

Oleh: Joe Julaihi
Mereka kata, rumah kecil itu, di situ, terletaknya dunia itu.
Prolog
“Rupa-rupanya dia telah melipat-lipat isteri dan anak-anaknya lalu diletakkan di dalam almari. Akhirnya, kesemua mereka dimakan anai-anai.”
“Apa yang kita dapat lakukan? Kalian lihatlah sekitar kita!”
[I]
Dalam Perut Musang itu, ada sepuluh desa. Di salah sebuah desa, hujan hampir tidak pernah lelah, dan awan mendung tidak pernah penat menyembunyikan suria, sehingga penduduk luar kawasan lebih mengenali desa itu sebagai Desa Tanah Basah. Dek keistimewaan itulah, penduduk dari luar kawasan, acap kali membeli awan yang mengandung hujan, menjadikan ia, satu perniagaan utama penduduk desa itu.
Di sana, beberapa orang penduduk sedang menuai awan-awan untuk dijual setelah hujan ingin tidur sebentar. Awan-awan itu dituai dengan menggunakan sibur yang diikat ketat pada hujung buluh panjang. Kemudian, akan dibentuk bulat-bulat, dipadat-padat, lalu dimasukkan ke dalam tambok, dibawa ke Pasar Ketawa Musang, ditimbang dan dijual. Setiap satu kilogram awan mengandung hujan, lima origami burung berwarna biru-kelabu akan ditukarkan. Jika tidak hendak banyak, boleh sahaja beli 100 gram, tukarnya dengan satu origami burung jingga dan hijau, setiap satu. Oh, ya! transaksi penjualan tidak menggunakan origami burung semata-mata, boleh juga tukar dengan apa-apa. Tiada masalah.
Cuma, satu peraturan pasar itu yang perlu dipatuhi. Satu origami burung perlu dimasukkan ke dalam mulut seekor musang yang senantiasa ternganga. Ada yang tidak mampu memberikan origami burung, boleh sahaja masukkan apa-apa yang berfaedah. Serpihan pelangi, keju atau tiram pun musang itu tetap suka. Penduduk, ingatkan ini sahaja, tetapi, ada sesuatu yang lain berlaku.
[II]
Sulan, salah seorang penuai awan. Sudah lama melakukan kerja itu. Kadang-kadang dapat berbakul-bakul. Kadang-kadang ada sebakul dua. Dia gembira sahaja. Namun, setiap kali melihat hasilnya, isterinya akan perlahan-lahan kembang, mengembang dan mengembang. Dek terlalu sangat begitu, isterinya, satu hari itu, membocorkan diri sendiri-mengempis, lalu, di hadapan dia dan anak, dia masuk ke dalam lubang tandas, bersama-sama seekor ayam jantan berwarna emas.
Sulan tidak kisah tentang soal itu. Jika isterinya ingin masuk ke lubang tandas, itu pilihannya sendiri. Dan mengapa hendak menghalang? Masing-masing mempunyai pilihan, bukan? Apa yang penting adalah, anaknya.
Sulan akan pulang setelah menuai dan menjual awan. Ketika itu anaknya akan terlompat-lompat di muka pintu-gembira benar. Lagi-lagi apabila ada origami burung yang membawa plastik. Dan, apa yang lebih syoknya, sudah tentu ada keropok kegemarannya. Itu yang membuatkan dia melompat-lompat. Ketika itu jugalah, akan tertanggal-tanggal sesuatu daripada tubuh Sulan. Sesekali anaknya akan menyentuh benda itu, tetapi baru sahaja ingin diambil-benda itu menjadi pasir, kemudian, tumbuh bunga! Penuh halaman rumah mereka dengan bunga-bunga itu. “Aneh!” Jerit anaknya sambil tertawa. Dia benar-benar teruja. Benar-benar juga hairan.
Setiap kali itu juga, Sulan akan memberikan anaknya satu origami burung kecil.
“Nanti, kalau hendak apa-apa, bebaskan sahaja origami ini, ya!”
“Nanti, burung ini akan bawa keropok ya, ayah?” Anaknya pasti bersorak riang ketika Sulan mengangguk.
Sulan akan mengurung origami-origami itu dalam beberapa buah sangkar. Sesekali dia seronok melihat origami itu berterbangan. Lalu, sesudah itu, Sulan akan pura-pura jadi raksasa dan dia akan menggeletek pinggang anaknya atau menggigit tangan. Mereka akan ketawa, ketawa dan terus ketawa. Namun, suatu hari, hujan berhenti. Oh, tidak apa! Kata penduduk desa. Tetapi, satu, dua, lima, tujuh, sehingga, pada akhirnya, beberapa bulan berlalu tanpa hujan. Awan-awan yang berkualiti tidak dapat dituai. Tinggal, hanya awan kosong. Sulan dengar, penduduk desa berkata ketika berhimpun suatu hari, orang-orang atas lidah musang telah memotong laluan hujan lalu mengalihkan laluan itu ke arah tempat mereka-atas lidah musang.
