APABILA diumumkan dan diberi bayangan bahawa pendapatan Sarawak untuk tahun ini dijangka berlipat ganda, ramai juga yang tertanya-tanya.
Netizen bukan mempersoalkan hasil yang semakin meningkat, tetapi ‘terasa pendapatan keluarga’ (isi rumah) sama sahaja, tidak berubah dan ditambah pula dengan kos sara hidup yang berada dalam trend menaik.
Ini antara reaksi apabila akhbar ini membuat ‘posting’ dalam Facebook Utusan Sarawak kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Sibu, kelmarin.
Menurut Abang Johari, untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, pendapatan Sarawak sudah mencecah RM12 bilion iaitu menyamai pendapatan keseluruhan tahun lalu.
Namun beliau belum mahu mendedahkan anggaran pendapatan bagi keseluruhannya tahun ini, yang dijangka mencatat hasil tertinggi dalam sejarah.
Pendapatan Sarawak RM12 bilion tahun lalu adalah tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah, berbanding RM7.6 bilion pada 2021 dan dalam suku pertama 2023 Sarawak telah memungut RM5 bilion.
Semuanya bermula apabila Sarawak memperkenalkan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk petroleum yang selama ini dikaut oleh Petronas di sebalik sumber itu disedut daripada ‘perut’ Bumi Kenyalang.
Sejak diperkenalkan pada 2019, Sarawak sudah mengutip SST sebanyak RM8.52 bilion hingga tahun lalu dan ia terus meningkat dari semasa ke semasa.
Selama ini, tiada pendapatan ketara melalui hasil bumi kecuali dalam bentuk royalti tetapi dengan ada SST, pendapatan bertambah secara drastik.
Ini belum lagi memperoleh hasil baharu yang lain seperti Spektrum.
Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022.
Ia bertujuan membolehkan Sarawak meneroka potensi pendapatan baharu menerusi pengawal seliaan penggunaan spektrum di udara serta tanah untuk penyimpanan karbon.
Susulan itu, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai undang-undang membolehkan industri termasuk minyak dan gas beroperasi di negeri ini mematuhi keperluan antarabangsa, mengurangkan intensiti pelepasan karbon di bawah Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
“Apa yang saya dapat?” kata seorang nitizen.
Pertama, apabila Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan (10 Mei 2018 hingga 23 Februari 2020) memerintah, beberapa projek besar di Sarawak dibatalkan dengan alasan ‘tiada duit’ kerana kerajaan terus dibebani hutang oleh pentadbiran sebelum itu.
Beberapa projek besar terutama jambatan tidak dapat dibina meskipun sudah dijanji dibiayai Kerajaan Pusat termasuk guna formula 50-50 iaitu separuh dibiayai Kerajaan Sarawak dan separuh lagi Putrajaya.
Berikutan itu, Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk terus membina projek jambatan dengan menggunakan dana sendiri, sekurang-kurangnya membabitkan perbelanjaan RM5 bilion di kawasan jalan pesisir.
Maka diteruskan pembinaan tujuh jambatan iaitu Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro, Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu dan Jambatan Rambungan di Lundu.
Projek jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta pula dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
TIADA LAGI GUNA FERI
Andai tiada aral melintang, rakyat Sarawak tidak lagi menggunakan feri menjelang 2026 apabila pembinaan tujuh jambatan utama itu siap.
Inilah pembangunan untuk rakyat apabila negeri ini dilimpahi dengan hasil bumi, yang melonjakkan pendapatan.
Inilah ‘faedah yang saya dapat’ apabila hasil negeri bertambah.
Pendapatan isi rumah masih tidak berubah?
Berdasarkan kajian Suruhanjaya Statistik Malaysia (DOSM), Sarawak berjaya mencapai peningkatan pendapatan bulanan isi rumah secara keseluruhan RM3.9 bilion pada 2022, berbanding RM3.7 bilion pada 2019.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus dari 2019 hingga 2022.
Dalam tempoh tiga tahun, pendapatan bulanan isi rumah purata meningkat daripada RM5,959 pada 2019 kepada RM6,457 pada 2022, mewakili peningkatan sebanyak 8.4 peratus berbanding dengan 2019.
