Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan Risiko Asia Barat, kata Gabenor BNM
  • BISNES

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan Risiko Asia Barat, kata Gabenor BNM

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Seri Abdul Rasheed Ghaffou

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun risiko meningkat berikutan konflik Asia Barat yang berterusan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang kekal aktif dan eksport yang utuh dipacu perkembangan pesat sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) pada peringkat global.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata momentum pertumbuhan Malaysia kekal utuh, disokong oleh penggunaan swasta, projek pelaburan berterusan untuk tempoh beberapa tahun dan pelaksanaan inisiatif pembangunan kerajaan.

“Momentum pertumbuhan adalah berterusan didorong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh. Pelaburan dan penggunaan masih berada pada tahap yang baik dan ini akan membantu memacu pertumbuhan Malaysia bagi baki tahun ini.

“Keadaan pasaran pekerjaan kekal baik. Kadar pengangguran berada pada paras 2.9 peratus pada Februari. Gaji meningkat dan sokongan dasar kerajaan berterusan untuk mengekalkan penggunaan,” katanya kepada Bernama.

Abdul Rasheed berkata sokongan dan subsidi bersasar akan membantu mengurangkan impak terhadap perbelanjaan isi rumah dalam ketidaktentuan global yang meningkat.

Beliau berkata permintaan global yang kukuh untuk pelaburan berkaitan AI dan pendigitalan telah menyokong pertumbuhan Malaysia pada suku pertama 2026, dengan momentum dijangka berterusan sehingga separuh kedua tahun ini.

Selain itu, projek yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mencatatkan kadar realisasi yang tinggi manakala perbelanjaan kerajaan di bawah Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 dijangka menyokong aktiviti ekonomi.

Dalam pada itu, sektor kewangan Malaysia kekal kukuh, memastikan pembiayaan berterusan untuk ekonomi meskipun berdepan tekanan semasa.

Mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026, beliau berkata BNM telah mengambil kira impak daripada konflik Asia Barat, termasuk harga tenaga yang tinggi, gangguan rantaian bekalan dan momentum pertumbuhan global yang tidak menentu.

“Julat unjuran kami adalah luas untuk mengambil kira risiko semasa. Kami telah mengambil kira perkara ini semasa menetapkan unjuran 4.0 hingga 5.0 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya keadaan masih tidak menentu, dengan impak terhadap Malaysia bergantung pada intensiti dan tempoh konflik.

Abdul Rasheed berkata unjuran antarabangsa kekal dalam julat BNM, dengan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus, Pusat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) (4.6 peratus) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (4.7 peratus).

Beliau berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus adalah sesuai serta sejajar dengan unjuran pertumbuhan dan inflasi terkini Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa impak daripada konflik Asia Barat mula memberi kesan kepada tekanan harga yang tinggi, dengan kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 1.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pemindahan kos global yang lebih tinggi kepada harga domestik masih terkawal berikutan pelaksanaan subsidi, kawalan harga dan langkah penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan.

“Buat masa ini, tekanan harga masih terkawal tetapi kita perlu terus berwaspada. Kami sentiasa peka dan memantau perkembangan semasa,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa BNM akan terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat dan menjalankan penilaian berterusan terhadap implikasinya pada prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia.

Katanya negara telah melaksanakan pembaharuan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan keupayaan bagi menyerap kejutan luaran manakala penggubal dasar akan memanfaatkan penampan dasar fiskal dan monetari yang ada secara berhemat pada masa depan.

Abdul Rasheed, yang juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata keutamaan awal kerajaan susulan konflik di Asia Barat adalah memastikan bekalan bahan api domestik dan simpanan stok mencukupi.

Beliau berkata pihak berkuasa telah memantau tahap bekalan dengan teliti termasuk menilai rizab sedia ada dan mengenal pasti sumber alternatif sekiranya berlaku gangguan di negara pembekal semasa.

Katanya Malaysia mendapat manfaat daripada rangkaian global dan keupayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang membolehkan syarikat minyak nasional itu mendapat bekalan minyak mentah dan bahan mentah daripada pelbagai pasaran jika perlu. – Bernama

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka rendah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.