
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada esok, berhubung siasatan kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik.
Mengesahkan perkara berkenaan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pertuduhan itu dijangka dibuat selepas menerima persetujuan pihak pendakwa raya dan Peguam Negara.
“Berhubung dengan kes Jabatan Alam Sekitar, persetujuan daripada pihak pendakwa raya atauun Peguam Negara telah pun kita peroleh dan dijangka pertuduhan dibuat esok terhadap kedua-dua ketua pengarah dan juga timbalan ketua pengarahnya.
“Jadi saya harap tidak ada pembatalan tentang perkara ini dan mereka akan dituduh di mahkamah pada esok,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Mereka sebelum ini ditahan di bawah Akta SPRM 2009 selepas disyaki terbabit rasuah berhubung pengurusan sisa elektronik yang disiasat agensi berkenaan sejak awal tahun ini. – Bernama