Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Ekonomi negara terus berkembang pada 2025 walaupun berdepan cabaran
  • BISNES

Ekonomi negara terus berkembang pada 2025 walaupun berdepan cabaran

Utusan Sarawak 9 hours ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Malaysia memasuki 2025 dalam keadaan kekangan fiskal, pembaharuan subsidi, perdagangan global tidak menentu dan ringgit yang rendah tetapi ekonomi negara terus berkembang walaupun prospek secara keseluruhannya kekal berhati-hati.

Negara kekal tenang dan terus fokus walaupun berdepan cabaran, berhemat dalam perbelanjaan dan meneruskan pembaharuan yang membentuk semula landskap ekonominya serta memperkukuh asas untuk daya tahan jangka panjang.

Bagi 2025 bermula dengan optimisme yang berhati-hati apabila Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan, pasaran tenaga kerja dan dasar kerajaan yang menggalakkan.

Momentum tersebut kekal pada suku kedua, dengan KDNK berkembang pada kadar yang sama sebanyak 4.4 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun berdepan dengan cabaran global berikutan ketegangan tarif yang meningkat di bawah pentadbiran Trump 2.0 dan konflik geopolitik di luar negara yang berterusan.

Ekonomi mencapai kemajuan yang ketara pada suku ketiga, berkembang sebanyak 5.2 peratus — peningkatan suku tahunan paling kukuh sejak 2022 — menjadikan Malaysia berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahun penuh sebanyak 4.0–4.8 peratus.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui permintaan domestik, pasaran tenaga kerja yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi membina asas yang kukuh untuk mengekalkan momentum ekonomi.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus, menggariskan daya tahan Malaysia dalam satu daripada persekitaran global paling mencabar dalam beberapa tahun ini.

Ahli ekonomi berkata Malaysia dijangka mengakhiri 2025 dalam keadaan lebih baik daripada jangkaan ramai pihak.

Kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS), konflik di Eropah Timur dan Timur Tengah serta permintaan yang rendah dari China telah mewujudkan situasi yang mencabar kepada negara sedang pesat membangun.

Berdasarkan keadaan ini, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan momentum ekonomi dilihat sebagai pencapaian yang ketara.

Ahli ekonomi daripada Sunway University Dr Yeah Kim Leng menyifatkan 2025 sebagai tahun penentu untuk Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi dan pertumbuhan negara melebihi beberapa negara serantau dan negara berpendapatan sederhana tinggi lain.

Beliau kata prestasi yang lebih baik dengan inflasi yang rendah, kadar guna tenaga hampir penuh dan permintaan domestik yang kukuh, semuanya membantu mengurangkan impak daripada kejutan luaran.

Katanya pelaburan awam — terutamanya dalam pengangkutan, utiliti, infrastruktur penjagaan kesihatan dan taman perindustrian — memberikan sokongan tambahan sepanjang tahun ini.

Sementara itu, peningkatan semula yang telah lama dinantikan dalam kitaran semikonduktor global — sektor penting kepada prestasi eksport Malaysia — telah membantu menstabilkan penghantaran dan meningkatkan jumlah perdagangan menjelang akhir tahun.

Malaysia Disenaraikan Ekonomi Kedua Paling Pesat Berkembang di Asia Tenggara

Penganalisis di rantau ini menjadi lebih optimis terhadap prospek ekonomi Malaysia, dengan HSBC Global Research menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2025 daripada 4.2 peratus kepada 5.0 peratus, menyatakan aktiviti domestik kukuh dan keadaan luaran yang bertambah baik.

Beberapa institusi kewangan lain turut menaikkan unjuran mereka, meletakkan Malaysia sebagai ekonomi kedua paling pesat berkembang di Asia Tenggara pada 2025 — selepas Vietnam.

Reformasi MADANI Tingkatkan Disiplin Fiskal

Langkah pengukuhan fiskal terus menjadi fokus dasar utama pada 2025 apabila Malaysia meneruskan trajektori reformasi jangka sederhana di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang diluluskan pada 2023 untuk memperkukuh tadbir urus fiskal dan memastikan defisit yang mampan.

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata langkah itu berada di landasan yang tepat dan disokong oleh pembaharuan yang dipercayai termasuk rasionalisasi subsidi, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-invois di seluruh negara.

