Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Ekonomi Sarawak semakin mengukuh, keteq.ai menjelma
  • KOLUMNIS

Ekonomi Sarawak semakin mengukuh, keteq.ai menjelma

Utusan Sarawak 7 hours ago

EKONOMI Sarawak memperlihatkan kenaikkan mendadak sejak empat tahun lalu, daripada negatif – 6.7 peratus pada 2020, ia kembali bangkit positif dengan pertumbuhan 7.1 peratus pada 2022 – satu lonjakan drastik.

Dan, Sarawak mengekalkan purata pertumbuhan stabil 4.1 peratus dari 2022 hingga 2024.

Pada waktu pandemik Covid-19 bermula Januari 2020, semua negeri mencatat penyusutan ekonomi, manakala peringkat nasional mencatat negatif – 5.6 peratus.

Sebagai contoh, Selangor merekod negatif – 5.3 perarus; Johor (-4.6 peratus); Negeri Sembilan (-3.6 peratus); Pulau Pinang (-2.1 peratus); Kedah (-1.7 peratus) dan Kelantan (-1.1 peratus).

Pada 2022, selepas pemulihan daripada pandemik, ekonomi Malaysia mengembang 8.7 peratus dan pada 2023, pertumbuhan nasional kembali perlahan kepada 3.6 peratus, di sebalik semua negeri mencatat pertumbuhan positif.

Pada 2023, sebagai contoh Selangor mencatat positif 5.4 peratus, Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) san WP Kuala Lumpur (3.7 peratus).

ABANG Johari ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada sidang DUN baru-baru ini. Foto UKAS

Negeri lain seperti Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perak, dan sebagainya mencatat pertumbuhan — walaupun pada kadar lebih sederhana. 

Selepas kejatuhan besar pada 2020 akibat pandemik, ekonomi kebanyakan negeri pulih pada 2022–2024.

Dari segi penyumbang ekonomi, negeri seperti Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah terus kekal sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional. 

Bagi Sarawak ekonominya menunjukkan ketahanan yang kukuh dalam tahun-tahun selepas pandemik, berjaya mengekalkan purata pertumbuhan stabil 4.1 peratus dari 2022 hingga 2024.

PENGURUSAN BERHEMAT

Perjalanan konsisten ini menunjukkan ekonomi yang kukuh dan lebih pelbagai, disokong oleh pengurusan berhemat, kestabilan politik dan keutamaan pembangunan yang jelas.

Kedudukan kewangan Sarawak juga kekal teguh. Hasil negeri hampir berganda, meningkat daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024 — suatu petunjuk jelas terhadap disiplin fiskal dan kredibiliti dasar kerajaan Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kerajaan Sarawak telah bertindak proaktif dengan merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta menggubal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Sarawak sebagai komitmen untuk melindungi sumber pendapatan rakyat, memulihkan keyakinan, dan meletakkan asas bagi sebuah ekonomi yang lebih berdaya saing, digital dan hijau.

“Kami menyelaraskan agenda pembangunan, memperkukuh kedudukan fiskal, memperluas pelaburan strategik dalam ekonomi baharu dan industri berasaskan nilai tambah, menaik taraf infrastruktur digital dan modal insan, di samping melaksanakan pembaharuan utama terhadap kerangka institusi dan perundangan.

“Secara keseluruhannya, RMK12 menjadi fasa penting yang menyaksikan kami mengubah krisis kepada peluang – menggerakkan Sarawak daripada pemulihan ke pembaharuan,” kata Premier Sarawak ketika membentangkan Belanjawan 2026 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Sekali gus, pencapaian itu terus mengukuhkan keyakinan pelabur serta memastikan daya tahan jangka panjang.

Sejak 2021, Sarawak telah berjaya menarik hampir RM106 bilion pelaburan yang diluluskan merangkumi semua sektor seperti pembuatan, pertanian dan perlombongan.

PERTUMBUHAN ekonomi Sarawak.

Menurut Abang Johari, melalui Ordinan Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Sarawak, negeri ini melindungi hasil hari ini untuk manfaat generasi akan datang. Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak pula memperkukuh tadbir urus pintu perdagangan global negeri ini.

Sarawak juga terus melangkah ke depan dengan melancarkan tiga dokumen dasar penting – Pelan Induk Kelestarian Sarawak, Pelan Halatuju Ekonomi Hidrogen Sarawak dan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak – yang menyediakan perancangan jangka panjang menyeluruh ke arah prospek berpendapatan tinggi dan rendah karbon.

Semua langkah ini digarap hingga Sarawak berjaya menstabilkan ekonomi, memodenkan institusi serta undang-undang, dan membuka ruang kepada sektor-sektor baharu yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan masa depan.

TEKNOLOGI MAKLUMAT

Di atas asas inilah Sarawak melancarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), untuk mempercepat dan menyempurnakan apa yang telah dimulakan di bawah PCDS 2030.

Bergerak ke hadapan, Sarawak tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat.

Pada sidang Mikroelektronik United Kingdom pada September lepas, Premier Sarawak telah melancarkan keteq.GaN — cip semikonduktor Gallium Nitride (GaN) berteknologi tinggi, sekali gus menandakan langkah berani ke arah penyelesaian mikroelektronik bernilai tinggi dan cekap tenaga yang dihasilkan di Sarawak.

KETUA Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Shariman Jamil memperkenalkan cip pintar KETEQ AI yang dibina dengan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan grid tenaga dan motor elektrik di Cardiff, United Kingdom pada April 2025. Foto TVS

Apabila digabungkan dengan keteq.ai, teknologi GaN ini menetapkan penanda aras baharu dalam penukaran kuasa pintar — lebih kecil, lebih pantas dan jauh lebih efisien, iaitu ciri-ciri yang sangat diperlukan pusat data, grid tenaga dan mobiliti elektrik pada masa hadapan.

Usaha ini dibina melalui kerjasama strategik dengan peneraju global seperti XFAB, Cambridge Microelectronics dan CSA Catapult.

Selain itu, Sarawak Energy Berhad (SEB) turut bekerjasama dengan Weeteq, sebuah syarikat inovatif dari Scotland, untuk melaksanakan keteq.ai dalam grid Sarawak, sekali gus membawa kepakaran bertaraf dunia ke negeri ini.

Menurut Abang Johari, perancangan untuk menubuhkan Pusat Integrasi Cip AI Termaju antara Cardiff dan Kuching juga akan memperkukuh lagi keupayaan dalam pembungkusan termaju dan integrasi cip.

“Usaha kita dalam bidang semikonduktor bukan sekadar membina satu industri baharu; ia bertujuan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi supaya anak muda Sarawak boleh menjadi pereka cip, jurutera AI dan pakar pembuatan termaju tanpa perlu meninggalkan Sarawak.

“Beginilah cara Sarawak, yang dahulunya hanya dikenali kerana industri kayu balak, minyak dan gas, kini mula dikenali kerana kepintaran, inovasi dan keberanian.

“Visi saya ialah membentuk Sarawak sebagai ekonomi AI – di mana aktiviti merentasi pelbagai sektor dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan untuk memajukan perniagaan, meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membuka bidang pertumbuhan baharu,” kata Abang Johari.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Masa depan Kerajaan Perpaduan: Antara tuntutan reformasi dan cabaran politik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.