Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Dusun
  • WBS

Dusun

Utusan Sarawak 1 day ago

SAUDARA-MARA dan jiran tetangga ramai yang telah tiba untuk membantu Siah mengurus majlis perkahwinan anaknya. Melangkah sahaja kakinya ke dalam rumah, matanya terus terpandang selonggok jantung pisang.

“Wah! Banyaknya jantung pisang.” Kata Husna dengan mata terbeliak.

“Kamu suka berulam jantung pisang Husna?” Tanya Makcik Siah, sepupu ayah.

“Suka sangat.” Jawabnya sambil tersenyum.

“Nanti kita makan bersama-sama.” Ujar makcik Siah lagi.

“Di mana makcik beli jantung pisang ni?” Soal Husna.

“Apa hal pulak nak beli. Kan banyak di kebun.” Jawab makcik Siah.

“Kebun yang mana?” Soal Husna lagi. Setahunya makcik Siah tidak mempunyai kebun.

“Kebun kita di darat tu.” Jawab makcik Siah selamba.

Saat itu juga terdengar mak berdehem.

Fahamlah Husna. Mak mahu dia mendiamkan diri. Dadanya bergelojak menahan gelora. Ulam jantung pisang yang diminati tidak sesedap seperti yang biasa dirasa. Air limau kasturi yang digaul bersama sambal belacan tidak terasa masamnya. Terasa tawar. Sedangkan ulam jantung pisang adalah makanan kegemarannya. Sering dia merungut payah untuk mendapat jantung pisang yang segar.

“Tanam sendiri pokok pisang. Nak makan, pergi petik.” Begitu kata ayah. “Nak jantung yang sedap, tanam pisang kepuk.” Tambah ayah lagi.

 Mak pula minta Husna tanam pisang tanduk. Lebih sedap dibuat kerepek. Berasa teruja dengan cadangan ayah, dia memilih untuk menanam pisang tanduk. Dia dapat jantung, mak pula dapat buah untuk dibuat kerepek. Kebenaran dipinta untuk bertanam pokok pisang di dusun ayah. Ayah membenarkan dengan syarat dia tidak mengabaikan pelajaran. Husna bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Menyedari kekurangan diri, Husna meminta bantuan ayah.

“Jarak antara pokok, satu meter supaya pokok dapat cahaya matahari.” Kata ayah sewaktu mula bertanam. Sejak itu jadual kehidupannya berubah. Setiap hujung minggu atau waktu cuti masanya dihabiskan bersama ayah di dusun. Biarpun begitu dia akan menjenguk dusun setiap kali hujan turun. Kata ayah, akar pokok pisang mudah reput sekiranya terendam dalam air. Lopak-lopak air harus dibersihkan.

Sewaktu di dusun, kerap kali dia dan ayah terserempak dengan saudara mara yang mengutip pucuk-pucuk ubi dan paku pakis. Kata ayah, untuk mereka jadikan hidangan makanan tengah hari atau malam. Setiap kali terserempak, ayah cuma akan bertanya khabar. Tidak pernah bercakap tentang tanaman-tanaman yang mereka ambil. Seperti mak dan ayah, Husna tidak mengambil peduli. Namun sejak bertanam pokok pisang, timbul kerisauan di hati.

“Kenapa dibiarkan sahaja mereka mengambil tanaman di kebun sesuka hati tanpa meminta izin? Kalau sudah terbiasa susah untuk ditinggalkan.” Husna meluahkan rasa hati kepada mak dan ayah. Timbul rasa bimbang bila memikirkan tentang pokok-pokok pisang yang baru ditanam.

“Mereka tahu pokok-pokok pisang tu kita yang tanam. Ayah dah bagitau, buah-buahnya nanti nak dibuat kerepek untuk dijual. Kalau mereka nak, mereka boleh beli.” Kata ayah.

Mak mengangguk beberapa kali.

Husna berasa mak dan ayah cuba untuk menyedapkan hatinya. Timbul rasa khuatir sekiranya mereka turut menganggu tanaman pisang yang diusahakan.