Langkah-langkah pentadbiran ini diperkukuh pada peringkat perundangan apabila Parlimen meluluskan beberapa pembaharuan berkaitan ekonomi dan kewangan utama pada 2025 — termasuk perundangan perolehan dan pentadbiran cukai — memperkukuh lagi tadbir urus kewangan awam di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Langkah-langkah fiskal ini bertujuan mendapatkan semula ruang fiskal dengan memindahkan perbelanjaan daripada subsidi menyeluruh yang tidak cekap kepada kegunaan yang lebih produktif — termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan mengekalkan paras hutang yang terkawal — sekali gus menyokong keyakinan terhadap ringgit dan mengekalkan penarafan berdaulat Malaysia.

Pada 2025, kerajaan MADANI melaksanakan beberapa perubahan dasar utama dengan pencapaian fiskal utama ialah rasionalisasi subsidi RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa pada 30 Sept 2025.

Di bawah inisiatif subsidi bahan api BUDI95, kerajaan memperuntukkan RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi sebanyak RM2.60 seliter.

Dilaporkan lebih 84 peratus daripada 16.5 juta rakyat Malaysia yang layak atau 13.9 juta telah menikmati harga petrol RON95 sebanyak RM1.99 seliter di bawah program BUDI95 sehingga 30 Nov 2025 dan jualan sebanyak RM5.16 bilion atau penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter telah dicatatkan.

Kerajaan dijangka menjana penjimatan kira-kira RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun tertakluk kepada harga minyak global dan berdasarkan data tinjauan penggunaan domestik sebelum pelaksanaan BUDI95.

Dasar pembaharuan lain termasuklah penguatkuasaan e-invois sepenuhnya merentasi perniagaan bermula pada Ogos, diikuti dengan peluasan asas SST mulai Januari dan penambahbaikan kepada subsidi diesel pada awal 2025.

Pembaharuan ini memperkukuh komitmen kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025 dan 3.5 peratus pada 2026 selaras dengan sasaran FRA.

Inflasi Terkawal, Isi Rumah Berdepan Tekanan

Ahli ekonomi Geoffrey Williams menyifatkan inflasi keseluruhan yang kekal di bawah tiga peratus sebagai ‘satu daripada kisah kejayaan utama tahun 2025’.

Bagaimanapun, katanya isi rumah terus merasakan impak daripada kenaikan harga walaupun kadar kenaikannya adalah perlahan. Ini mencerminkan pendapatan rendah dari segi struktur dan persepsi bahawa barangan keperluan semakin mahal manakala produk bukan keperluan semakin kurang mampu milik. 

Beliau berkata Dasar Gaji Progresif mula menunjukkan hasil awal dengan Timbalan Menteri Ekonomi menyatakan bahawa sehingga Oktober, seramai 1,966 majikan telah menaikkan gaji 20,737 pekerja.  

Peruntukan RM200 juta untuk meningkatkan penyertaan kepada 50,000 pekerja, Williams berkata ini merupakan permulaan yang membina walaupun capaian semasa masih kecil berbanding tiga juta individu dalam kumpulan sasaran pendapatan.

Katanya gaji progresif akan menjadi lebih berkesan jika ia dipermudahkan dengan memansuhkan keperluan yang rumit dan latihan yang wajib diikuti, dan dengan memperkenalkan cukai pendapatan berbalik atau kredit cukai yang dibayar secara terus kepada pekerja berpendapatan antara RM1,700 dan RM5,000 sebulan. 

Kestabilan Monetari dan Pengukuhan Semula Ringgit

Persekitaran monetari Malaysia kekal stabil, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah manakala ringgit – selepas mengalami turun naik pada awal tahun yang didorong oleh pengukuhan dolar AS global dan ketidaktentuan geopolitik – mula meningkat pada separuh kedua berikutan dasar fiskal yang jelas dan keadaan pasaran yang lebih baik.

Aliran pelaburan yang lebih baik dan tekanan kadar faedah global yang lebih rendah turut membantu pengukuhan semula mata wang tersebut.

Ringgit mula menunjukkan trend meningkat berbanding dolar AS – mencecah semula paras 4.12 selama beberapa kali terutamanya pada suku keempat 2025 – mencerminkan keadaan luaran yang lebih baik dan sentimen domestik yang lebih kukuh. 

Prestasi terkini dan paling kukuh adalah pada 3 Disember, apabila mata wang itu mencapai paras tertinggi baharu dalam tempoh 14 bulan, iaitu 4.1200, mengatasi paras tertinggi sebelumnya, 4.1210 yang dicatatkan pada 30 Sept 2024. 

