
SIBU: Seorang eksekutif perhotelan di sini mengalami kerugian RM89,500 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan pada Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu telah menerima satu laporan daripada mangsa dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau berkata, mangsa berusia 40-an itu tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook, lalu menekan pautan yang disertakan sebelum dimuat naik ke aplikasi berkenaan dan membuat beberapa transaksi pembayaran ke tiga akaun tempatan berjumlah keseluruhan RM89,500.
“Sepanjang tempoh pelaburan, mangsa hanya berjaya membuat dua pengeluaran berjumlah RM1,000 sebelum diarahkan membuat bayaran tambahan kononnya untuk mengeluarkan keuntungan. Mangsa kemudian mula curiga dan menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa.- Bernama