Pada masa sama, pendapatan bulanan isi rumah median juga mengalami peningkatan yang signifikan, mencapai RM4,978 pada 2022, berbanding RM4,544 pada 2019, menandakan peningkatan yang ketara sebanyak 9.6 peratus.
Pada 2022, pendapatan bulanan purata isi rumah di kawasan bandar Sarawak meningkat kepada RM7,744 dari RM7,243 pada 2019, menunjukkan perubahan peratusan sebanyak 6.9 peratus.
Percayalah, apabila semua jambatan utama nanti siap, ia pasti menambahkan hasil pendapatan penduduk dan isi rumah di kawasan sekitar kerana kemudahan disediakan sekali gus memudahkan hasil tani dan hasil laut diniagakan.
Apabila rantaian perniagaan ini semakin mudah, maka ia berupaya melonjakkan ekonomi tempatan atau pendeknya pendapatan isi rumah selain mempermudahkan usaha mengeksport barangan tempatan.
DAGANGAN MELONJAK
Sedar atau tidak, jumlah dagangan Sarawak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad tahun lepas dengan mencatatkan prestasi luar biasa sebanyak RM217.2 bilion, menandakan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 44 peratus.
Ini menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sarawak 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menyebut bahawa prestasi perdagangan negeri ini mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2022 dengan eksport, import dan lebihan perdagangan mencapai nilai tertinggi baharu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengaitkan prestasi signifikan itu disebabkan oleh permintaan luar yang lebih tinggi dan harga komoditi yang kukuh.
“Eksport melonjak 50.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM153.0 bilion, didorong oleh peningkatan eksport domestik yang meningkat sebanyak 51.6 peratus tahun ke tahun kepada RM151.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pada masa sama, eksport negeri ini juga dirangsang oleh eksport yang lebih tinggi ke Jepun yang meningkat sebanyak 71.3 peratus atau RM14.4 bilion.
China, Semenanjung Malaysia, Republik Korea dan India merupakan lima destinasi utama eksport Sarawak pada 2022.
“Eksport ke China meningkat RM5.8 bilion hasil eksport kukuh gas asli cecair (LNG), manakala eksport ke Semenanjung Malaysia meningkat RM5.7 bilion berikutan eksport petroleum mentah dan pembuatan produk logam yang lebih tinggi,” katanya.
Begitu juga dengan eksport ke Korea yang berkembang sebanyak RM6.7 bilion disebabkan eksport LNG yang lebih tinggi, manakala eksport ke India juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM4.7 bilion, disokong oleh permintaan kukuh untuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit.
Tiga sektor yang mencatatkan pertumbuhan eksport dua angka ialah hasil galian (+71 peratus), barangan perkilangan (+32.5 peratus) dan produk pertanian (+24.9 peratus).
Pada tahun lalu, eksport beberapa produk turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, iaitu LNG (RM26.7 bilion); petroleum mentah (RM6.5 bilion); keluaran logam (RM5.3 bilion); minyak sawit dan produk berasaskan sawit (RM4.7 bilion); serta kondensat dan minyak petroleum lain (RM3.0 bilion).
Selari dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan satu lagi pencapaian dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 30.8 peratus tahun ke tahun kepada RM64.2 bilion.
Jumlah import Sarawak terutamanya dari Semenanjung Malaysia (43.4 peratus, RM4.7 bilion), diikuti oleh China (19 peratus, RM3.8 bilion), Indonesia (5.5 peratus, RM1.6 bilion) dan Singapura (5.3 peratus, RM1.6 bilion).
Lebih separuh atau 54.3 peratus daripada jumlah import Sarawak adalah untuk barangan perantaraan (RM34.9 bilion), barangan penggunaan (18.5 peratus, RM11.9 bilion) dan barangan modal (13.1 peratus, RM8.4 bilion).
Peningkatan ketara dicatatkan dalam import produk kimia dan kimia yang meningkat sebanyak RM4.3 bilion, diikuti oleh produk petroleum (RM2.8 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (RM1.8 bilion); peralatan pengangkutan (RM1.3 bilion) serta bijih logam dan sekerap logam (RM1.1 bilion).
Semuanya ini dijangka meningkatkan ekonomi negeri dan menambah pendapatan rakyat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.