“Celaka! Mengapa mereka berbuat begitu?” soal salah seorang penuai awan.
“Ketua tertinggi mereka kata, laluan hujan itu telah salah. Ia perlu dikaji semula dan dibincangkan oleh orang-orang atas lidah musang sana. Mereka berpendapat, laluan itu perlu diberikan kepada semua desa yang lain supaya dapat peroleh hujan juga dan akan dibahagikan secara sama-rata kepada seantero desa dalam perut musang ini,” jelas Mandulika.
“Apakah maksudnya mereka kata laluan itu salah? Bukankah dahulu adanya perjanjian yang telah dimeterai dengan orang kita dengan orang-orang atas lidah sana. Laluan hujan itu memang sah-sah sudah hak desa kita. Mengapa mereka sembarangan sahaja? Engkau pun tahu itu juga, Mandulika!”
“Saya tahu. Saya tahu. Saya dan beberapa orang-orang saya akan adakan perjumpaan lagi dengan orang-orang atas lidah sana. Kita akan berbincang perkara ini.”
“Berbincang lagi! Berapa banyak lagi perjumpaan yang engkau perlukan, Mandulika! Tidak akanlah perbincangan itu mengambil masa selama berbulan-bulan tanpa ada kata putusnya?”
“Kalian harus tahu. Perbincangan perkara sebegini bukanlah mudah. Banyak perkara yang perlu diambil perhatian!”
“Lalu,” kata seorang tua di situ.
Semua menoleh ke arahnya. Dia itu, bekas ketua desa. “Mengapa laluan itu tertumpu kepada atas lidah itu sahaja? Berbulan-bulan sudah hujan turun di situ, tidak pula mereka membuat laluan hujan yang baru untuk diagihkan kepada semua desa? Masih juga, ada penduduk luar desa ini yang bertanya itu, bertanya ini, bertanya awan hujan dengan kita? Lalu, apa jawapanmu?”
Ketika itu, mulut Mandulika itu sudah tertanggal, jatuh ke tanah. Sudahnya, perhimpunan malam itu, berakhir tanpa diketahui apa penyelesaiannya. Sulan sungguh-sungguh bingung.
Kebelakangan ini, segelintir penduduk desa itu, rambut mereka, menjadi api. Marak sungguh. Bukan itu sahaja, malah, perlahan-lahan tidak berwarna sudah tubuh mereka. Dan sejak perhimpunan itu juga, sebulan selepas itu, ada laluan hujan baru telah disambungkan. Namun, penduduk tidak gembira. Mereka mencari Mandulika dan orang-orang kanannya, tetapi, tiada pun bayang-bayang mereka ternampak. Ini membuatkan dalam kalangan penduduk desa, rambut kekal menjadi api.
Ya, hujan turun. Turun tetapi bukan seperti sebelumnya. Hujan itu hanya dua ke tiga kali dalam tempoh sebulan. Itu pun, tidaklah lebat betul. Tidaklah sepanjang hari. Awan-awan yang ada pun, dapat dituai, tetapi sedikit benar. Tidak cukup sama sekali. Ada awan-awan yang kosong. Tiada terkandung hujan. Lalu, bagaimana mahu menjualnya? Mandulika itu, Sulan dengar kata-kata daripada jirannya, dia dan orang-orang kanannya telah membiarkan diri mereka disedut ke dalam usus musang lalu menjadi tahi-tahi gigi untuk orang-orang atas lidah.
“Celaka, si Mandulika! Kalian tahu, rupa-rupanya dia telah melipat-lipat isteri dan anak-anaknya lalu diletakkan di dalam almari. Akhirnya, kesemua mereka dimakan anai-anai. Celaka benar, dia!”
“Bangsat! Sekarang, apa yang kita dapat lakukan? Kalian lihat sekitar kita!”
[III]
Sulan sedar. Sulan perasan perubahan itu. Desa mereka, perlahan-lahan sudah luntur warnanya. Ada satu penempatan, tinggalnya beberapa orang ibu tunggal dan anak-anak-rumah termasuk mereka sekali, menjadi kelabu, segala-galanya menjadi kelabu!
