
APAKAH benar bayaran duti setem bagi perjanjian jual beli tanah termasuk pindah hak milik di Sarawak sekarang agak mahal?
Penulis menerima maklumat bahawa kadar bayarannya tidak munasabah sedangkan ia tanah hak adat Bumiputera (NCR), bukan tanah zon campuran (mixed zone).
“Untuk proses pindah milik tanah NCR berjumlah lapan ekar, saya kena bayar RM8,000 duti setem. Saya pula perlu bayar RM1,500 kepada peguam yang memproseskan semua urusan pemindahan ini termasuk berurusan dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” kata seorang pengadu.

Untuk pengetahuan, duti setem ini dibayar kepada Kerajaan Persekutuan melalui kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti dikehendaki di bawah Akta Setem 1949.
Difahamkan kebanyakan urusan kini menggunakan peguam yang mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap transaksi dokumen pemindahan hak milik tanah, berdasarkan caj berbeza mengikut bandar. Misalnya peguam di Sibu mengenakan bayaran RM1,500 tetapi di Kuching sehingga RM3,000.
Contoh dokumen yang tertakluk kepada duti setem selain penjanjian jual beli (rumah, tanah, kenderaan) ialah surat pajakan atau sewaan, surat perjanjian pinjaman, dokumen pemindahan hak milik, akaun berkanun (Statutory Declaration) dan surat kuasa wakil (Power of Attorney).
Isu kos mahal untuk perjanjian jual beli tanah NCR ini perlu penjelasan LHDN. Difahamkan, duti setem untuk jual beli rumah pun turut mahal. Seorang lagi pengadu berkata, dia lebih suka menggunakan khidmat peguam kerana laju.
“Saya cuma perlu bayar, urusan lain termasuk turun naik ke pejabat JTS dan urusan di LHDN semuanya dilakukan oleh pejabat peguam.
“Jika tidak, kita sendiri pergi berurusan di JTS, mungkin dua tiga kali bila perlu dokumen tambahan seperti mendapatkan tanda tangan waris pemilik tanah yang sudah meninggal dunia… bab ini pula perlu turut turun naik pejabat daerah,” katanya.
MEMBEBANKAN RAKYAT LUAR BANDAR
Menurut seorang peguam yang biasa mengendalikan urusan jual-beli tanah NCR, bayaran duti setem memang membebankan bagi masyarakat di luar bandar.
“Contoh mudah, apabila seorang bapa mahu memindahkan hak milik tanahnya kepada nama anak, dia perlu bayar duti setem yang mahal.
“Mahu tidak mahu, terpaksa buat perjanjian luar… maksudnya tidak perlu tukar pindah milik tetapi lebih kepada surat perjanjian depan peguam atau boleh guna kaedah hibah,” katanya.
Berdasarkan perkiraan LHDN, kadar duti setem bagi perjanjian jual beli tanah dikira berdasarkan harga jual beli atau nilai pasaran tanah (mana yang lebih tinggi).
Contoh kiraan bagi tanah di Sarawak. Misalnya harga tanah RM500,000, maka untuk RM100,000 pertama dikenakan satu peratus duti setem iaitu RM1,000 dan RM400,000 berikutnya dikenakan dua peratus iaitu RM8,000. Maka jumlah duti setem ialah RM9,000.

Ia mesti dibayar kepada LHDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh perjanjian jual beli (SPA). Kelewatan akan didenda.
Tetapi masalahnya, ialah tanah NCR yang nilainya kurang berbanding tanah kategori ‘mixed zone’, dikenakan bayaran sama rata.
Yang menjadi persoalan pula ialah bila pindah milik hak tanah daripada bapa atau emak kepada anak atau istilah biasa ‘love & affection’ (kasih sayang) pun dikenakan duti setem.
Mengapa transaksi berdasarkan kasih sayang ini tidak dikecualikan atau pada kadar bayaran duti setem paling minimum misalnya di bawah RM100?
Lainlah kalau urusan jual-beli bukan kategori kasih sayang atau dikenakan hanya untuk tanah jenis ‘mixed zone’.
HASIL NEGERI DIKUTIP PERSEKUTUAN
Kerajaan Sarawak tidak boleh berbuat apa-apa kerana pembayaran duti setem masuk kantung Kerajaan Persekutuan melalui LHDN.
Andai kerajaan Sarawak boleh mengawalselia urusan ini, sudah pasti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melakukan sesuatu untuk membantu pemilik/pembeli tanah NCR atau sekurang-kurangnya tiada bayaran jika membabitkan kategori ‘kasih sayang’.
Contohnya, ketika zaman Pehin Sri Adenan Satem, Allahyarham menghapuskan cukai tanah dan mengurangkan bayaran tambang feri untuk kenderaan kepada hanya RM1 daripada sekurang-kurangnya antara RM3 hingga RM5 sebelum ini. Begitu juga aturan tiada tol di jalan raya.
Lain pula lah andai duti setem melalui kutipan hasil hartanah di negeri ini masuk dalam hasil kerajaan Sarawak sendiri.

Bayangkan berapa juta ringgit transaksi pindah milik hak tanah, rumah, kenderaan, surat pajakan atau sewaan, surat perjanjian pinjaman, dokumen pemindahan hak milik, akaun berkanun (Statutory Declaration) dan surat kuasa wakil (Power of Attorney), dikutip LHDN di negeri ini setiap bulan?
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah membangkitkan isu ini pada 2023 apabila mendesak isu pembayaran khas untuk Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata Sarawak sudah ada formula sendiri bagi menentukan jumlah pembayaran khas itu supaya lebih adil.
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil. Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak.
“Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” kata Abang Johari.
Diharapkan pihak kerajaan Sarawak boleh membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan datang.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak