
PERANG lagu raya yang bahangnya semakin dirasai dalam minggu kedua Ramadan, nampaknya tidak hanya menarik perhatian penyanyi industri hiburan tanah air untuk tampil mempertaruhkan lagu Aidilfitri baharu mereka.
Golongan pereka fesyen juga tidak ketinggalan merancakkan lagi sambutan Syawal dengan kemunculan lagu hari raya mereka sepertimana yang dilakukan oleh duo pereka daripada FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok menerusi lagu pertama mereka berjudul Si Gadis Lebaran.
Tidak menafikan, agak jarang pereka fesyen melangkah masuk sebagai pencipta lagu, namun bagi duo pereka ini, mereka melihatnya sebagai tanda keberanian mencuba sesuatu yang baharu di luar dunia fesyen dan menjadikan usahawan serta penyanyi lagu raya kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sebagai idola.
“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.
“Beliau adalah inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang beliau tonjolkan dalam media sosial, sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahupun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko,” kata Farel Mikhail kepada Bernama baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai Si Gadis Lebaran, Farel Mikhail yang juga penulis lirik lagu tersebut berkata ia didendangkan oleh penyanyi meningkat naik, Alif Azman dan mengisahkan tentang wanita cantik bergaya di hari raya dan semakin menyerlah apabila berbusana tradisional Melayu.
Bergenrekan rancak, beliau berkata penampilan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang terkenal dengan imej wanita Melayu dan tinggi adat budi bahasa, menjadi imaginasinya sepanjang penghasilan lirik lagu tersebut.
“Datuk Seri Siti sangat sinonim dengan karakter wanita Melayu yang lemah lembut, selain beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
“Bahkan beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabatkan budaya Melayu walau yang mana berada, tidak kiralah dalam ataupun luar negara. Datuk Seri Siti tidak pernah lupa akar budaya kita biarpun sudah berada lama dalam industri hiburan tanah air,” katanya.
Muzik video lagu ciptaan bersama Tya Amida itu kini sudah boleh ditonton di semua platform media sosial GMM Music. – Bernama