KOTA SAMARAHAN: Sarawak atau lebih dikenali sebagai Bumi Kenyalang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang hanya boleh diperolehi di negeri ini mahupun negeri berdekatan iaitu Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Apabila tiba musim buah-buahan, pasar tamu di serata tempat di Sarawak pastinya akan dibanjiri dengan pelbagai jenis buahan-buahan seperti dabai, durian, tarap atau lumuk, buah bambangan atau mawang, rambutan dan sebagainya.
Semasa mengadakan tinjauan di sekitar Samarahan semalam, penulis berkesempatan berkunjung ke gerai penjual buah-buahan tempatan di tepi jalan raya berdekatan Kampung Tambey.
Apa yang menarik perhatian penulis ialah terdapat dua jenis durian tempatan yang hanya boleh didapati di kepulauan Borneo turut dijual di sini.
Antara dua jenis durian eksotik yang ditemui semalam ialah Durian Isa atau dikenali sebagai Durian Isu, Durian Burung, Durian Hutan dan Durian Isi Merah manakala satu lagi ialah Durian Pakan atau dikenali sebagai Durian Pakun dan Durian Nyekak oleh penduduk tempatan.
Menurut salah seorang peniaga buah-buahan tempatan, Kasim Sebi, 50, Durian Isu mempunyai permukaan kulit yang hampir serupa dengan durian biasa namun dari segi durinya ia lebih panjang dan lebih tirus.
Dari segi rasanya pula katanya, ia tidaklah seperti aroma durian biasa yang selalu dimakan. Isinya berwarna kuning jingga dan kadang kala berwarna merah mempunyai tekstur halus, isi yang lebih lembut, berlemak manis dan berbau harum.
“Pokoknya pun berbeza kerana hanya boleh dijumpai di dalam hutan dan tidak ditanam. Ia tumbuh melalui penyebaran biji timbuhan oleh burung-burung di dalam hutan dan disebabkan itu, buah durian ini turut dikenali sebagai Durian Burung bahkan harganya pun lebih mahal berbanding durian lain,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di sini, semalam.
Tambah Kasim, kebiasaanya pokok Durian Isa tumbuh meliar di hutan tebal terutama di Lubok Antu, Betong, Engkelili di Sadong Jaya dan di Bintulu manakala ia jarang dijumpai di sekitar Kuching.
Dalam pada itu katanya, dari segi luaran Durian Pakan mempunyai kulit yang berwarna kuning jingga dan mempunyai isi durian yang juga berwarna jingga.
“Duri-duri Durian Pakan adalah lebih pendek berbanding Durian Isu dan permukaan duri pada kulit durian ini adalah lebih lembut.
Dari segi rasa pula, ia hampir menyerupai Durian Isu, cumanya ia tidak mengeluarkan aroma berbau wangi, isinya juga lebih manis dan juga boleh ditanam sendiri.
“Kedua-dua buah durian ini amat istimewa kerana jarang dijumpai dan hanya terdapat di Sarawak dan paling menarik ialah kedua-dua buah ini juga jarang berulat seperti durian biasa yang lain,” ujarnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA