Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksesais Samudera Perkasa Timur, OSTEX East perkukuh kesiapsiagaan maritim negara
  • TEMPATAN

Eksesais Samudera Perkasa Timur, OSTEX East perkukuh kesiapsiagaan maritim negara

Utusan Sarawak 13 hours ago
PENGARAH Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz bergambar bersama yang lain pada majlis penutupan eksesais berkenaan di Dewan Santubong, Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), hari ini.

KUCHING: Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East Siri 2/2025 di perairan Sarawak berjaya memperkukuhkan kesiapsiagaan aset serta keupayaan anggota maritim negara dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia, khususnya di zon timur negeri ini.

Latihan bersepadu selama beberapa hari itu dianjurkan bersama oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Maritim Negeri Sarawak bertindak sebagai penganjur utama bagi edisi tahun ini.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, eksesais ini merupakan platform penting bagi menilai tahap kesiapsiagaan aset, kecekapan anggota serta keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) kedua-dua agensi dalam menghadapi sebarang ancaman atau kecemasan di laut.

“Melalui pelaksanaan eksesais ini, kita dapat memastikan setiap anggota dan aset berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi serta memperkukuh kebolehoperasian bersama antara Maritim Malaysia dan TLDM.

“Ini amat penting bagi menjamin keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan eksesais berkenaan di Dewan Santubong, Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), hari ini.

Tambah beliau, sebanyak empat kapal dan lima bot Maritim Malaysia bersama lebih 300 anggota telah digerakkan sepanjang latihan kali ini, termasuk aset KM Sri Aman, KM Siagut, KM Setapa, KM Ikhlas serta pasukan penyelam dan Rescue Swimmer Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia.

Selain Maritim Malaysia, latihan turut disertai TLDM yang menggerakkan beberapa aset termasuk KD Badik, KD Kelantan, KD Rencong, KD Paus dan helikopter HOM AW139, serta pasukan penyelam TLDM.

Senario latihan yang dilaksanakan meliputi beberapa aspek operasi penting seperti Latihan Naik Kapal (BORDEX), Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX), ujian komunikasi, Latihan Penyelam Penyelamat: Ruang Tertutup Bawah Air, Latihan Pendaratan di Geladak (DLT), Forensik Maritim Malaysia, dan Gerakan Manuver Taktikal.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Armada Timur, P/Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan menjelaskan bahawa latihan bersepadu ini menjadi bukti komitmen berterusan antara TLDM dan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama strategik pertahanan laut negara.

“Latihan ini bukan sahaja menguji kecekapan aset dan anggota, tetapi juga memastikan keupayaan operasi bersama dapat dilaksanakan secara berkesan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara daripada ancaman tradisional dan bukan tradisional,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi turut menegaskan bahawa setakat tahun ini, tiada sebarang ancaman utama dikesan di perairan Sarawak, termasuk aktiviti pencerobohan nelayan asing atau cubaan menggugat keselamatan perairan negara.

“Alhamdulillah, sepanjang 2025 ini, tiada ancaman serius direkodkan. Namun, kami menyeru komuniti maritim termasuk nelayan, pemilik bot dan masyarakat pesisir pantai agar menyalurkan maklumat segera kepada Maritim Malaysia atau TLDM sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut,” ujarnya.

Menurut beliau, keluasan perairan Sarawak yang begitu luas serta aset yang terhad menjadikan kerjasama masyarakat setempat amat penting bagi memastikan keselamatan perairan negeri terus terjamin.

Majlis penutupan eksesais berkenaan disempurnakan oleh Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, disaksikan oleh P/Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan serta pegawai kanan dari kedua-dua agensi.

Eksesais tahunan ini dijangka diteruskan pada tahun hadapan dengan tumpuan terhadap peningkatan keupayaan operasi, integrasi komunikasi, dan latihan taktikal bersama antara TLDM dan Maritim Malaysia di zon maritim Malaysia Timur.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah hadiri Majlis Kesyukuran sambutan Hari Lahir Rasmi ke-79
Next: Milton Foo warns public against lending ICs after victim’s identity misused for fraudulent company

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.