KUCHING: Durian dikenali sebagai ‘Raja Buah’ menjadi tarikan utama dalam kalangan peminatnya terutama sekitar bandar raya Kuching. Musim durian sering kali dinantikan kerana keunikan rasa dan aroma isinya.
Tapak jualan durian biasanya menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan durian segar, sama ada untuk dinikmati terus atau dijadikan bahan masakan.
Tinjauan Utusan Sarawak di pekarangan tapak jualan Batu 6, Jalan Matang di sini, pelanggan boleh mengisi durian hingga penuh satu plastik tanpa mengira saiz pada harga RM35.
Menurut Muhammad Fairoza, 40, lebih dikenali dengan panggilan Mamat, buah durian yang dijual di PCC Demak diambil khas dari Sarikei yang semenangnya terkenal sebagai salah satu kawasan pengeluar durian berkualiti tinggi di Sarawak.
Mamat berkata, durian mula dijual di sini sejak awal Disember, menjadikan musim ini waktu yang sesuai untuk peminat durian mendapatkan buah kegemaran mereka.
“Dengan harga yang berpatutan, peminat durian berpeluang membeli durian dalam kuantiti yang banyak, menjadikannya lebih berbaloi terutama mereka yang menikmati buah ini bersama keluarga,” kata Mamat.
Katanya, mereka menawarkan harga tersebut setiap hari sehingga stok durian habis dan mereka kini masih menunggu ketibaan dua lori penuh durian untuk memastikan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Sementara itu, Muhammad Jabari, 44, yang dikenali sebagai Along Mat berniaga di gerai durian Batu 6 Jalan Matang turut menawarkan pelbagai jenis durian termasuk durian kampung berkualiti tinggi dari Serian.
Turut menjadi pilihan ialah Musang King, Duri Hitam, IOI 168, Channe, D24 dan Asfa50 dijual pada harga berpatutan.
Along Mat memberi jaminan bahawa peminat durian pasti berpuas hati dengan pengalaman membeli di tapak jualan tersebut.
Katanya, pelanggan dibenarkan untuk memilih sendiri durian, menikmati rasanya dan melihat isi buah sebelum membuat keputusan membelinya.
Pendekatan ini memberikan keyakinan kepada pelanggan tentang kualiti durian yan mereka beli. Ia juga memastikan pelanggan mendapat durian yang memenuhi cita rasa mereka dan tekstur isi yang diingini.
“Kami mengamalkan konsep membuka durian di hadapan pelanggan, membolehkan mereka merasai dan melihat isi buah sebelum membeli.
“Langkah ini bertujuan memastikan pelanggan tidak kecewa dan berpuas hari dengan kualiti durian yang kami tawarkan.
“Harga yang ditawarkan adalah seperti dua biji durian pada harga RM50 berdasarkan saiz, lima biji RM50 dan RM30. RM20 untuk buah kampung dan paling menarik kami menawarkan RM50 untuk sebakul durian,” katanya.
Oleh Noor Ikmal