Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Ekpedisi Mujong I : Pengukuhan kuasa
  • KOLUMNIS

Ekpedisi Mujong I : Pengukuhan kuasa

Utusan Sarawak 7 hours ago

MINGGU lepas wacana ini menceritakan bagaimana berlaku kekacauan yang menganggu kestabilan politik dan ekonomi di Rajang, seterusnya membawa usaha strategik untuk menangani masalah ini. 

Usaha awal berbentuk diplomasi tetapi kedegilan pihak lawan akhirnya membawa kepada dasar kekerasan dilakukan oleh kerajaaan Brooke iaitu langkah menjalankan ekspedisi Mujong.

Dalam hal ini penentang Brooke ini telah dikesan di anak sungai kecil di Tiau. Dalam usaha membendung kegiatan penentangan mereka ini, kerajaan Brooke bercadang untuk membina sebuah kubu kayu di muara Sungai Mujong. Usaha ini dilakukan untuk menyekat perhubungan dan bekalan makanan pihak lawan ini.

Kegiatan penentang kerajaan ini sering menganggu kegiatan ekonomi penduduk setempat. Ini kerana beberapa kes dimana penduduk tempatan yang menjalankan aktiviti ekonomi dibunuh kerana mendekati kawasan pihak penentang. 

Hal ini telah diketahui oleh kerajaan Brooke. Peringkat awal kerajaan Brooke hanya menghantar kumpulan kecil mengesan dan menangkap mereka, tetapi keadaan hutan tebal dan alur sungai yang berbahaya mengaggalkan usaha ini.

Pemulaan

Atas sebab itu maka kerajaan Brooke menjalankan ekpedisi lebih besar ke hulu Sungai Mujong sehingga ke Sungai Tiau. Ekspedisi ini digerakan dalam dua fasa. Fasa pertama ekspedisi ini digerakkan pada awal Februari 1881. 

PIHAK kerajaan juga dibantu oleh Sarawak Renjer bersama-sama Raja Charles Brooke untuk menyerang pihak lawan.

Untuk mengerakkan ekspedisi ini, maka satu ketumbukan tentera telah dibentuk. Ketumbukan ini terdiri daripada penduduk dari Batang Lupar, Batang Rajang, Kalaka dan Saribas. Mereka ini diarah untuk mengumpul kekuatan pada 5 Februari 1881. 

Seterusnya pada 7 Februari 1881 pasukan ini bergerak ke kubu di Kapit. Hari berikutnya persiapan dibuat dengan menyediakan bot-bot untuk ekspedisi. 

Sebanyak 113 boat telah berjaya disediakan oleh pihak kerajaan untuk memerangi pihak lawan.  Satu Majlis Perang dibentuk bagi mengatur strategi ekspedisi tersebut.

Selain kumpulan penduduk tempatan yang diarah membantu ekspedisi ini, pihak kerajaan juga dibantu oleh Sarawak Renjer dan beberapa orang Dayak. Mereka ini bersama-sama dengan Raja Charles Brooke untuk menyerang pihak lawan. 

Pasukan ekspedisi tersebut mula bergerak seawal pukul 6.30 pagi pada 9 Februari 1881. Mereka sampai ke kubu yang dibina di muara Sungai Mujong pada tengah hari. Keesokan harinya mereka bermalam pula di Batu Bertali sebelum meneruskan misi ekspedisi seawal fajar. 

Memasuki Sungai Tiau, cabaran ekspedisi meningkat berikutan keadaan sungai yang sempit dan mempunyai dasar sungai yang kerikil (gravelly bed). Kehadiran batu-batu besar dan paras air yang cetek, memaksa kru bot menggunakan sepenuhnya tenaga manusia untuk menggalah (polling) secara berterusan bagi meneruskan kemaraan.

Menghalang

Kehadiran pasukan tentera Brooke ini telah dihidu oleh pihak lawan. Sebagai strategi untuk memperlahankan atau menghalang kemaraan pasukan ini, pihak lawan bertindak menebang pokok-pokok besar lalu merebahkannya ke dalam sungai sebagai rintangan.

Tindakan pihak lawan ini benar-benar melambatkan pergerakan tentera Brooke.  Namun halangan ini cuba diatasi dengan memotong pokok kayu yang tumbang bagi melicinkan pergerakan mereka. Namun pihak lawan terus menerus menebang pokok dan direbahkan di sungai. 

Akhirnya tentera kerajaan Brooke bertembung dengan pihak lawan yang membawa kepada pertempuran kecil antara kedua-dua pihak, menyebabkan pihak lawan melarikan diri dengan meninggalkan empat perahu mereka, beberapa bilah kapak dan makanan.  

Selepas melepasi Wang Raru dan Puloh Babai berlaku lagi satu pertembungan dengan pihak lawan. Ramai daripada pihak lawan melarikan diri ke dalam hutan dan meneruskan usaha menebang pokok.

Pada pagi 13 Februari 1881, tepat jam 8.30, pasukan tentera Brooke tiba di perkampungan pihak lawan. Namun demikian, mereka mendapati bahawa penduduk kampung telah membakar rumah mereka sendiri sebelum melarikan diri.

Pemergian pihak lawan menyebabkan harta benda di perkampungan tersebut dijarah dan sebahagiannya dimusnahkan. Pasukan tentera Brooke juga telah diingatkan supaya tidak bergerak terlalu jauh dari kawasan mereka kerana pihak lawan dipercayai masih berada di sekitar kawasan tersebut.

Bagaimanapun, peringatan itu tidak dipedulikan oleh sekumpulan anggota tenteranya yang kemudiannya berdepan dengan pihak musuh.

Pertempuran kecil tercetus mengakibatkan tiga orang di pihak kerajaan Brooke terbunuh akibat ditetak, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan.

Pertempuran

Pada 15 Februari 1881, mereka meneruskan usaha melawan pihak lawan. Berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak apabila pasukan kerajaan Brooke menghampiri kawasan pematang panjang. 

Pihak musuh yang bersembunyi di balik batu telah menghujani pihak kerajaan Brooke dengan lambing yang menyebabkan beberapa orang cedera. 

Tindakan pihak lawan ini menimbulkan kesukaran kepada tentera Raja Brooke. Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan apabila pasukan bantuan yang dilengkapi dengan senjata api tiba di tempat kejadian.

Akibatnya, pihak lawan terpaksa berundur dengan meninggalkan seorang rakan mereka yang terkorban, sementara tiga mayat yang lain dibawa bersama semasa pengunduran tersebut.

Dalam pertempuran itu, seorang terkorban di pihak kerajaan Brooke, dan beberapa pula yang cedera termasuk seorang ketua kaum dan anaknya.

Pertempuran ini akhirnya menamatkan ekspedisi pertama ke Sungai Tiau. Anggota yang terkorban dan cedera telah dibawa balik ke Kapit pada 17 dan 18 Februari 1881.   

Ekspedisi pertama ini seumpama satu amaran awal kepada pihak lawan agar tunduk kepada kerajaan Brooke. 

Namun demikian, usaha awal ini menampakkan penduduk di kawasan hulu Rajang ini tetap tidak mahu tunduk kepada pihak kerajaan Brooke. Atas sebab itu, dilancarkan satu lagi ekspedisi ketenteraan atau dikenali sebagai Ekpedisi Mujong kedua dilakukan. 

Wacana minggu akan datang akan membicarakan ekspedisi kedua ini.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Salahkah ‘Blok Borneo’ diwujudkan?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.