Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Durian ‘utak udang’ produk pertanian baharu tembusi pasaran luar
  • SEMASA

Durian ‘utak udang’ produk pertanian baharu tembusi pasaran luar

Utusan Sarawak 3 hours ago
UTAK UDANG… Durian tempatan yang menjadi tumpuan warga Brunei kerana teksturnya yang lemak manis.

LIMBANG: Durian merah atau dikenali sebagai ‘utak udang’ yang mendapat sambutan tinggi di Limbang dan Brunei Darussalam, akan dipromosikan sebagai produk pertanian baharu bernilai tinggi bagi menembusi pasaran luar.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata durian ‘utak udang’ merupakan antara durian tempatan yang akan dimajukan selain durian ‘suluk’, iaitu kategori durian kuning yang turut mendapat harga dan permintaan tinggi.

Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif kementeriannya untuk menjadikan Limbang sebagai pengeluar utama buah eksotik berkenaan selain tanaman utama lain seperti kelapa, nanas dan pisang.

“Kita mahu mempromosikan durian tempatan dan telah mengenal pasti dua jenis yang berpotensi untuk dimajukan serta mendapat sambutan tinggi, iaitu durian suluk dan merah.

“Durian merah atau dikenali sebagai durian ‘utak udang’ ini yang ingin kita promosikan. Baru-baru ini, walaupun musim buah menyaksikan lambakan hasil, harga kedua-dua jenis ini tidak jatuh kerana mendapat permintaan dan sambutan tinggi daripada pasaran tempatan serta negara jiran, Brunei Darussalam,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong, petang tadi.

PASARAN BAHARU… Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menunjukkan benih pokok durian yang akan dipromosikan ke pasaran luar Sarawak.

Buah eksotik yang mempunyai rasa lemak manis serta kaya dengan khasiat tersendiri itu turut menjadi sebahagian daripada warisan makanan masyarakat tempatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, usaha mempromosikan durian tempatan akan mendapat sokongan Jabatan Pertanian melalui penyediaan bahan tanaman berkualiti.

Beliau berharap para petani merebut peluang untuk memajukan bidang pertanian dengan menggunakan pendekatan dan teknologi baharu yang mampu menjamin pulangan lebih baik.

Menurutnya, selain mempromosikan durian tempatan di Limbang, negeri ini turut mengusahakan varieti lain seperti durian ‘musang king’, ‘black thorn’ dan terbaharu, ‘tupai king’ yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: Tarikh lihat anak bulan Ramadan 17 Februari ini
Next: Petronas tiada rancangan kurangkan pengeluaran minyak dan gas di Sabah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.