KUALA LUMPUR: Penggunaan perkataan yang salah pada papan tanda termasuk di gerai makanan hingga mengubah sebutan serta maksud sebenar, perlu ditangani segera bagi memastikan bahasa Melayu terpelihara sebagai identiti pertiwi.
Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, lambakan papan tanda yang tidak mengikut standard ejaan yang betul disifatkan akan membantutkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu, kata pensyarah bebas daripada Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) Dr Raja Rajeswari Seetha Raman.
Beliau berpendapat perlu ada satu peraturan khusus untuk memantau penggunaan perkataan dan bahasa, selain mencadangkan mana-mana papan tanda kedai yang tidak mengikut garis panduan perlu diturunkan segera dan diambil tindakan termasuk denda.
“Banyak kesalahan ejaan boleh dilihat di gerai makanan contohnya kuetiau tetapi dieja ‘kui tiow’, ‘kuewteow’ dan ‘kwaytiau’, perkataan lain seperti sate tetapi dieja ‘satay’ atau ‘satey’.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana di zaman teknologi masa kini, kita boleh merujuk ejaan yang betul hanya dengan menggunakan telefon bimbit menerusi kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya kepada Bernama.
Menurut Raja Rajeswari masalah ini jika tidak ditangani akan mendatangkan kekeliruan khususnya kepada golongan pelajar, justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tanggungjawab turun padang memantau kesalahan perkataan.
Beliau turut menyentuh isu bahasa rojak yang terdapat pada papan tanda meskipun penggunaan bahasa yang betul sudah sering diangkat dalam wacana dan perbincangan umum.
“Saya faham ada perniagaan yang menggunakan ayat atau perkataan bombastik untuk menarik pelanggan, namun ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk peniaga sewenang-wenangnya menggunakan bahasa yang tidak betul, malah ada yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Misalnya, kedai yang menjual ‘ayam goreng cheese’ boleh saja ditukarkan kepada ayam goreng berkeju, ia tidak pun mengubah maksud dan rasa makanan yang dijual,” katanya.
Sementara itu, bekas pengerusi Lembaga Pengelola DBP Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata isu kesalahan bahasa pada papan tanda yang berlarutan sekian lama adalah disebabkan PBT tidak menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan yang sepatutnya.
“DBP menyediakan khidmat pengesahan bahasa yang betul, tetapi jika PBT tidak menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul kebanyakan peniaga tidak akan mengambil berat tentang isu itu.
“Akta DBP tidak memperuntukkan kuasa untuk DBP bertindak lebih daripada menegur, menasihati dan membimbing,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara.
Justeru, beliau berkata PBT wajib mengarahkan semua peniaga mendapatkan pengesahan bahasa daripada DBP sebagai syarat memperoleh permit mempamerkan nama dan iklan.
Awang berkata perkara itu juga pernah disingkap dalam perbahasannya di Dewan Negara tahun lepas yang memohon kerajaan menyegerakan penggubalan Akta DBP yang baharu, dengan satu daripada perkara penting ialah penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor utama di negara ini. – Bernama