
SIBU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup berserta 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan mengedar 717.67 gram syabu, dua tahun lepas.
Hakim Wong Siong Tung menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau bersamaan dengan 30 tahun penjara itu terhadap tertuduh, Wong Kieng Li, 33, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ayah kepada dua orang anak itu menjalani hukuman penjara tersebut berkuatkuasa dari tarikh ditangkap, 12 Disember 2023.
“Selepas mempertimbangkan hujahan peguam bela bagi tertuduh dan Timbalan Pendakwa Raya, dengan mengambil kira faktor mitigasi dan pemberatan, jumlah dadah yang terlibat, keadaan kes serta kepentingan awam, mahkamah memutuskan untuk tidak menjatuhkan hukuman mati.
“Sehubungan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bersamaan 30 tahun dan 12 sebatan, dengan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapan pada 12 Disember 2023,” ujarnya ketika membaca keputusan, hari ini.
Pada 21 Ogos tahun lepas, mahkamah memerintah tertuduh membela diri setelah mendapati pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto dalam hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman menyifatkan kes ini menunjukkan gabungan antara kemudaratan yang amat serius dan tahap kesalahan yang sangat tinggi.
Katanya, tertuduh bukanlah seorang yang memiliki dadah secara tidak sengaja, sebaliknya beliau dengan pengetahuan telah melibatkan diri dalam pengangkutan sejumlah besar dadah Methamphetamine untuk tujuan pengedaran.
“Selanjutnya, tertuduh dengan sengaja menyembunyikan identitinya, terlibat dalam perlakuan yang menunjukkan sikap sengaja tidak mahu mengetahui (wilful blindness) dan cuba mengelakkan tanggungjawab melalui naratif yang tidak disokong bukti melibatkan pihak ketiga yang tidak dikenal pasti.
“Dalam keadaan ini, kesalahan tersebut jelas tergolong dalam kategori yang mewajarkan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Oleh itu, pengenaan hukuman maksimum atau sekiranya hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan, maka sekurang-kurangnya sebatan yang lebih tinggi iaitu 12 hingga 15 sebatan wajar dikenakan adalah perlu,” ujar Mark.
Sementara peguam bela tertuduh, Daren Ling memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman minimum iaitu 30 tahun penjara bagi kes yang serupa dan kes-kes tersebut melibatkan jumlah berat dadah yang lebih tinggi.
“Sehubungan itu, saya dengan rendah diri memohon agar Yang Arif mempertimbangkan dan mengguna pakai hukuman terdahulu yang telah dijatuhkan oleh Yang Arif, iaitu 30 tahun penjara,” katanya.
Kieng Li terdahulu didakwa mengedar 717.67 gram methamphetamine di dalam kenderaan Perodua Axia di tepi Jalan Oya pada 12 Disember 2023, kira-kira 5.00 petang.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah subseksyen 39B(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Oleh Akun Giman