Momentum Pelaburan Mengukuh dalam Semikonduktor, Tenaga dan Infrastruktur Digital 

Pelaburan kekal kukuh pada 2025, didorong oleh aliran masuk ke dalam semikonduktor, tenaga bersih dan industri maju. 

Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) mendapat perhatian dengan komitmen baharu dalam pembuatan sistem dalam pakej (SiP), reka bentuk litar bersepadu serta penyelidikan dan pembangunan berkaitan semikonduktor.

Sementara itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah mencapai kemajuan yang ketara menerusi penggunaan solar berskala besar, projek rintis hidrogen dan inisiatif pemodenan grid tenaga. 

Malaysia turut meningkatkan infrastruktur digitalnya pada tahun ini, melalui pelancaran ID Digital negara pada Oktober untuk memudahkan penyampaian perkhidmatan dan menyokong bantuan yang disasarkan. 

Pelaburan dalam pusat data, infrastruktur awan dan keupayaan pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) melonjak apabila syarikat teknologi global memperluas operasi mereka di rantau Asia Pasifik. 

Projek strategik di bawah program GEAR-uP kerajaan turut berkembang sepanjang 2025, terutamanya dalam penjagaan warga emas, agroindustri dan pembangunan rantaian bekalan semikonduktor – sektor yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan utama dalam jangka sederhana. 

Malaysia Lakar Hala Tuju Ekonomi ASEAN pada 2025

Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah meningkatkan kepentingan serantau pada 2025, apabila negara menerajui blok itu melalui tempoh ketidaktentuan geopolitik dan memperkukuh struktur ekonomi serantau.

Malaysia mempercepat rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka memanfaatkan pertumbuhan perdagangan digital yang luas, meningkatkan kesalingoperasian dan menambah baik tadbir urus data rentas sempadan. 

Negara turut menggesa kepada kemajuan ketara dalam menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang telah lama dilihat penting untuk mengurangkan halangan bukan tarif dan meningkatkan aliran barangan di seluruh rantau ini.

Dalam sektor tenaga, Malaysia menggiatkan semula momentum Grid Tenaga ASEAN, memperoleh komitmen baharu mengenai kesalinghubungan rentas sempadan dan meneruskan perbincangan mengenai pertukaran tenaga boleh baharu. 

Malaysia turut memperkukuh hubungan pembayaran rentas sempadan dengan memperluas kesalingoperasian pembayaran QR di seluruh ASEAN, meningkatkan transaksi runcit dan menyokong keterangkuman digital. 

Pencapaian serantau itu mengukuhkan profil ekonomi negara pada peringkat antarabangsa dan meningkatkan keyakinan pelabur sepanjang tempoh kepengerusiannya. 

2026: Prospek Stabil Tetapi Berhati-hati 

Mengenai masa depan, pendirian fiskal dan monetari Malaysia yang berhemat – disokong oleh sistem perbankan yang kukuh – dijangka menjadi teras makroekonomi utama pada 2026 yang menyokong penggunaan swasta dan pelaburan. 

Yeah mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4 hingga 5 peratus pada tahun depan dan mengingatkan bahawa masih terdapat risiko daripada kelembapan global, ketidaktentuan pasaran kewangan atau ketegangan geopolitik baharu. 

Beliau berkata cabaran terbesar Malaysia menjelang 2026 ialah produktiviti dan daya saing syarikat. 

Nungsari berkata fasa pertumbuhan seterusnya bergantung kepada syarikat Malaysia untuk lebih inovatif dan berdaya tahan. 

“Kita memerlukan lebih banyak syarikat Malaysia melaksanakan perkara baharu dan mempunyai kemampuan untuk mengeksport dengan margin yang lebih baik supaya mereka dapat membayar gaji yang lebih tinggi.  

“Dasar telah membuka pasaran – sudah tiba masanya syarikat menyahut cabaran ini,” katanya. 

Dalam Malaysia menuju ke arah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menggariskan hala tuju ekonomi negara untuk tempoh 2026-2030, dengan tumpuan kepada penciptaan nilai, pendigitalan, pembangunan bakat dan pertumbuhan yang saksama, tahun 2025 kurang mengenai angka utama dan lebih kepada meletakkan asas fiskal dan institusi untuk fasa transformasi seterusnya. 

-BERNAMA

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Niaga hadapan emas dijangka diniagakan kukuh minggu depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.