Bukan cuma mereka, kawasan kediaman Sulan kini, sudah luntur warnanya. Warna rumput dan daun, bukan lagi hijau. Warna tanah, bukan lagi coklat. Warna buah anggur, bukan lagi kundang. Warna rambut, bukan lagi hitam. Warna manusia, bukan lagi sawo matang. Warna semakin lama kian pudar-menjadi kelabu.
Apa-apa yang membuatkan Sulan terpecah-pecah emosinya tatkala dengan matanya sendiri, seorang anak meratapi ayahnya yang menjadi debu-debu yang berubah kepada rama-rama. Anak kecil itu, tanpa beralas kaki, mengejar sekawan rama-rama itu yang sedang terbang menjauh sambil memanggil:
“Ayah! Ayah! Ayah! Tunggu, ayah. Tunggu. Tunggu!”
“Jangan pergi, ayah. Jangan. Jangan tinggal aku, ayah! Ayah! Tunggu!” Anak kecil itu menjerit, merayu-rayu. Terjatuh dia, cepat-cepat dia bingkas. Terjatuh lagi, bangun dia lalu mengejar rama-rama itu sehinggalah dia jatuh buat ke sekian kalinya. Dan, pada akhirnya jua, dia-menjadi debu. Menjadi rama-rama.
Tidak itu cuma, ada ayah-ayah yang terpaksa mencabut bulu beruang untuk dijual, ada ibu-ibu yang memasak serpihan-serpihan pelangi yang dipatah-patah kecil sekali semata-mata untuk berjimat, ada yang menjual daun-daun kering, ada keluarga-keluarga yang telah menjadi kelabu dalam tempoh lama, sanggup memasak bubur tahi. Itu, segala-galanya yang dilakukan mereka itu, itu-untuk kelangsungan hidup.
Sudah dipanjangkan kepada orang-orang atas lidah musang itu permasalahan warna-warna yang telah luntur itu, tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Mereka atas sana, asyik-asyik dengan mengalih laluan-laluan hujan supaya turun di atas lidah itu sahaja, memakai kulit-kulit musang dan kambing yang silih berganti di tubuh mereka, bertelanjang dan membazir keju, berendam bersama-sama musang-musang betina yang bak gitar tubuhnya, dan yang penting sekali, mereka ingin mengisi tempat gigi-gigi musang yang paling baik. Itulah yang ternyata, sungguh penting.
Sulan cuba, cuba mempertahankan agar warna dia, warna anaknya, tidak luntur. Dek berjimat, dia juga pernah memasak bubur tahi, namun, sampai bila mahu sebegitu? Jika dia, Sulan tidak kisah makan bubur tahi sahaja, biar pun tidak sedap rasa tetapi anaknya?-Origami banyak yang sudah dibebaskan. Sangkar-sangkar kini, kosong sudah. Sulan benar-benar bingung. Betul-betul buntu.
Suatu hari, ada cakap-cakap dalam kalangan teman-teman yang mereka ingin masuk ke dalam lubang tandas. Dalam perut musang ini, ada satu kawasan dalam usus besar, berhampiran rektum, di situ, ada satu kawasan mewah. Jika ingin masuk ke sana, mereka perlu mencari rumah kecil, di situlah dunia itu.
Ada teman-temannya yang sanggup ke situ. Sulan pula, dua tiga. Dua tiga. Apa yang aku dapat lakukan di dunia itu? Hatinya berbisik.
“Tidak mahukah engkau ke sana? Mungkin apabila ke situ, kita akan dapat kehidupan yang lebih baik daripada terus berada di desa ini.”
“Sungguh benar itu, Sulan. Mahukah engkau dalam keadaan warna begini. Aku tak hendak!” kata temannya yang seorang itu lagi.
“Lalu, bagaimana dengan anakku?”
“Engkau lipatkanlah anak engkau itu dulu, Sulan. Simpan di atas para-para supaya anai-anai tidak menyentuh tubuhnya. Engkau letak ubat gegat dulu.”
“Engkau suruh aku melipat-lipat anakku?”
“Tak akanlah kita hendak membawa dia ke sana. Dia itu kelak, akan menjadi beban engkau, beban kita.”
Sulan mendengus. Bertolak tambah sudah pemikirannya.
“Ayuhlah, Sulan. Sebentar sahaja kita ke sana. Apabila warna-warna kita sudah sedia kala pulih. Kita pulang.”
Sulan berfikir-fikir.
“Bila berangkatnya?”
“Malam ini.”
