KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (enam dari kanan) dan isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang (lima, kanan) bersama tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan pada Majlis Sambutan Adilfitri anjuran LAKMM yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Miri, semalam.
MIRI : Pembangunan ekonomi Miri akan terus rancak berikutan perpindahan ibu pejabat Shell Malaysia ke bandar raya ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Miri akan menjadi satu pusat yang strategik di dalam pembangunan industri minyak dan gas di rantau ini.
Katanya, ini bermakna semua kakitangan Shell akan berpusat di Miri.
“Ini bermakna ia menjadi suntikan kepada pembangunan ekonomi miri.
“Syarikat ini mempunyai lebih 2,000 kakitangan dengan gaji yang tinggi maka penggunaan domestik akan meningkat kerana ada kuasa beli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Adilfitri Anjuran Lembaga Kebajikan Melayu Miri (LAKMM)yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Tambah Abang Johari, jika Shell bertapak di Miri tidak lama lagi, perkara ini secara tidak langsung akan menarik syarikat-syarikat lain untuk berpusat di bandaraya ini.
“Kalau syarikat besar ini bertapak di sini sudah tentu syarikat sokongan, vendor, syarikat-syarikat yang berkhidmat kepada Shell akan berpusat di Miri.
“Ini bermakna keyakinan para pelabur ke Sarawak dan juga Bandaraya Miri.
“Dan usaha-usaha minyak dan gas akan terus berkembang disebabkan kestabilan politik, dasar kerajaan kita yang mesra perniagaan dan masyarakat kita yang mesra,” ujarnya.
Miri menjadi hab industri petroleum di negara ini selepas minyak dijumpai di sana pada 1910.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Naim Holdings Bhd sebanyak RM50,000 dan Samling Strategic Corporation Sdn Bhd sebanyak RM15,000 kepada LAKMM.
Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr. Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengerusi LAKMM, Datuk Abdillah Abdul Rahim.
Sekitar 300 orang dijangka hadir memeriahkan majlis anjuran LAKMM itu.