Kini, hal yang menjadi kegusarannya terjadi di depan mata. Jantung pisang diambil begitu sahaja. Dia berasa jengkel bila mendengar Makcik Siah menyebut ‘kebun kita’. Seolah-olah dia juga tuan punya kebun itu.

Ketika itu dia bertekad untuk meluahkan rasa hati kepada mak dan ayah bila balik ke rumah. Malam itu sewaktu tiga beranak sedang berehat setelah seharian menolong Siah, Husna membuka mulut.

“Mak, ayah, kebun yang kita selalu pergi tu, siapa yang punya sebenarnya?” Husna memulakan bicara.

“Kalau ikut dalam surat tanah, mak kamu yang punya. Takkan kamu tak tau lagi?” Jawab ayah.

“Maknanya kebun tu keluarga kita yang punya.” Mak menyampuk.

“Kalau kebun kita kenapa orang-orang di kampung ni mengambil tanaman sesuka hati. Tak bagi tau kita pun. Kalau tak nak bagi tau kami anak-anak, bagi tau mak dan ayah. Kan gitu?” Ujar Husna.

“Mereka mengambil tanaman hutan. Bukan kita tanam pun. Apa salahnya kita berkongsi rezeki.” Kata ayah.

“Tapi Makcik Siah ambil jantung pisang yang kita tanam. Bila ditanya di mana dia dapat, katanya dia ambil dari kebun kita. Dia sebut kebun kita seolah-olah kebun itu kebun dia juga. Mak pun ada di situ tadi. Kan mak?” Ujar Husna lagi sambil memaling muka ke arah mak.

Mak memandang muka ayah dan mengangguk-angguk.

“Kebun kita?” Ulang ayah sambil mengerut dahi.

Husna mengangguk.

“Maknanya makcik Siah menganggap kebun tu kebun dia juga.” Kata Husna.

“Kita kena bagitau duduk perkara yang sebenar ayah. Kalau setakat tanaman hutan tak apalah kita berkongsi rezeki. Tapi, pisang yang kita tanam tu tak bolehlah diambil begitu saja. Waktu ni dia ambil jantung pisang. Mana tau esok lusa dia ambil buah pula.” Kata Husna lagi. Matanya mula berkaca.

Mak memandang wajah ayah.

“Sekarang ni kita sama-sama letih. Lebih baik kita tidur, rehatkan diri dan tenangkan fikiran. Kita bincangkan perkara ni esok.” Kata ayah lantas bangkit menuju bilik tidur disusuli oleh emak.

Husna sedar, mak dan ayah tidak akan menegah saudara mara mengambil tanaman di dusun. Mereka tidak mahu saudara mara terasa hati. Dia harus bertindak sendiri.

Dalam diam Husna mengatur rancangan. Orang pertama yang akan ditemui sudah tentu Siah. Sebungkus kerepek pisang yang dimasukkan ke dalam beg plastik dijinjing sambil mengatur langkah. Boleh saja menunggang basikal. Namun dia mahu berjalan agar boleh merangka apa yang akan diluahkan kepada Siah.

Husna lega melihat Siah muncul di muka pintu menjawab salam. Dia diajak masuk. Sebaik kaki melangkah masuk, Husna melihat sehelai tikar yang belum siap.

“Makcik buat ni?” Tanya Husna.

“Ya.” Jawab Siah ringkas sambil tersenyum.

“Wah, tak sangka makcik pandai menganyam tikar. Di mana makcik belajar?” soal Husna lagi.

“Belajar dengan mak makcik. Ingat nek Nab?”

“Ingat. Tak tau pulak dia pandai menganyam tikar.” Ujar Husna.

“Mak memang begitu. Dia tak nak diganggu. Sebab tu dia buat kerja dalam bilik.” Jawab Siah.

Husna mengangguk beberapa kali.

melambai Husna mengajak duduk di atas kerusi tetapi Husna menggeleng.

“Makcik teruskan kerja menganyam tu. Boleh Husna tengok caranya.”