Malam itu, Sulan merenung anak yang sedang tidur. Anak itu sudah kelabu benar warnanya. Sulan meraup wajah, meramas rambutnya. Keluhan dibebaskan. Dia pejam mata. Lama sekali. Dia membuka mata. Bingkas, mendekati lalu melipat-lipat tubuh anaknya itu, bermula dari kaki sehingga ke kepala. Anaknya itu tidak sedar dek nyenyaknya tidur. Kemudian, dia letak di dalam bakul. Letak atas para.
“Nanti, ayah akan buka semula lipatan ini, ya.”
Malam itu, Sulan bersiap-siap. Malam itu juga, dia dan teman-teman yang dua orang itu, pergi ke hujung desa, pinggir hutan. Mereka melangkah dalam gelap yang cuma bersimbah cahaya daripada ratusan kunang-kunang yang berterbangan sepanjang jalan. Suara jengkerik, mengilai-ilai. Bayu malam yang dingin, sesekali menjilat kulit. Sesekali juga mereka menepuk pipi atau tangan apabila nyamuk mengucup. Mereka melangkah, jauh meninggalkan desa. Dan, di situ, destinasinya.
Rumah kecil. Sungguh kasihan ketika melihatnya. Papan terkopak sana-sini dengan bumbung zink yang telah jatuh ke tepi. Pintu, meski masih terlekat pada engsel, tetapi jika ditolak, pasti jatuh ke tanah. Dalam gelap, meskipun tak jelas nampak, lumut-lumut berserakan.
Sulan berkira-kira. “Sungguhkah tempat ini yang dimaksudkan?”
“Sungguh! Inilah tempat ke dunia itu.”
Temannya itu memegang pintu. Ah, benar seperti difikirkan, pintu itu telah tercabut terus. Temannya itu, lantas membuang pintu itu ke tepi. Dia mengetis tangannya berkali-kali dek terpegang lendir lumut itu sebelum mengelap pada bajunya. Hendak menjeluak dia.
Di tengah-tengah, ada tandas. Anehnya, tandas itu kelihatan bersih, tiada lumut-lumut.
“Biar aku yang pergi dahulu.”
Temannya itu berdiri di atas permukaan tandas. Sambil berhadapan dengan Sulan dan sahabatnya yang satu itu, dia menarik tuil. Lantas, tubuhnya, berpusar-pusar mengikut pusaran air lalu tubuhnya disedut ke dalam lubang tandas. Tenggelam sahaja tubuh temannya, berkocak air di tandas.
“Giliran aku pula.” Temannya yang seorang lagi terus berdiri, tanpa menunggu masa, terus menarik tuil itu. Dia juga berpusing-pusing lalu tenggelam ke dalamnya. Air turut melimpah keluar, Sulan berundur-undur supaya kakinya tidak terkena air itu.
Kebisingan sebentar tadi, terpelanting jauh, meninggalkan kebisuan yang pemalu menemani Sulan. Kini, giliran dia. Sulan menghela nafas. Sedalam-dalamnya. Dia memanjat tandas itu, berdiri di atas permukaannya. Tangannya kejap, memegang tuil. Dia merenung segala apa yang di hadapannya.
Pekerjaannya yang menuai awan-awan.
Origami burung yang berterbangan, berkicauan dalam sangkar.
Warna-warna rumput dan bunga di halaman rumah.
Anaknya yang melompat-lompat keriangan.
Anaknya yang terkekek-kekek ketika digeletek.
Anaknya yang memanggil “Ayah! Ayah!”
Anaknya yang memeluk tubuh lalu mengucup pipinya.
Anaknya yang tersenyum.
Anaknya yang bermain sembunyi-sembunyi.
Anaknya yang bermain kejut-kejut.
Anaknya yang memanggil “Ayah! Ayah!”
Anaknya itu. Anaknya ini.
Anaknya ini. Anaknya itu.
Segala-galanya bermain-main di fikiran.
Air mata mula mengalir di pipi Sulan. Tanpa henti.
Perlahan-lahan dia menarik tuil. Pusaran air mula muncul. Tubuh Sulan ikut berpusar-pusar. Semakin cepat, semakin cepat dan semakin cepat.
Epilog
Rumah itu. Sunyi membungkus. Rama-rama itu terbang masuk dari jendela yang terbuka, mengitar-mengitar sekitar sebelum penat lalu hinggap di atas kerusi rotan. Ia memandang sekitar, terbang semula lalu hinggap di atas para-para. Di situ ada bakul. Ia terbang lagi lalu hinggap di atas lipatan itu. Ketika itu juga, engsel pintu kiat-kiut. Ia terdengar detak-detak kaki menghampiri.
Seseorang telah datang.