
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan terus memperkasa pembangunan ekonomi hijau berasaskan tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan inovasi berimpak tinggi bagi memastikan pertumbuhan negeri kekal mampan serta berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri menangani cabaran perubahan iklim serta mengurangkan kesan pembangunan terhadap alam sekitar.
Menurut beliau, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hidrogen, hidro, biomas dan solar sebagai alternatif kepada penggunaan bahan api fosil.
“Penggunaan tenaga bersih akan menjadi pemacu utama ekonomi Sarawak pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan program Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kos pengeluaran tenaga baharu yang semakin menurun sejajar perkembangan teknologi menjadikan pelaburan dalam sektor hijau lebih berdaya maju dan kompetitif.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI), analisis data dan sistem digital bagi menyokong perancangan guna tanah, pembangunan infrastruktur serta pengurusan ekonomi.
Menurut beliau, teknologi satelit, pemetaan pintar dan sistem maklumat bersepadu akan membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat, pantas dan berasaskan data.
Selain itu, beliau berkata Sarawak turut meneroka pembangunan teknologi cip serta sistem pemprosesan data bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
“Semua inisiatif ini bertujuan membina ekosistem ekonomi berasaskan inovasi dan kelestarian,” katanya.
Tambah beliau, pengurusan tanah yang cekap dan berteknologi tinggi akan menjadi tunjang kepada pembangunan sektor pertanian moden, industri bernilai tinggi, pelancongan serta ekonomi digital.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dalam sistem pentadbiran.
Menurut beliau, integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan asas utama dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
Beliau berkata, pendigitalan sistem pentadbiran mampu mengurangkan ruang manipulasi serta meningkatkan tahap ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Pentadbiran yang bersih dan berwibawa akan memastikan pembangunan Sarawak berjalan dengan adil, telus dan berkesan,” katanya.
Oleh Carolyne Utih