dan ular tidak berbisa.
Ular berbisa seperti ular tedung, ular kapak dan ular laut membawa risiko serius kepada keselamatan manusia kerana bisanya boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.

Justeru itu, kemunculan ular berbisa di kawasan awam perlu ditangani secara pantas dan berkesan.
Sebaliknya, ular tidak berbisa seperti ular sawa tidak mempunyai bisa, namun tetap berbahaya dari sudut fizikal.
Ular sawa yang memiliki saiz badan besar dan kekuatan lilitan yang kuat, berpotensi mencederakan manusia terutamanya apabila berasa terancam atau diprovokasi.
Dalam kebanyakan kes, kehadiran ular sawa di kawasan penempatan berpunca daripada sumber makanan seperti tikus, ayam dan itik serta kewujudan sistem perparitan dan sungai berhampiran.
Dalam konteks ini, peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadi amat signifikan sebagai barisan hadapan yang mengendalikan aduan awam berkaitan kemunculan ular.
Tindakan profesional dan beretika bukan sahaja melibatkan keselamatan manusia, malah turut mengambil kira kelestarian hidupan liar.

Di Sarikei, sepanjang 2025, sebanyak 134 kes berkaitan ular telah diterima dan dihadiri oleh JBPM Sarikei, mencerminkan trend berterusan interaksi antara manusia dan hidupan liar di kawasan ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata jumlah tersebut merangkumi kes ular yang berjaya ditangkap dan kes yang tidak dapat dikesan selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi.
“Pada Januari, sebanyak 13 kes diterima dan dihadiri, diikuti Februari sebanyak 14 kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, angka tersebut menunjukkan peningkatan dan penurunan secara berperingkat sepanjang tahun, dengan Mei mencatatkan antara jumlah tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Jun (15 kes).
“Bagi Mac, sebanyak 13 kes direkodkan, April (sembilan kes), Mei (16 kes), Jun (15 kes, Julai (tujuh kes), Ogos (12 kes), September (lima kes), Oktober (enam kes), November (12 kes) dan Disember turut mencatatkan 12 kes.
“Semua ular yang berjaya ditangkap akan dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan awam, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP).
Statistik ini bukan sekadar angka, sebaliknya memberi gambaran jelas bahawa kesedaran awam terhadap keselamatan dan pencegahan masih perlu dipertingkat.

Kehadiran ular sering dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti longgokan sampah, semak tidak terurus, longkang tersumbat serta kehadiran haiwan perosak yang menjadi sumber makanan reptilia tersebut.
Pendekatan berhemah masyarakat awam dengan segera menghubungi pihak berkuasa adalah langkah paling selamat, bukan sahaja untuk manusia, malah untuk keseimbangan ekosistem.
Peranan agensi penyelamat seperti JBPM Sarikei yang konsisten bertindak balas terhadap aduan awam membuktikan komitmen berterusan dalam menjaga keselamatan komuniti.
Interaksi antara manusia dan ular adalah realiti yang semakin ketara, khususnya di kawasan yang pesat membangun namun masih dekat dengan alam semula jadi.
Statistik 134 kes sepanjang 2025 di Sarikei wajar dilihat sebagai peringatan awal agar langkah pencegahan, kesedaran awam dan pengurusan persekitaran diperkukuh.
Keselamatan awam bukan hanya tanggungjawab agensi, tetapi memerlukan kerjasama menyeluruh masyarakat.
Dalam konteks ini, pendidikan, kesedaran dan tindakan pantas kekal sebagai kunci utama mengurangkan risiko serta memastikan keharmonian antara manusia dan alam terus terpelihara.
Oleh Earl Anek