Siah pun menyambung kerja menganyam yang terhenti. Sambil jari lincah menganyam, mulutnya lincah bercerita. Bercerita tentang pengalaman belajar menganyam dengan maknya. Husna cuma diam sambil sesekali mengangguk.

“Menganyam tikar ni kena dibuat berhati-hati. Hasilnya, tikar yang cantik. Orang menengok akan berminat. Bolehlah kita jual dengan harga yang tinggi. Tak gitu?” kata Siah sambil memandang Husna.

Husna mengangguk sambil tersenyum. Tanpa diduga makcik Siah sendiri yang membuka peluang untuk Husna melaksanakan rancangannya.

“Betul kata makcik tu. Ayah kawan Husna pun cakap begitu bila Husna mula bertanam pisang. Katanya orang suka pisang yang bagus. Nak dapat pisang yang bagus, kena tau bila nak petik jantungnya. Jangan petik sesuka hati.” Ujar Husna panjang lebar.

Hati Siah terasa seolah disentap. Riak wajahnya sedikit berubah namun tidak disedari oleh Husna.

“Nanti bila makcik terasa nak berulam jantung pisang, bagitau Husna dulu. Kalau dah boleh dipetik, nanti Husna petik dan bagi makcik. Percuma.” Sambung Husna sambil tersenyum.

“Ya, ya.” Balas Siah sambil tersenyum, cuba menyembunyikan redup di wajah.

Husna terus bertanya tentang anyaman tikar yang dibuat. Siah melayan semua soalan Husna seolah-olah tiada apa yang berlaku. Beberapa ketika kemudian Husna meminta diri untuk pulang.

Keluar sahaja dari kawasan rumah Siah, Husna menarik nafas panjang. Lega rasa hati. Meskipun perbualan mereka tidak seperti yang dirancangkan, dia berjaya menyampaikan isi hatinya. Namun terdetik juga di hati, fahamkah makcik Siah apa yang cuba disampaikan?

Dalam perjalanan balik, otaknya ligat memikirkan orang-orang yang patut ditemui. Dia membuat keputusan untuk bertemu dengan beberapa orang sahaja. Beberapa orang yang diketahui dapat mempengaruhi orang lain.

Dia menggunakan cara yang sama bila bercakap dengan yang lain. Dia menganggap telah mencapai apa yang mak dan ayah tidak mampu lakukan. Tanpa sedar, perbuatannya telah mengundang kemarahan Siah dan dua orang sepupu mak, Zainab dan Rohani.

“Apa yang kau cakap dengan makcik Siah, makcik Nab dan makcik  Ani kamu?” Soal ayah dengan muka yang serius. Tidak pernah dia melihat wajah ayah seserius itu.

Begitu juga mak. Wajah mak yang biasanya tenang, memandangnya dengan garang.

“Husna cuma cakap, kalau nak jantung pisang, bagitau Husna dulu. Takut nanti kalau jantung pisang dipetik sesuka hati, nanti buah pisang jadi kurang bermutu. Itu saja.” Jawab Husna.

“Mereka kata kamu memandai-mandai. Melarang mereka mengambil tanaman di dusun tu.” Balas mak.

“Bila pulak Husna melarang? Husna cuma minta mereka bagitau bila nak ambik tanaman di dusun. Terutama sekali jantung pisang.” Jelas Husna.

“Sekarang ni ayah mahu kamu minta maaf kepada mereka bertiga.” Kata ayah pula.

Husna membuka mulut mahu menjawab kata ayah. Namun membatalkan hasratnya bila melihat muka ayah yang serius dan jelingan tajam mak. Saat itu dia hanya mampu menarik nafas panjang. Ketika itu juga dia membatalkan hasrat untuk bercakap dengan beberapa orang yang belum sempat ditemui.

“Tak dapat cakap dengan orang-orang tua, kau cakap dengan anak-anak mereka. Apa susahnya?” Ujar Farid, bila dia mengadu kepada abang keduanya.

Husna meneleng kepala ke kiri. Kurang faham maksud kata-kata Farid.

