PADA 28 Februari (Isnin) depan, Perhimpunan Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu (UN) akan diadakan di Nairobi, bagi membincang perihal kesan pembuangan sisa plastik.
Nampaknya, dunia kini sedang memikirkan untuk mengadakan satu triti bagi menangani masalah bahaya bahan buangan plastik terhadap alam sekitar.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) merasakan amat perlu diwujudkan penyelesaian ke arah satu masalah global yang rumit yang berpunca daripada perbuatan yang terlalu lazim dilakukan tanpa kepekaan akan kesannya terhadap manusia.
Oleh kerana penggunaan plastik bagaikan terlalu mudah untuk digunakan, ramai tidak sedar bahawa kurang daripada 10 peratus daripada bahan plastik yang kita gunakan dikitar semula di seluruh jagat raya.
Laporan OECD mendapati bahawa pada tahun 2019 sebanyak 460 juta tan plastic telah digunakan, dan angka itu dua kali ganda meningkat jika dibandingkan dengan statistic pada 2000.
Hanya pada 2020, akibat pandemik Covid-19, penggunaan plastik didapati menurun dengan 2.2 peratus.
Hasil dari penggunaan sedemikian banyak, didapati 353 juta tan bahan buangan daripada plastik ‘mencekik’ muka bumi ini, akibat hanya sembilan peratus yang dikitar semula, 19 peratus dilupuskan melalui system pembakaran, 22 peratus dibuang begitu sahaja pada tanah pelupusan, sama ada dibakar secara terbuka atau dibiarkan ‘membocori’ alam sekitar.
Baki 50 peratus lagi dibuang di tanah pelupusan yang tidak dikawal. Apabila bibit-bibit pemulihan ekonomi mulai menjelma, masalah bahan buangan plastik yang digunakan semula mulai meningkat pula.
Dalam memikirkan hal itu OECD menyarankan agar setiap negara di dunia mewujudkan pasaran untuk bahan kitar semula plastik tetapi setakat yang diketahui kejayaannya hanya setakat enam peratus pada ketika ini.
Dunia perlu memikirkan secara serius untuk mewujudkan suatu macam teknologi bagi menangani masalah yang amat genting ini dan perlu ditangani sesegera mungkin sebelum keparahannya memuncak ke tahap kedahsyatan yang tidak terbendung kemudian nanti.