KOTA BHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengimamkan solat jenazah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, di sini pada 1.37 tengah hari tadi.
Solat jenazah itu disertai lebih 1,000 jemaah, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Kasuadi Hussin; serta ahli keluarga dan sahabat Allahyarham.
Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, berkata pihak keluarga memberi kebenaran kepada Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.
“Saya juga mahu berterima kasih kepada Menteri Kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia, termasuk saudara-mara serta sahabat, kerana sentiasa mendoakan arwah anak,” katanya.
Terdahulu, pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Dr Ainul Baraah dari Miri, Sarawak, tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, pada 11.21 pagi.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menyifatkan pemergian Allahyarham Dr Ainul Baraah sebagai kehilangan seorang wirawati dalam keluarga besar Kementerian Kesihatan.
“Saya sempat berbual dengan adik-beradik arwah dan melihat betapa besarnya jiwa Dr Ainul Baraah dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang petugas kesihatan dengan meletakkan kepentingan pesakit sebagai keutamaan tertinggi mengatasi dirinya.
Dr Dzulkefly turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan suami arwah dan berharap mereka sabar menghadapi ketentuan Illahi.
“Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni arwah, melapangkan kuburnya serta menghimpunkannya dalam kalangan orang beriman atas segala jasa dan kecemerlangannya menjalankan tugas,” katanya.
Dr Ainul Baraah, 33, merupakan antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak, yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang, Selasa lalu.
Nahas itu turut mengorbankan juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham 30, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry 31 serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44 dan Debra Moset, 40. – Bernama