“Lebih senang bila kita bercakap dengan orang-orang yang seusia dengan kita. Kita boleh bercakap sambil gelak-gelak, bergurau sesama kita. Kalau dengan orang yang lebih tua, kita kena beradab. Tak boleh nak bergurau sangat. Lagi pun biasanya, kebanyakan orang enggan menerima teguran daripada orang yang lebih muda.” Jelas Farid panjang lebar.

Husna mengangguk tanda faham. Ketika itu Husna mengambil keputusan untuk mengubah rancangan. Dia mahu mendekati saudara-saudara yang lebih muda. Lebih tepat, yang sebaya atau hampir sebaya dengannya. Situasi itu lebih mudah bagi Husna kerana dia memang rapat dengan mereka.

Betullah kata abang. Lebih senang bila bercakap dengan mereka yang sebaya. Boleh berbicara santai-santai. Namun terdetik juga di hati Husna. Apakah saudara-saudara yang sebaya dengannya faham hal yang dikatakannya.

Beberapa bulan berlalu. Usaha Husna tidak menampakkan hasil. Sekali lagi dia meluahkan isi hatinya kepada Farid.

“Abang nak tanya, berapa lama pokok pisang mengeluarkan jantung sejak hari ditanam?”

“Tujuh hingga sepuluh bulan.” Jawab Husna.

“Memakan masa kan?” Soal Farid lagi.

Husna mengangguk.

“Kadang-kala apa yang kita usahakan akan mengambil masa untuk dapatkan hasilnya.” Kata abang Farid.  

Husna merenung muka abang. Wajahnya redup. Ada rasa kecewa di dada bila usahanya tidak menampakkan hasil.

“Banyakkan sabar dan teruskan usaha.” Sambung  abang.

Husna mengangguk perlahan. Dia akur dengan kata-kata abang. Tentunya abang bercakap melalui pengalaman. Pada waktu yang sama, dia berjumpa dengan makcik Siah, makcik Nab Dan makcik Ani. Meminta maaf seperti yang diminta mak dan ayah. Ketiga-tiga mereka hanya mendiamkan diri.

‘Sekurang-kurangnya aku dah minta maaf.’ Katanya kepada diri sendiri.

Sungguh benar apa yang abang kata. Beberapa bulan kemudian usahanya menampakkan hasil. Tiada lagi yang mengambil tanaman di dusun sesuka hati.

Mak dan ayah terkejut dengan hasil usaha Husna. Mereka akhirnya mengakui benarnya tindakan Husna untuk bercakap dengan saudara mara tentang tanaman di dusun.

Jantung pisang muncul tanpa henti. Husna lega. Tidak lagi perlu khuatir tanaman pisang yang diusahakan diganggu orang lain.

Sedang leka memerhati jantung pisang yang menunggu dipetik, Husna terkejut bila namanya dipanggil. Dia berpaling lalu terpana. Makcik Siah tercegat sambil memegang sebilah parang.

“Aku nak beli jantung pisang.” Makcik Siah menyatakan hajat hati.

“O.” Sekadar itu yang terkeluar dari mulut Husna. Dia menarik nafas lega.

“Boleh makcik. Ambillah berapa yang makcik nak.” Ujar Husna.

Mendengar kata-kata Husna, Siah melangkah ke arah pokok-pokok pisang lantas mencantas beberapa jantung pisang. Jantung pisang dimasukkan ke dalam beg plastik. Setelah selesai, Siah menuju ke arah Husna.

“Berapa harga semua ni?”

“Husna bagi je makcik.” Kata Husna sambil tersenyum.

“Terima kasihlah Husna. Makcik nak balik ni.” Ujar Siah sambil memasukkan parang ke dalam sarung.

“Husna pun nak balik ni.”

Mereka berjalan beriringan sambil Husna memanggil ayah dan mak mengajak mereka pulang.

Oleh Norlida Annuar

Continue Reading

Previous: Latar dan Tautan Cerita dalam Cerpen Cikgu, Sampah Cikgu!
Next: Denyut kata, getar makna: Menelaah lakaran puitika dalam puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.